SEKURANG-KURANGNYA ada dua sudut kenyataan yang menggambarkan Malaysia kekal aman dan terus makmur. Program Kembara Kenali Borneo oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bersama kerabat diraja baru-baru ini jelas menyerlahkan semangat cinta kasih rakyat terhadap Ketua Negara. Sambutan hangat rakyat terhadap Seri Paduka sekali gus melambangkan murni jiwa mereka tanpa mengira kaum dan batasan wilayah, bangga menikmati keindahan hidup bernegara di bumi Malaysia yang berdaulat.
Juga, melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu bersemangat membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat minggu lalu, mengukuhkan suatu lagi kenyataan bahawa negara ini tetap gagah dan berupaya meneruskan pengurusan pembangunan dan mensejahterakan penghidupan rakyat. Tanpa kestabilan politik dan kemampuan ekonomi, sudah tentu kerangka pembangunan negara tidak dapat dibentangkan sedemikian rupa.
Itu pun belum termasuk semarak gemilang kemeriahan perbarisan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara di Putrajaya dan sambutan Hari Malaysia di Kuching, Sarawak. Tanpa suasana aman damai, kegemilangan tidak mungkin dirasai. Sebaiknya nilailah suasana di negara-negara persekitaran dunia. Tidak salah dijadikan pedoman, tidak dangkal disandar ukuran.
Jadi, apa isunya yang dikaitkan dengan Selamatkan Malaysia?
Sehingga ada pula pihak-pihak tertentu berusaha mengadakan perhimpunan? Seolah-olah mahu digambarkan Malaysia tidak selamat atau di ambang tidak selamat. Sebenarnya siapa yang mahu menghuru-harakan negara? Mereka adalah kalangan yang tidak bersyukur dengan kemakmuran dinikmati dan kalangan yang sengaja menafikan kedamaian sedia ada.
Demonstrasi atau perhimpunan menyuara protes di jalanan bukan budaya Malaysia. Carilah kaedah dan pendekatan yang tidak mengganggu ketenteraman awam dan meresahkan perasaan masyarakat. Malaysia memiliki daya tadbir urus yang berstruktur dan bersistematik. Masih banyak cara dan saluran yang boleh diguna untuk mengemukakan rasa ketidakpuasan hati terhadap sesuatu isu kepada pihak-pihak berkenaan. Masih ada pilihan selain membuat protes melalui perhimpunan atau perarakan terbuka.
Pihak berkuasa keselamatan mempunyai alasan kukuh mengawal keselamatan dan menentukan kesejahteraan awam terpelihara. Lagipun majoriti rakyat sebagaimana mereka suarakan melalui saluran media arus perdana, suka melihat negara terus aman damai dan menolak sebarang cadangan yang boleh mengharukan suasana. Perhimpunan terbuka juga boleh memberi imej buruk negara di mata dunia. Sedangkan negara sentiasa berusaha menggamit pelabur asing datang melabur.
TAPAK ASAS
Tentu payah menemui titik penyelesaian politik selagi masing-masing menggalas agenda untuk diri dan puak. Siapa pun atau pihak mana pun yang memperoleh kuasa tidak mungkin berada dalam suasana stabil dan selesa selagi wujud trend suka jatuh-menjatuh untuk merebut untung, meraih kepentingan tidak bertepi. Pada hal apa yang wajar dilakukan ialah menghormati keputusan melalui pilihan raya dan tahu had dan batasan berpolitiking mengikut musim dan ketika sepatutnya.
Di Malaysia, siapa yang rajin berusaha, mereka boleh berjaya. Banyak kemudahan asas sudah tersedia. Diumpamakan sudah terbentang padang luas, elok dan rata. Pemain-pemain boleh mempamerkan permainan terbaik, boleh menjaringkan seberapa banyak gol tetapi perlu menepati syarat, iaitu mengikut peraturan dan disiplin yang sudah digariskan. Kiasan ini boleh ditujukan dalam aspek mengejar kejayaan untuk kehidupan peribadi mahupun dalam konteks sosial termasuk berpolitik. Ertinya, seseorang boleh menggapai setinggi mana kejayaan, namun perlu melalui saluran tatacara yang beradab dan beretika.
Sudah sampai masanya bagi rakyat melihat dan menilai secara serius, siapa dan parti mana yang benar-benar sesuai dan berupaya menerajui negeri dan negara. Pilih parti yang boleh memberi hasil berkesan atau parti yang hanya bersuara lantang penuh slogan. Jadi, guna sebaiknya kuasa undi yang ada. Bagi kalangan pemimpin-pemimpin tidak kira di mana-mana peringkat pula, berlapang dadalah untuk menelusuri aspirasi sebenar rakyat. Nadi sesebuah parti bergantung pada sokongan rakyat. Justeru, buangkanlah sebarang label negatif peribadi yang tidak disukai rakyat.
Apa pun, ada baik jika semua pihak sedia pulang ke tapak asas (back to basic). Bagi kalangan umat Islam, jalan paling mulia adalah buangkan prasangka, elak bermusuhan, redakan pertelagahan. Sesuai dengan tuntutan agama, sesama umat Islam itu adalah bersaudara. Sementara perhubungan dengan pihak berlainan agama perlu berjalan atas semangat sejagat kemanusiaan berlandas toleransi dan berharmoni.
Dalam konteks kenegaraan, rakyat pelbagai kaum dan berbeza latar belakang agama dan budaya perlu kembali kepada konsep saling menerima dan menghormati. Tidak perlu gugat atau cuba melonjak jauh sebarang cadangan bertentangan dengan semangat yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Tindakan pihak-pihak tertentu yang menegur sikap sesetengah pihak lain supaya jangan cuba mengganggu gugat isu kedudukan raja, agama dan bangsa (3R) amat wajar dipatuhi.
Sejarah tanah air memberi isyarat jelas, isu kedaulatan raja-raja Melayu, privasi agama Islam dan keistimewaan orang Melayu tidak sesuai dijadikan modal politik. Natijahnya boleh mendatangkan mudarat bukan manfaat bahawa Malaysia adalah untuk dinikmati semua berasaskan struktur sedia ada.
Mencegah lebih baik daripada mengubati. Nikmat yang ada perlu disyukuri, peluang yang tersedia sama dihargai. – UTUSAN
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).










