SEORANG bapa di New Jersey yang tidak sanggup melihat anaknya ketagih rokok elektronik memulakan tindakan saman terhadap syarikat pengeluar peranti vap, JUUL pada 2019. Dia mendakwa syarikat berkenaan secara salah membuat pengiklanan palsu menyasarkan golongan muda.
Pada 2019 juga di New York, ibu bapa kepada remaja perempuan berusia 12 tahun memfailkan saman sivil terhadap JUUL, Philip Morris dan kedai rokok di Manhattan. Dalam tindakan ini, ibu bapa terbabit menyatakan anak mereka jatuh sakit setelah menggunakan produk rokok elektronik berperisa mangga yang diiklankan menggunakan strategi ‘buku panduan pemasaran kepada belia’ dikeluarkan syarikat-syarikat besar tembakau.
Industri rokok mahupun rokok elektronik bukanlah sesuatu yang kecil. Malah dalam isu di New Jersey dan Manhattan, pengiklanan yang tidak wajar kepada anak-anak muda telah membawa kepada ketagihan vape. Pengamal perubatan secara konsisten telah menerangkan keburukan rokok, nikotin dan rokok elektronik atau vape. Pembacaan lanjut berkenaan isu ketagihan nikotin ini boleh ditelusuri dalam makalah-makalah perubatan.
Bagaimanapun, apa yang lebih besar dalam isu ketagihan nikotin ini adalah bagaimana pemerintah mampu mengawal, membendung dan seterusnya menghentikan ketagihan nikotin secara sepenuhnya melalui penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang. Baik buruk nikotin telah lama dihujahkan oleh pakar-pakar perubatan awam. Kesannya terhadap kesihatan malah ekonomi diri juga sudah bertahun-tahun dibahaskan.
Apabila kerajaan membuat keputusan untuk mengeluarkan bahan nikotin dari senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952 (Akta 366), ramai melihatnya sebagai sesuatu yang canggung. Tidak kena dengan imej memelihara maqasid syariah yang selama ini menjadi kompas moral utama tampuk kerajaan. Lebih-lebih lagi kepimpinan Kementerian Kesihatan (KKM) telah menzahirkan iltizam pelan Generasi Penamat atau GEG untuk mengharamkan rokok bagi individu yang lahir selepas 2007.
Pada masa ini, rokok masih dilarang kepada pengguna di bawah umur 18 tahun, namun terdapat pelanggaran apabila rokok mudah didapati di kedai-kedai runcit. Pelbagai gambar diletakkan pada kotak rokok tetapi masih laku seperti pisang goreng panas. Sedangkan sekiranya ditelusuri Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Kawalan Tembakau dan Produk Tembakau (2021-2030), polisi nasional bagi kawalan tembakau berhasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bebas tanpa amalan rokok termasuklah produk merokok alaf baharu.
Sebelum polisi GEG diperkenalkan pada 2022, 2019 kita pernah saksikan langkah berani KKM memperkenalkan larangan merokok di premis makanan. Malah larangan dibuat KKM ketika itu diputuskan sah dan munasabah, tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan meskipun setelah dicabar di mahkamah. KKM dilihat menjuarai dan memperjuangkan kesihatan awam.
Malangnya pada 2023, belum sempat kejayaan GEG berputik, pelbagai keputusan diambil KKM dilihat tidak seiring dengan matlamat asal kesihatan awam.
SERIUS
Memilukan juga rang undang-undang berkaitan GEG masih lagi tertangguh daripada dibaca dan diluluskan di Parlimen. Malaysia bukanlah negara pertama hendak memperkenalkan undang-undang bagi menyekat rokok dan nikotin seperti ini.
Brunei mempunyai Perintah Tembakau 2005 yang mengawal penggunaan, penjualan dan pengiklanan produk tembakau. Ketegasan Brunei boleh dilihat sehinggakan terdapat rakyat Malaysia didapati bersalah dan didenda sehingga RM265,000 kerana memiliki rokok elektronik dan barangan vape seludup, awal Oktober lalu.
Begitu juga Singapura yang mempunyai undang-undang ketat bagi mengawal rokok termasuk rokok elektronik, paip elektronik atau lain-lain peralatan. Akta Tembakau (Kawalan Pengiklanan dan Jualan) Singapura mengenakan denda sehingga 10,000 dolar atau penjara sehingga enam bulan sekiranya didapati bersalah menyeludup rokok elektronik. Sekali lagi terdapat rakyat Malaysia ditahan kerana menyeludup rokok elektronik dan cecair vape pada Jun lalu.
Malah, Thailand juga memperkenal dan menguatkuasakan undang-undang yang menghalang rokok elektronik sejak 2014. Kerajaan Thailand menyatakan bahawa undang-undang ini diperkenalkan kerana rokok elektronik boleh mempengaruhi golongan muda untuk merokok. Menerusi Seksyen 42 Akta Kawalan Tembakau 2017, Thailand menjadikan perbuatan menghisap rokok elektronik di tempat larangan sebagai kesalahan yang boleh didenda sebanyak 5,000 baht.
Sekiranya dilihat negara-negara seperti Singapura, Brunei dan Thailand, alasan yang mendesak mereka memperkenalkan undang-undang keras adalah untuk menjaga golongan muda.
Sehinggakan di Parlimen Singapura, isu kebimbangan rokok elektronik dalam kalangan pelajar disuarakan.
Isu ini adalah serius bagi negara-negara jiran Malaysia yang mungkin meletakkan kepentingan kesihatan melebihi kepentingan ekonomi semata-mata. Malaysia perlukan iltizam politik untuk memastikan dasar GEG dilaksanakan, bukan ditamatkan. Kini menjadi tanggungjawab yang berat kepada ibu bapa dan penjaga untuk berusaha melindungi anak-anak daripada pengaruh rokok elektronik dan vape. Kegusaran ibu bapa ini berasas kerana tanpa undang-undang yang mantap, akses kepada bekalan rokok, tembakau, cecair rokok elektronik mudah didapati remaja.
Pempengaruh media sosial juga dilihat ada yang mempromosi secara terbuka produk rokok elektronik, seolah-olah menjadi cool dengan menggantung rokok elektronik di leher dan menghembus asap rokok.
Mungkinkah di Malaysia juga perlu ada ibu bapa yang berani ke mahkamah memfailkan saman kepada syarikat-syarikat tembakau dan kerajaan di atas kegagalan memelihara kesihatan anak-anak kita? – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).











