SEORANG bapa mengaku bersalah merogol anak kandungnya dan dijatuhkan hukuman penjara 218 tahun serta 75 sebatan. Seorang suami pula didakwa bertindak kejam membakar dan membunuh isterinya akibat berang dituduh menagih dadah.
Selain itu, seorang anak dijatuhi hukuman penjara lapan bulan kerana menumbuk kepala dan menghempas badan bapa kandungnya ke tanah. Ini antara beberapa kes dan insiden membabitkan ahli keluarga yang dilaporkan media massa, sekali gus mencerminkan kerapuhan dan kepincangan institusi keluarga di negara kita.
Tatkala kerajaan berazam untuk membentuk dan melahirkan masyarakat madani, kejadian seperti ini bakal menjadi duri dalam daging yang menghalang impian tersebut jika tidak ditangani dengan berhemah dan segera.
Ternyata masalah sosial yang mencengkam masyarakat kita seolah-olah tiada jalan penyudahnya. Hampir setiap hari kita disajikan dengan pelbagai isu sosial yang terus mewarnai kehidupan seharian rakyat. Kita khuatir nilai-nilai kemanusiaan dan perasaan kasih sayang semakin terhakis dalam diri masyarakat kita.
Ironinya, institusi keluarga adalah komponen terpenting mendukung pembentukan masyarakat dan negara madani yang dihasratkan. Bermaksud jika pincang institusi keluarga, maka gelaplah masa depan sesebuah negara.
Sewajarnya institusi keluarga memikul peranan dan tanggungjawab signifikan seperti mendidik dan membentuk generasi muda yang bakal meneruskan legasi kecemerlangan negara, menjadi benteng mengekang penglibatan anak mahupun ahli keluarga lain dalam pelbagai masalah sosial sekali gus mengurangkan kadar jenayah dan akhirnya menyumbang kepada kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.
Namun, setelah meneliti kepincangan yang sedang berlaku dalam ekosistem institusi keluarga pada ketika ini, timbul persoalan, sejauh mana institusi keluarga yang ada ini mampu memainkan peranan signifikan tersebut?
Hakikatnya kita berharap ikatan kasih sayang yang mewarnai sesebuah keluarga mampu menjadi benteng yang boleh mengekang segala salah laku membabitkan ahli keluarga.
Namun, malangnya pada ketika ini ahli keluarga sendiri khususnya bapa atau ibu yang menjadi punca keseluruhan keluarga itu porak-peranda.
Justeru, timbul persoalan, apakah ini bentuk masyarakat mahupun keluarga yang mahu kita lahirkan? Atau adakah ini kos yang perlu kita bayar demi menikmati sebuah pembangunan sehingga membiarkan institusi kekeluargaan semakin retak dan musnah?
Saya percaya secara idealnya kita mahu pembangunan negara dan kejituan institusi keluarga bergerak selari.
HANYUT
Apa guna kita menjadi negara maju andai keluarga porak-peranda dan golongan belia semakin hanyut dengan pelbagai penyakit sosial yang mula menjangkiti masyarakat. Jadi, sudah tiba masanya untuk kita bermuhasabah dan menangani masalah sosial ini dengan pendekatan yang betul dan segera.
Dalam konteks ini, mahu tidak mahu ibu bapa perlu menjadi suri teladan atau idola kepada anak-anak. Ibu bapa mesti mengajar dan juga tonjolkan ciri-ciri cara hidup yang betul dan positif di hadapan anak. Jangan sesekali ibu bapa pula merosakkan keluarga dengan sikap dan tingkah laku keji dan zalim sehingga masa depan anak musnah sama sekali.
Mana mungkin anak akan menjadi manusia berguna andai setiap hari melihat ibu bapanya menghisap dadah di rumah atau terlibat dengan aktiviti tidak bermoral yang lain. Maka perubahan mesti berlaku dari rumah dan ibu bapa tidak boleh lari daripada tanggungjawab ini.
Baik atau buruk perangai dan kelakuan seorang individu bermula dari kecil hingga dewasa banyak dipengaruhi oleh ajaran dan asuhan ibu bapa sebelum mereka terpengaruh dengan rakan sebaya. Perlu diingat, anak inilah yang akan meningkat dewasa dan membentuk generasi masa hadapan.
Jadi, inisiatif pemantapan institusi kekeluargaan pada masa hadapan perlu bermula dari rumah. Maka kita perlu memberikan tumpuan di rumah dan peranan yang patut dimainkan oleh ibu bapa dan seluruh anggota keluarga.
Secara prinsipnya, ibu bapa juga perlu sentiasa berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga dan keluarga mereka. Banyak kejadian tidak diingini berlaku kepada anak apabila ibu bapa bercerai atau terlibat dengan kegiatan jenayah terutama dalam soal kasih sayang, penjagaan dan juga nafkah.
Jadi, kita perlu lakukan sesuatu untuk mengurangkan kadar perceraian di negara ini. Kita tidak mahu anak menjadi mangsa keadaan. Dan walau terpaksa bercerai sekalipun, pastikan kebajikan dan keselamatan anak sentiasa terpelihara. Ibu bapa tidak boleh lari daripada tanggungjawab ini begitu sahaja.
Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga dilihat menjadi antara punca belia terlibat dalam pelbagai masalah sosial. Sekali lagi menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memantau aktiviti anak termasuk dengan siapa mereka berkawan dan apa kegiatan mereka.
Pemantauan terhadap penggunaan internet seperti media sosial juga sudah menjadi satu keperluan mutakhir ini kerana golongan belia didapati lebih banyak terpengaruh dengan media sosial sehingga terlibat dalam pelbagai masalah sosial.
Dalam soal ini, ibu bapa perlu memperuntukkan masa secukupnya dengan anak-anak supaya mereka tidak terasa keseorangan atau kurang kasih sayang. Lagi banyak perhatian dan fokus ibu bapa berikan kepada anak-anak, lagi banyak kebaikan yang dapat diperoleh.
Semua pihak perlu memikul tanggungjawab untuk menyelamatkan institusi keluarga kerana jika dibiarkan semua masalah yang sedang melanda ini berlarutan, maka adalah mustahil untuk kita melahirkan masyarakat madani diidam-idamkan.
Oleh demikian, kita perlu bertindak segera memperbetulkan keadaan yang semakin parah ini supaya dapat menyelamatkan institusi keluarga daripada terus pincang, rapuh dan hancur. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis isu semasa merangkap pentadbir Universiti Putra Malaysia (UPM).










