Benarkah wujud diskriminasi etnik, agama di Malaysia?

Benarkah wujud diskriminasi etnik, agama di Malaysia?

MASIH terdapat naratif dalam kalangan bukan Melayu dan bukan Muslim bahawa wujudnya diskriminasi etnik dan agama. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SARANAN seorang anggota cabang legislatif negara agar Malaysia segera menggubal perundangan khusus berkaitan diskriminasi bagi menjamin keharmonian dalam masyarakatnya yang majmuk, bukan sahaja amat memeranjatkan. Ia juga menimbulkan beberapa persoalan. Ini kerana apabila disarankan perkara sebegini serius, kita semacam mengakui wujudnya banyak ketidakadilan di negara ini sama ada secara sistemik yang lama berleluasa atau kes terpencil yang kini sudah besar jumlahnya.

Saranan ini sebenarnya lebih merupakan reaksi kepada satu dapatan kajian dilakukan pihak tertentu bahawa 64 peratus rakyat Malaysia mengalami penindasan dalam sebilangan perkara selama tempoh setahun lalu. Antaranya etnisiti, bahasa dan agama. Sehubungan ini, disarankan kerajaan mengadakan perundangan khas selain usaha meningkatkan kesedaran untuk menentang diskriminasi di negara ini.

Persoalannya ialah sejauh manakah gejala ini wujud di negara ini sehingga ada keperluan mendesak untuk digubal perundangan khusus bagi mengendalikan realiti kemajmukan yang kononnya jelik? Ia menjadi lebih serius apabila saranan itu datang sendiri daripada etnik Melayu, iaitu kelompok majoriti lagi dominan di negara ini. Ini kerana topik diskriminasi yang rata-ratanya diangkat etnik bukan Melayu secara umumnya merujuk kepada penindasan dilakukan terhadap kelompok minoriti oleh yang majoriti.

Dakwaan berlakunya diskriminasi di negara ini puratanya datang daripada kelompok minoriti, baik yang disuarakan pertubuhan etnik tertentu mahupun orang perseorangan kononnya pernah ditindas. Justeru, apabila ia disambut oleh etnik Melayu dengan saranan begitu oleh etnik bukan Melayu, dari satu segi seolah-olah memberi gambaran bahawa ia sebenarnya wujud dan sesuatu perlu dilakukan. Sebaliknya dari segi lain, ia tidak pun wujud pada skala besar walaupun wujud kes terpencil yang kadar dan tahapnya tidak pun membimbangkan selain tiada langsung secara sistemik dalam dasar awam kita. Oleh itu, saranan untuk segera menggubalkan perundangan khas bagi menanganinya tidak timbul sama sekali, apatah lagi yang digubal khusus untuk melindungi kelompok minoriti, lebih-lebih yang tertentu pula.

Walaupun keadaan sebenarnya begitu, masih terdapat naratif dalam kalangan bukan Melayu dan bukan Muslim bahawa wujudnya diskriminasi etnik dan agama yang kekadang sifatnya amat tidak berperi kemanusiaan, selain layanan berat sebelah yang hanya memihak kepada kelompok Melayu dan Muslim. Sehubungan ini, kerajaan harus bukan sahaja segera memperbetulnya, juga dengan tegas menoktahkannya agar tohmahan sedemikian tidak terus-terusan memecahbelahkan kita.

DEFISIT SOSIAL

Sehubungan tohmahan ini, kerajaan memang menyedari wujudnya defisit sosial pada sebilangan perkara termasuklah yang dikaji dalam kajian itu. Namun, ia tidak boleh sesekali dilabelkan diskriminasi. Sebaliknya ia adalah perbezaan dalam pelbagai bentuk, antaranya peranan yang tidak pun membawa kepada penindasan. Sebagai contoh, apabila bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa negara dalam konteks sekali gus sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, kesemua bahasa lain yang dituturkan di negara ini tidak pun sesekali disekat penggunaannya kecuali untuk urusan rasmi sahaja dan hanya perwakilan nasional.

Diskriminasi yang dilaporkan berlaku itu sama ada pada kajian dan lain-lain, sebenarnya adalah kes terpencil yang amat kecil bilangannya. Ia didapati berlaku kerana semangat etnisiti dan keagaaman berlebihan pada individu tertentu yang menyalah guna kuasanya. Itulah sifatnya dan tidak lebih daripada itu. Dengan ini, sudah tentu ia sama sekali tidak memerlukan perundangan penentangan diskriminasi di negara ini. Ini kerana ia boleh ditangani dengan cara lain yang tidak sesekali menjejaskan citra negara yang berlaku adil dalam semua perkara kepada rakyatnya yang majmuk.

Sesungguhnya perbezaan yang wujud pada sebilangan perkara itu, boleh diatasi dengan pergaulan sesama kita yang lebih tinggi intensitinya dan juga lebih kerap frekuensinya. Dengan ini, kita pasti akan lebih kenal mengenali antara satu sama lain. Ini tentu akan membolehkan kita lebih faham memahami untuk seterusnya tidak curiga mencurigai sesama kita. Inilah sebenarnya jaminan keharmonian dan cara pengendalian realiti kemajmukan yang mahu dijadikan dalil kukuh untuk penggubalan akta tersebut. Ia boleh dengan mudah dilakukan melalui interaksi yang jauh lebih signifikan hasilannya daripada penggubalan perundangan. Oleh itu, kita tidak perlu melatah dengan cepat kepada saranan mendadak pihak tertentu itu. Sebaliknya kita hendaklah terlebih dahulu mengkaji keadaan sebenar yang secara umumnya tidak pun bersifat sebegitu.

Natijah dalam hal ini ialah Malaysia tidak pun tidak adil dalam pemerintahannya, khususnya kepada rakyatnya daripada kelompok bukan asal. Dengan ini, Malaysia sama sekali tidak memerlukan perundangan sedemikian. Ini kerana diskriminasi tidak pun wujud di negara ini. Sehubungan ini, rakyat bukan asal boleh terus hidup secara bukan asal, walaupun dalam kehidupan nasional. Ini tidak berlaku, malah tidak dibenarkan di rantau ini di mana terdapatnya kelompok bukan asal, kekadang dengan bilangan yang signifikan besar.

Oleh itu, hentikan naratif toksik bahawa terdapat diskriminasi etnik dan agama di negara ini. Ini kerana selain tiada, ia tidak pernah pun ditimbulkan dalam apa-apa bentuk jua, khususnya secara rasmi oleh anggota pentadbiran negara dan anggota legislatif negara dalam kalangan bukan Melayu dan bukan Muslim sendiri. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN