Elak rumah jadi kubur

Elak rumah jadi kubur

NABI Muhammad SAW mengingatkan kita agar sentiasa menghidupkan rumah dengan bacaan al-Quran atau zikir kepada-Nya. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ORANG Melayu umumnya takut apabila membicarakan tentang kubur. Ramai yang takutkan kubur sebab ia berkait dengan kematian. Jika terpaksa melalui kawasan pusara pada waktu malam, pasti ramai yang berjalan laju atau memecut kenderaan masing-masing kerana mahu cepat meninggalkan kawasan tersebut.

Malangnya, ramai umat Islam tidak menyedari mereka sebenarnya ‘duduk’ dalam kubur. Sebabnya ramai yang tidak membudayakan membaca al-Quran di rumah masing-masing.

Nabi Muhammad SAW mengingatkan kita agar sentiasa menghidupkan rumah dengan bacaan al-Quran atau zikir kepada-Nya. Rumah yang sunyi daripada perkara ini dianggap seperti kubur.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jangan jadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah.” (Riwayat Muslim)

Dalam menghuraikan hadis ini, Sheikh al-Mubarakfuri menjelaskan, apa dimaksudkan oleh Nabi SAW dengan rumah seperti kubur itu adalah rumah-rumah yang sunyi daripada zikrullah dan bacaan al-Quran.
Al-Imam Ibn Hajar pula merekodkan pandangan yang menyatakan rumah seorang Muslim bukan sekadar tempat untuk tidur tetapi dihidupkan dengan mengingati Allah.

Beliau berkata yang bermaksud: “Janganlah jadikan rumah kamu hanyalah tempat untuk tidur. Tiada tempat di dalamya untuk zikir dan bacaan al-Quran. Kerana sesungguhnya tidur itu adalah saudara kematian. Dan orang yang mati tidak membaca al-Quran dan solat berdoa.” (Fath al-Bari)

Antara usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam memupuk budaya membaca dan mencintai al-Quran adalah dengan pelaksanaan majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Tahun ini, majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) kali ke-63 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) mulai esok hingga 24 Ogos ini.

Malaysia terkenal dengan kecemerlangan dalam menganjurkan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa sejak penganjuran pertamanya pada 8 Mac 1960.
Malahan negara pernah menerima pengiktirafan bagi kategori Penganjuran Program Al-Quran Terbaik 2016 oleh Kuwait International Prize Of Holy Quran.

Tahun ini juga bakal mencatat sejarah apabila qari orang kurang upaya (OKU) dari Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 25, mewakili negara selepas muncul Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1444H/2023M.

Kejayaan itu menjadikan anak sulung daripada enam beradik itu muncul sebagai qari pertama dalam kalangan OKU bergelar juara sepanjang sejarah tilawah peringkat kebangsaan berlangsung sejak 1947.

PENYAKIT HATI

Nor Hidayah Abd. Rahman, 32, dari Terengganu pula akan mewakili negara bagi katagori kariah. Bagi kategori hafazan lelaki, peserta Johor, Ahmad Ikmal Mohd. Ridhuan akan mewakili negara bagi kategori 1 hingga 30 juzuk beserta tafsir, manakala peserta Sabah, Dian Karisma Mohd. Japar bagi kategori hafizah.

Selepas saringan, MTHQA kali ini melibatkan 76 peserta keseluruhannya dari 52 negara. Peserta tilawah seramai 36 orang (24 lelaki & 12 perempuan) mewakili 27 negara dan peserta hafazan adalah 40 orang (27 lelaki & 13 perempuan) dari 30 negara.

Tema MTHQA kali ini adalah Perpaduan Teras Malaysia Madani. Tema ini bersesuaian dengan manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW dan ia merupakan satu tema yang sangat signifikan kepada umat Islam termasuk masyarakat bukan Islam di negara ini.

Selain kehebatan sebagai penganjur, Malaysia telah melahirkan ramai qari dan qariah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antara tokoh tersebut ialah Allahyarham Datuk Ismail Hashim. Kemerduan dan kelunakan suaranya ketika memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran bukan sahaja dikagumi masyarakat tempatan, malah masyarakat Islam antarabangsa.

Selepas pertama kali penganjuran tilawah al-Quran peringkat kebangsaan pada 1960, Allahyarham adalah satu-satunya qari negara yang muncul johan sebanyak sembilan kali di peringkat kebangsaan dan lapan kali di peringkat antarabangsa.

Seorang lagi tokoh qariah tersohor negara ialah Datuk Faridah Mat Saman dari Kelantan. Beliau juga menjadi johan qariah peringkat kebangsaan dan antarabangsa sebanyak lapan kali. Kini beliau masih aktif mencurahkan bakti mengajar ilmu al-Quran dan tarannum kepada anak bangsa.

TOKOH AL-QURAN

Bagaimanapun, tahun ini negara kehilangan dua tokoh al-Quran, iaitu bekas johan qari kebangsaan dan antarabangsa, Datuk Abdul Haq atau Abdul Ghani Abdullah, 81, yang meninggal dunia pukul 9.45 malam pada 30 April lalu. Allahyarham pernah bergelar johan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada 1967, 1972, 1980 dan 1982.

Pada 9 Ogos lalu, seorang lagi tokoh qariah negara, Datuk Rogayah Sulong, 81, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada kira-kira pukul 8.15 pagi. Allahyarhamah muncul johan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan sebanyak tujuh kali dan johan peringkat antarabangsa sebanyak empat kali sekitar 1960-an dan 1970-an.

Sesungguhnya membaca al-Quran dapat memberi ketenangan selain ia mampu menyembuhkan penyakit-penyakit hati. Ia juga sebagai salah satu rawatan terbaik untuk menghilangkan sifat-sifat mazmumah selain ibadat solat.

Membaca al-Quran juga diberi ganjaran yang banyak. Abdullah bin Mas’ud menyatakan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia melakukan satu kebajikan. Dan satu kebajikan itu dilipatgandakan sepuluh kali. Saya tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf, melainkan alif itu satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” (Sunan Tirmidzi)

Untuk itu, marilah kita mencari masa untuk membaca dan mentadabbur al-Quran. Pastikan dalam hidup kita, tiada hari tanpa al-Quran. Paling tidak, bacalah satu muka surat sehari yang masanya tidak sampai 10 minit berbanding waktu kita melayan media sosial berjam-jam sehari.

Bagi yang berkesempatan, silalah hadir ke WTCKL untuk memeriahkan majlis selain menghayati bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh para peserta.

MTHQA juga disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM1 bermula pukul 8.45 hingga 11.30 malam. Bagi acara hafazan pula akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV AlHijrah bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Umat Islam juga boleh mengikuti secara langsung MTHQA Ke-63 melalui saluran media sosial rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seperti TV Jakim, Facebook dan Tiktok Jakim, Radio IKIM, Radio Nasional FM serta lintas langsung dari beberapa radio di bawah RTM seperti Ai FM (Mandarin), Traxx FM (Inggeris), Minnal FM (Tamil) dan Asyik FM (Radio Orang Asli). – UTUSAN

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN