Pilih kata pujangga atau rekod khidmat? - Utusan Malaysia

Pilih kata pujangga atau rekod khidmat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIBUAI genre aksi, drama dan triller dalam filem Jawan lakonan Shah Rukh Khan, Nayanthara dan Vijay Sethupathi, menontonnya Khamis lalu, mesej yang melekat di kepala penulis satu ungkapan aktor itu.

“Gunakan jari anda (yang berdakwat sebagai pengundi) pilih mereka (calon pilihan raya) yang bertanggungjawab, bukan kerana anda suka kepadanya,” demikian ungkapan Shah Rukh Khan.

Pesanan daripada pelakon hebat itu juga mesej global (sejagat). Dalam mana-mana pilihan raya akan muncul watak-watak yang disukai ramai.

Suka calon itu bukan kerana sangat impak khidmat Yang Berhormatnya. Tetapi lebih banyak kepada penampilan sebagai manusia yang petah bercakap. Berkata-kata dengan kiasan dan ibarat. Menggunakan peribahasa dan kata-kata pujangga, suka melawak dan sangat gemar dengan jenaka.

Bukan tidak bagus fi’il begini. Tetapi kalau acap kali berucap itu sahajalah modalnya, alamat tidak balik modal lah kata rakyat marhaen apabila tidak diterjemahkan dalam bentuk sebenar – yakni membawa kesan manfaat jangka panjang kepada rakyat jelata.

Diakui masyarakat Melayu sering menggunakan metafora dalam komunikasi mereka sejak dahulu lagi. Kemahiran menggunakan metafora dan memahaminya perlu diteruskan oleh generasi kini sebagai cerminan emosi, pemikiran dan jati diri bangsa.

Namun, jangan pula sampai kata-kata pujangga, kiasan atau metafora itu memakan diri. Memakan diri sendiri sahaja tidak mengapa, tetapi dek akibat kata-kata itu, musibahnya membadai negeri dan rakyatnya.

Tambah teruk lagi lawan ‘ditelanjangkan’ keperibadiannya tanpa belas kasihan semata-mata hendak menang pilihan raya.

SHAH Rukh Khan menunjukkan satu jarinya yang bertanda dakwat setelah mengundi pada pilihan raya di Mumbai, India pada 2017. – AFP

SAHSIAH, EQ

Inilah yang dikatakan bidalan Melayu – kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Akibatnya, sekalipun menang, pihak yang berkuasa diterajui lawan yang dijadikan punching bag hampir saban hari sejak pilihan raya umum, makan hati. Sukar untuk menghadamkan kata-kata nista daripada pesaingnya.

Salah siapa bilamana kata-kata kesat, cercaan dan maki hamun itu boleh diikuti seumur hidup, tersimpan kemas dalam klip video TikTok dan YouTube.

Ada mengatakan pihak yang berada di peringkat atas bertanggungjawab penuh kepada wilayah-wilayah jajahan takluknya. Wajib memberi khidmat, biarpun tidak menang di wilayah tertentu. Tetapi kalau sudah dimaki, diterajang dan dihambat ‘sebegitu rupa’, mahukah yang menjadi ‘mangsa’ buat tidak tahu.

Seolah-olah tidak terjadi apa-apa. Bertemu berhadapan macam biasa, biarpun berulang kali dilanyak tanpa belas ihsan. Akan terfikir dek mangsa, takkanlah lawannya begitu rendah sahsiahnya.

EQ yang tidak tercapai piawaian sehingga ‘bodoh-bodoh sepat pun, tidak makan pancing emas’ – kerana telah pun duduk di kerusi nombor satu di wilayahnya.

Dan benarlah kata-kata pendita Za’ba: “Ramuan yang melahirkan penyatuan dalam kalangan Melayu Islam adalah apabila terhapusnya perasaan terlalu ‘kasihkan diri’. Perasaan itu haruslah digantikan dengan meletakkan ruang dalam diri kasihkan orang lain.”

HASAD DENGKI

Tetapi tidak semudah itu hendak laksanakan impian Allahyarham Za’ba. Kalau penyakit perasaan hasad dengki dalam kalangan masyarakat Melayu tidak dikikis, apa yang diimpi didambakan hanya kegelapan menanti.

Penyakit ini sudah bertaut lama. Disebut dalam pelbagai bentuk genre Melayu sama ada klasik mahupun moden. Epik-epik Melayu seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Raja Donan sehinggalah novel-novel klasik hingga ke kontemporari mengungkapkan banyak penyakit ini.

Dalam The Malay Mind (1996), Abang Yusuf Puteh menyebut penyakit hasad dengki Melayu ini sebagai the most serious, dangerous and destructive traits of the Malay mind.

Pepatah Melayu berselirat merata memperkatakan “Air susu dibalas dengan air tuba; Harapkan pegar, pegar makan padi; Balik belakang, balik gagang; Bau busuk tidak berbangkai; Berjalan peliharalah kaki, bercakap peliharalah lidah; Berkerat rotan, berpatah arang.”

Cuma dalam politik, lawan sepatutnya bukan bermakna perlu dimusnahkan atau dicederakan. Lawan dalam politik seharusnya bererti berlumba dalam perjuangan secara rela hati dengan mementingkan etika harmoni parti. Perjuangan tanpa lawan dan tanpa aral bukan perjuangan namanya.

Namun proses tersebut tidak semestinya meracuni persahabatan atau hubungan sesama manusia, apatah lagi seagama. Sama ada telah melalui tempo yang menjengkelkan, mengecewakan, tikam belakang, api dalam sekam, waima penyakit hasad dengki yang merencatkan hubungan politik pun, yang penting ingat perkara satu ini, “tegakkan yang hakiki.”

Shah Rukh Khan boleh bercakap apa sahaja demi Jawan lakonannya laris di pasaran. Kata aktor itu, tengok hasilnya (khidmat wakil rakyatnya), bukan (suka) orangnya.

Tetapi apa berlaku dalam politik Melayu? Politik Melayu terus panas dan bermaharajalela, sehingga terdetik di kepala ‘mana satu yang betul’? Dan siapa yang sepatutnya mengajar politikus Melayu ini? Dan akhirnya pokok pangkalnya terletak di satu jari pengundi – iaitu kita sendirilah orang itu.

Namun, kalau asyik sentiasa mudah diperleceh dan diperdaya dengan kata-kata puitis, kiasan, ibarat, pujangga dan metaforanya tanpa memandang masa depan, wibawa dan tahap piawaian tinggi seorang wakil rakyat, apa lagi nak dikatokan… – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya