Malaysian Hospitality hanya wujud dalam kapal terbang - Utusan Malaysia

Malaysian Hospitality hanya wujud dalam kapal terbang

Raihan pernah mempopularkan lagu nasyid berjudul Senyum, mengajak bersedekah paling mudah iaitu dengan melemparkan senyuman sesama kita.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAKONAN semula seorang pempengaruh media sosial mengenai pengalaman layanan yang diterimanya ketika berurusan di kaunter pendaftaran pelanggan baru-baru ini, saya lihat ia sebagai satu bentuk teguran kepada masyarakat secara kritikal.
Betapa kita dalam soal bekerja, langsung tidak boleh memberikan senyuman atau layanan yang baik ketika berdepan pelanggan atau orang ramai, khususnya yang bekerja di ‘barisan hadapan’ iaitu kaunter khidmat pelanggan.
Atau, betapa kritikalnya kita mendepani tekanan di tempat kerja atau mungkin dari rumah, sehingga sesiapa sahaja yang berada atau lalu di depan mata, akan menjadi ‘mangsa’.
Sebenarnya ini bukan isu baharu. Dari dahulu pun sudah ada, jika tidak, takkanlah keluar lagu Senyum Seindah Suria yang popular era 90-an. Besar sebabnya mengapa lagu tersebut dihasilkan. Kumpulan nasyid Raihan juga pernah muncul dengan lagu Senyum yang mengangkat senyuman sebagai sedekah yang paling mudah.
Di sudut lain, saya terbaca laporan mengenai hasil survey kedudukan negara-negara ASEAN dalam soal senyuman, kemesraan melibatkan penduduknya. Malaysia tidak berada dalam kedudukan lima teratas. Survey itu melibatkan responden di 100 negara antara 2021 dan 2022. Apa dah jadi dengan negara kita ini ya? Nak bagi senyuman pun malas.
Mungkin orang lain fikir, ini isu remeh. Bagi saya ia isu besar.
Mana tidaknya, punyalah dalam pesawat, kita rasa ‘cair’ dengan layanan Malaysian Hospitality oleh anak-anak kapal yang jelas menampakkan itulah rakyat Malaysia di dunia nyata. Namun apabila melangkah ke luar pesawat, kita sering dihadapkan dengan ‘tragedi kemanusiaan’. Tetapi, Malaysia juga sudah lama tidak berada dalam carta kru kabin terbaik dunia. Harap pihak yang terlibat buatlah sesuatu kerana itulah maruah kita di mata dunia.
Di kedai makan atau restoran pun begitu juga. Ada rakan mengadu, berdepan dengan pelayan yang ambil pesanan sambil ‘buat muka’, bertambah teruk apabila siap dengan pakej bunyi ‘cit’ lagi tanda marah atau ‘malas’ nak melayan pelanggan.
Pesan saya, ramai juga yang berpesan sama, jika tidak ‘fit’ dengan kerja tersebut, pindah atau berhenti sahaja. Beri peluang kepada ramai lagi yang mahu bekerja. Customer service ini bidang yang perlu kita belajar. Kalau rajin mengembara, pasti kita akan dapat lihat bagaimana orang luar mendepani etika ketika berkhidmat dengan pelanggan.
Sektor-sektor seperti pelancongan, pelayanan pelanggan, malah apa jua sektor yang berdepan dengan manusia, berilah senyuman. Bukan kena bayar pun. Begitu juga kita apabila habis bekerja dan pulang ke rumah, teruslah tersenyum biar menggunung beban yang ditanggung di tempat kita mencari rezeki.
Senyumlah, tetapi jangan pula disertai dengan hilai ketawa macam ‘mak lampir’. Itu sudah kategori hilang kewarasan. Ramai juga yang begitu, ketawa berlebihan tak mengira tempat sehingga menjengkelkan.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya