PAGI putih, petang kelabu, malam hitam. Gelap.
Bukan pasal cuaca, tetapi jangkaan command center. Tentang peluang parti masing-masing untuk 570 calon menang di 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) enam pilihan raya negeri (PRN) ini.
Tak senang duduk mereka dalam war room tika ini. Bila bos tanya macam mana bacaan? Minggu pertama kempen (29 Julai ke 5 Ogos) beres. Cantik, boleh menang. Masuk sahaja pusingan kedua, hari ini 6 Ogos tergamam. Ketar nak berterus terang. Dicongak awal dari 56 kerusi di Selangor contohnya, sudah susut 20, tinggal 36.
Cuak jika bacaan lari segala. Akhirnya di senja Jumaat 11 Ogos nanti, ku sangka nanas di tengah padang, rupanya pandan yang berduri. Kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.
Bukan mudah membaca sentimen pengundi. Latar belakang sosial pelbagai. Setiap kerusi DUN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu ada kisah tersendiri. Ada calon tidak disukai orang parti. Diketepikan pucuk pimpinan hingga membawa diri sebagai penentang dalam diam. Malah, menjadi calon bebas. Hairannya dia calon tunggal parti menang tempoh hari.
Ada kerusi, calon dibayangi karektornya yang dia sendiri tidak boleh ubah. Itulah dia sejak dulu. Cakap sentiasa tinggi. Di saat-saat genting ini pun masih enggan mendapat bantuan bekas ADUN.
Yang tidak fasih isi kandungan manifesto lagilah ramai. Agaknya parti buat manifesto yang tidak terbawa. Teoritikal. Sukar hendak dihurai, difahami. Aspirasinya tidak nampak. Membela Islam dan Melayu kurang jelas. Terlalu ekstrem atau masih apologetik? Pembelaan ke atas kaum-kaum lain kabur. Ada janji dijual setinggi Gunung Ledang. Walhal orang kita cerdik menilai, ‘lepas menang, janji tinggal janjilah’.
Di kerusi tertentu, calonnya ahli Parlimen. Ada dulunya bertanding kerusi Parlimen. Ada exco dan bekas exco serta portfolio datang dari kalangan peguam, jurutera dan orang kampung. Meriah kempen. Ada calon sejak usia 20-an lagi jadi ketua kampung. Cukup dikenali masyarakat setempat. Keikhlasan terpancar di wajah. Tulen. Jenis suka menolong.
‘LOGIK AKAL’
Isu terbesar kini berkisar ekonomi perut. Jika pengundi di setiap enam negeri merasakan kestabilan sahaja mampu menjamin isu ekonomi perut dapat diatasi ke perenggan 50 peratus lebih, sudah sangat baik. Golongan B40, M40 dan T20 perlu diperjuangkan hak mereka. Kedudukan mereka perlu jelas, adil kepada kerajaan.
Tetapi ada sebahagian pengundi juga tidak kisah bab ekonomi. Maju atau mundur lantaklah. Mereka tidak faham pasal inflasi, kdnk dan peratusan. Tidak mahu belajar. Tetapi lebih kepada ‘logik akal’. Diri sendiri lebih gemar dihambat retorik dan auta daripada sang politikus.
Mereka ini tidak kisah dengan kelibat wakil rakyat bermusim yang muncul sekali-sekala di kawasan pilihan raya dalam tempoh lima tahun. Kalau diikutkan di satu dua negeri yang maju ekonominya, pengundinya pasti menyinga dengan kedatangan peraih undi calon-calon sebegini. Dahulu waktu nak merayu undi, bukan main manisnya mulut. Tetapi bila sudah duduk di kerusi yang dicita-citakan, buat kerja pun longlai.
Yang tak sedapnya, lembu punya susu, sapi pula dapat nama. Dalam satu-satu kerusi Parlimen itu dan DUN itu, orang lain lebih bekerja keras berbanding wakil rakyatnya. Pendek kata, wujud dua wakil rakyatlah dalam satu kawasan.
Kelas menengah yang kini kian membesar pentingkan kewibawaan pimpinan. Mereka tidak cenderung kepada retorik seronok sendiri. Pembangunan kemudahan asas tidak lagi berfungsi sebagai tarikan khas seperti dahulu.
Siapapun yang memiliki kuasa politik hari ini, survivalnya bergantung kepada tindak tanduk politiknya sendiri. Inilah dikatakan politik itu melibatkan perbuatan meneladani alam sekeliling – manusia dan alam. Belajar dari yang lampau, memandang kepada yang baik.
Maknanya – ke arah politik bersandar kepada sentimen dan perasaan orang ramai selain ketokohan dan keupayaan pimpinan seseorang. Selagi orang ramai dapat menghayati dan berasa diperintah dengan jujur dan bermanfaat, selama itulah politik sesuatu kumpulan, waima pemimpin itu sendiri diterima dan disokong.
Era ini terlalu ramai yang menyebut perihal ‘memilih pemimpin yang berkualiti. Kualiti apa?
Sebelum tahun-tahun 1970-an, orang Melayu tidak menyebut ‘kualiti’. Mereka menyebut sifat-sifat terpuji. Pilihlah calon yang bakal membawa kesejahteraan untuk ramai. Berbanding dengan gelagat temolok sendiri sahaja.
Lihat wajahnya, lalu lihat air mukanya. Ketahui perangainya. Bilang jasanya, ketahui budinya.
Adakah dia hanya pemimpin semasa cuaca cerah. Tetapi ketika tengkujuh dia menghilang?
Pagi putih, petang kelabu, malam hitam, gelap.
Masih ada masa. Esok, masuk pusingan kedua – calon-calon bertanding di seluruh enam negeri ini memiliki 120 jam lagi. – Mingguan Malaysia










