Tidak perlu penjelasan, alasan pendakwa raya sudah cukup kukuh

Tidak perlu penjelasan, alasan pendakwa raya sudah cukup kukuh

Ahmad Zahid Hamidi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELBAGAI pandangan diberikan ekoran keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan Yayasan Akalbudi.

Antaranya, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, demi prinsip keadilan dan akauntabiliti, Peguam Negara (AG) harus memberikan penjelasan terbuka berkenaan faktor yang mendorong kepada keputusan tersebut untuk memastikan keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan negara sentiasa terpelihara.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli pula berkata, atas dasar integriti dan kebertanggungjawaban, AG perlu memberikan suatu penjelasan terperinci mengenai hujah atau alasan mendorong kepada keputusan tersebut untuk memberikan pencerahan kepada semua pihak sekali gus mengangkat integriti institusi undang-undang negara khususnya Jabatan Peguam Negara (AGC) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Memuatkan artikel berkaitan…

Begitu juga Transparency International Malaysia mendesak AGC membuat kenyataan penuh dan jujur, mengapa pihak pendakwaan membuat keputusan ini kerana kononnya alasan-alasan yang diberikan di mahkamah terlalu teknikal. Penjelasan ini sebenarnya sudah tidak perlu kerana alasan-alasan pihak pendakwaan dalam membuat permohonan DNAA di mahkamah sudah diberi secara terperinci dan terbuka. Ia senang difahami, diterima oleh hakim dan dilaporkan secara meluas oleh media massa.

Antara inti pati terpentingnya ialah Ahmad Zahid telah mengemukakan enam Surat Representasi kepada AGC pada 8 Disember 2022, 25 Januari 2023, 28 Februari 2023 dan 7 Mac 2023 membangkitkan isu-isu dan bukti-bukti baharu yang sudah semestinya memerlukan SPRM untuk menyiasat. Malahan SPRM sendiri secara rasmi memaklumkan kepada AGC bahawa adalah penting untuk siasatan lanjut lebih terperinci, mendalam dan menyeluruh dibuat terhadap kes-kes ini.

SURUHANJAYA DIRAJA

Surat-Surat Representasi Ahmad Zahid turut menyentuh isu berkenaan siasatan terhadap beliau yang dikatakan dibuat secara terburu-buru, cuai, pramatang dan tidak lengkap menyebabkan reputasi dan nama baik AGC selaku pihak pendakwaan dan SPRM selaku badan penyiasat tercemar dan dilihat melalui kaca mata umum seolah-olah kedua-dua jabatan ini adalah institusi undang-undang yang diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu.

Pihak pendakwaan juga menyatakan, jemaah menteri melalui kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam mesyuaratnya pada 11 Januari lalu bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi meneliti secara menyeluruh laporan pasukan petugas khas siasatan ke atas dakwaan dalam buku My Story: Justice in the Wilderness.

Ujar Azalina, setelah meneliti syor dicadangkan pasukan petugas khas dalam laporannya, Kabinet bersetuju antara lain mengenai cadangan penubuhan RCI bagi meneliti perkara ini secara holistik. Tambah beliau, kerajaan memandang serius dakwaan membabitkan pelanggaran tanggungjawab profesional suatu jawatan tertinggi kerana ketelusan dan akauntabiliti adalah asas kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan dan institusi kerajaan.

Dalam Surat-Surat Representasi, Ahmad Zahid turut membangkitkan isu yang amat serius, iaitu dakwaan bahawa beliau adalah mangsa pendakwaan terpilih daripada rejim kerajaan sebelum ini. Pihak pendakwaan berpendapat, amat penting untuknya dan SPRM melihat serta menyiasat dakwaan ini selaras tujuan RCI tersebut bagi menyiasat dakwaan-dakwaan berkenaan pelanggaran tanggungjawab profesional oleh pemegang-pemegang jawatan tertinggi di negara ini.

Selain itu, baru-baru ini juga satu memo dalaman bertarikh 10 September 2019 dikatakan dikeluarkan oleh Datuk Jamil Aripin, Ketua Pasukan Pendakwaan Petroleum Investment Company (IPIC) kepada AG waktu itu, Tan Sri Tommy Thomas, dalam mana beliau didakwa menyatakan 12 ahli pasukannya sebulat suara bersetuju enam pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT) membabitkan wang sejumlah RM6.6 bilion yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah adalah non-starters kerana tidak memenuhi prasyarat minimum ke atas pertuduhan CBT, apa lagi untuk mendapatkan kes prima facie.

Turut tular ialah memo dalaman AGC yang dikatakan dari Timbalan Pendakwa Raya Unit Khas, Bahagian Pendakwaan, AGC, Ahmad Akram Gharib bertarikh 17 Oktober 2018 berbunyi bahawa beliau dikatakan mencadangkan tiada apa-apa pertuduhan dibuat ke atas  Ahmad Zahid kerana keterangan-keterangan yang ada tidak mencukupi untuk membuktikan kesalahan-kesalahan beliau.

BERTAHUN-TAHUN

Pihak pendakwaan menyebut, AGC sedang menyiasat kandungan memo tersebut kerana ia turut menyentuh secara langsung isu-isu dibangkitkan Ahmad Zahid melalui representasi-representasi dikemukakan oleh beliau. Oleh itu, untuk tidak menafikan hak Ahmad Zahid dan lebih penting lagi supaya tiada salah laku di sisi undang-undang, pihak pendakwaan percaya pertuduhan-pertuduhan terhadap Ahmad Zahid perlu diberhentikan buat masa ini sehinggalah siasatan lebih menyeluruh dan lengkap selesai.

Pemberhentian pertuduhan secara DNAA terhadap Ahmad Zahid adalah suatu perkara yang bukan sahaja dapat menjimatkan masa dan kos terutama mahkamah, malah keputusan ini lebih adil kepada semua pihak di mana sebarang pertuduhan ingin dikemukakan dalam kes ini, ia hendaklah dibuat hanya sehingga siasatan lanjut SPRM selesai dan lebih penting lagi selepas RCI selesai bersidang dan mencapai keputusan.

Adalah amat tidak adil kepada mahkamah untuk menangguhkan perbicaraan kes ini ke suatu tarikh yang tidak boleh dipastikan, iaitu sehingga ke tarikh RCI mencapai keputusan yang mungkin berlanjutan selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun kerana jika penangguhan demi penangguhan dibiarkan berlaku, mahkamah ini akan turut terpalit dengan persepsi negatif dan dikecam oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Tidak berbangkit isu pembaziran masa jika pihak pendakwaan membuka kembali kes ini seperti dibangkitkan oleh sesetengah pihak. Seksyen 254(a) Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan perbicaraan baharu tidak perlu dimulakan dalam perbicaraan tertuduh yang telah diberikan suatu pelepasan dan kemudiannya dipertuduh semula atas kesalahan sama. Seksyen ini jelas menyebut, jika saksi dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan sebelum pelepasan diberikan, perbicaraan hendaklah dikembalikan ke kedudukan asal dan diteruskan seolah-olah tiada pelepasan diberikan kepada tertuduh.

Berdasarkan semua ini, maka tepatlah keputusan hakim bahawa alasan-alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dalam membuat permohonan DNAA tersebut adalah kukuh. – UTUSAN

Dr. Hirwan Jasbir Jaafar ialah lulusan doktor falsafah dalam bidang undang-undang dari Universiti Utara Malaysia (UUM) merangkap Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×