Orang Melayu tolak PH-BN sebab ekonomi teruk?

Orang Melayu tolak PH-BN sebab ekonomi teruk?

DALAM tempoh tiga tahun akan datang, Anwar Ibrahim terpaksa menumpukan sepenuh perhatian dalam memperkasakan ekonomi negara untuk melapangkan hati rakyat. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN raya negeri (PRN) bagi enam negeri telah pun selesai dijalankan. Keputusannya, 3-3. Perikatan Nasional (PN) tetap mengekalkan kuasa pentadbiran di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) pula terus memegang tampuk pemerintahan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Bagaimanapun, jumlah kerusi yang diraih PN banyak bertambah pada kali ini.

Bagi PH, walaupun jangkaan ramai mereka tidak mempunyai peluang cerah di Kelantan dan Terengganu, namun kali ini tidak hilang wang deposit di banyak kerusi. Malah, Parti Amanah Negara (Amanah) berjaya merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pertama di Kelantan, iaitu Kota Lama.

Walaupun UMNO kecundang teruk di Kelantan, namun ia tidak ditumpaskan sama sekali oleh PN dan masih berjaya memperoleh satu kerusi di Galas.

Di Kedah, kemenangan besar PN hasil pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memang dalam jangkaan ramai. Gerakan yang bertanding di bawah PN juga menang di kerusi Kulim melalui sokongan padu pengundi Melayu.

Bagi PH, DAP berjaya merampas kerusi Kota Darul Aman, iaitu satu-satunya kawasan pengundi Cina. PKR mendapat dua kerusi di kawasan pengundi campuran, iaitu Bakar Arang dan Sidam, manakala UMNO dan Amanah kecundang sama sekali di Kedah.

Di Pulau Pinang, PH-BN berjaya mempertahankan tampuk kerajaan negeri dengan kemenangan 29 kerusi. Bagaimanapun, PH-BN kehilangan 11 kerusi yang dimenangi mereka dalam PRN lepas, khususnya UMNO kehilangan tiga kerusi. Bahkan, UMNO gagal merebut semula kerusi yang dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRN lepas. Akan tetapi, UMNO berjaya meraih kerusi Sungai Acheh yang diberi laluan untuk bertanding oleh PH.

Kekalahan calon PN, iaitu Presiden Gerakan, Dominic Lau kepada PH di Bayan Lepas pula jelas menunjukkan dengan mengharapkan undi Melayu sahaja tidak cukup untuk membawa kemenangan. Tanpa undi Cina, mustahil calon Gerakan dapat menang di mana-mana kerusi.

Di Selangor, PH berjaya merebut 32 kerusi dan BN dua kerusi, manakala PN berjaya merampas 22 kerusi tanpa diduga.

Terdapat 20 kerusi di mana kemenangan dicapai dengan majoriti sangat kecil. Antaranya, PH-BN menang lapan kerusi manakala PN memperoleh 12 kerusi. Sekiranya penyokong PH-BN gagal mengundi pada saat-saat akhir, maka besar kemugkinan kerajaan negeri Selangor sudah jatuh pada tangan PN.

Pada PRN kali ini, UMNO hanya menang dua kerusi. Salah satunya ialah kerusi Dusun Tua yang diberi laluan oleh DAP. Kejayaan ini jelas menunjukkan pengaturan strategi yang dirancang oleh PH-BN adalah tepat sekali. Di Dusun Tua, penyokong DAP terbukti memberikan undi mereka kepada calon UMNO.

AZMIN ALI

Bagi saya, kemenangan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Bersatu) di Hulu Kelang menunjukkan masalah ekonomi masyarakat Melayu di Selangor masih belum ditangani secara berkesan. Pengundi Melayu lapisan bawah rata-rata tidak puas hati dengan usaha kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani masalah ekonomi.

Daripada tinjauan saya, semenjak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), pengundi Melayu di Selangor kurang dipengaruhi isu agama dan perkauman. Sebaliknya, masalah ekonomi merupakan faktor utama bagi mereka memilih parti. Mereka akan menyokong parti yang dapat menyelesaikan masalah hidup mereka.

Di Negeri Sembilan, PH-BN menang 31 kerusi dan terus berkuasa manakala PN menang lima kerusi melalui Pas (3) dan Bersatu (2). Kubu pertahanan UMNO yang paling kukuh akhirnya ditakluki PN jua. Kemenangan PN di Negeri Sembilan sesungguhnya sangat menggemparkan semua pihak.

Pendek kata, melalui PRN ini, PN berjaya memperluas pengaruh di semua negeri di Semenanjung kecuali Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, terdapat kecenderungan mengundi tidak begitu sihat dalam PRN yang baru lepas. Pengundi Melayu di luar bandar rata-ratanya menyokong PN kerana kurang yakin dengan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar. Pengundi bukan Melayu pula kelihatan hanya menyokong PH-BN kerana khuatir dengan pelbagai retorik Islamik dan kenyataan melampau dihujahkan oleh Pas dan Bersatu. Bagi bukan Melayu, mereka tidak mahu cara hidup dan adat mereka tersekat oleh dasar Islamik.

HATI RAKYAT

Bagi pengundi bukan Melayu, mereka mengundi PH kerana menentang pandangan dan dasar yang dirasakan kurang terbuka dan humanisme.

Keputusan PRN kali ini juga menunjukkan pergantungan UMNO terhadap PH masih tinggi. Maka, PH-BN masih mempunyai banyak ruang untuk bekerjasama. Dipercayai UMNO masih akan kekal dalam kerajaan perpaduan dalam situasi politik sebegini.

Dalam tempoh masa tiga tahun akan datang, Anwar terpaksa menumpukan sepenuh perhatian dalam memperkasakan ekonomi negara untuk melapangkan hati rakyat. Semoga apabila keadaan ekonomi negara sudah bertambah baik, maka rakyat berbilang kaum tidak lagi bersengketa berkenaan isu keagamaan dan perkauman. Prasangka buruk terhadap kaum lain juga dapat disingkirkan sama sekali.

Akhir sekali, pilihan raya merupakan amalan dan proses demokrasi dalam sebuah negara berperlembagaan. Semua pihak yang terlibat dalam pilihan raya perlu akur akan keputusan pengundi. Parti yang menang sebagai pemerintah mahupun parti yang muncul sebagai pembangkang perlu bekerjasama erat selepas tamat pilihan raya demi kesejahteraan negara dan rakyat. – UTUSAN

DR. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN