SUDAH pasti pembaca setia Utusan Malaysia dapat menjangka apa yang ingin diperkatakan dalam rencana ini, kalau tidak bukan tentang bunga raya merah. Ia seperti dinyatakan oleh pantun:
Anak dara di tepi paya,
Baru teringat lauk di para,
Merah membara si bunga raya,
Pembakar semangat cintakan negara.
Dalam memperkatakan tentang bunga raya merah, Julai adalah bulan yang simbolik buat kita semua. Di bulan inilah bunga raya merah diisytiharkan sebagai bunga kebangsaan. Mari kita hayati sejarah bunga raya merah yang melengkapi negara berdaulat ini.
Pada 28 Julai 1960, bunga raya merah diisytiharkan sebagai bunga kebangsaan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Beliau mengumumkannya ketika merasmikan pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Kelab Turf, Selangor.
Dalam ucapannya, beliau berkata, “Selepas meneliti dan mengkaji dengan teliti, Kabinet akhirnya memutuskan bahawa bunga kebangsaan bagi Persekutuan adalah bunga raya. Saya pasti semua orang akan berpuas hati dengan pilihan ini.”
Proses pemilihan bunga kebangsaan mengambil masa hampir dua tahun selepas Kementerian Pertanian membuka cadangan kepada semua kerajaan negeri untuk mengesyorkan nama bunga pada 1958.
Pada Disember 1958, atas syor daripada sembilan kerajaan negeri, ekoran daripada itu, Kementerian Pertanian mencadangkan tujuh jenis bunga, iaitu bunga kenanga, bunga raya, bunga melur, bunga teratai, bunga mawar, bunga cempaka dan bunga tanjung untuk dipilih sebagai bunga kebangsaan.
Bagi melibatkan rakyat tempatan dalam pemilihan bunga kebangsaan, satu gerakan khas telah dimulakan oleh Menteri Pertanian, Abdul Aziz Ishak ketika itu. Gerakan pemilihan bunga kebangsaan tersebut dijalankan selama sebulan di bawah kelolaan Jabatan Pertanian.
Pasukan-pasukan daripada Jabatan Pertanian melawat kampung-kampung untuk menerangkan cadangan kerajaan dan juga mendapatkan undian bagi bunga kebangsaan.
Keputusan undian tersebut memihak kepada bunga mawar yang mendapat undian tertinggi (7,696), dengan bunga melur (5,466), bunga tanjung (3,782) dan bunga teratai (644). Hasil kajian yang dilakukan bersama undian tersebut menunjukkan bahawa penduduk Pantai Timur memilih bunga mawar, manakala penduduk Pantai Barat memilih bunga melur.
Malangnya, gerakan ini kemudiannya terhenti separuh jalan kerana kurang mendapat sambutan rakyat dan keputusan muktamad tidak dapat dicapai. Akhirnya, pihak kerajaan sendiri terpaksa menangani isu pemilihan bunga kebangsaan.
CEPAT LAYU
Dalam hal ini, peranan Tunku Abdul Rahman amatlah besar. Sebagai seorang pemimpin yang berpandangan jauh, beliau mempunyai sudut pandangan yang berbeza. Pada hemat beliau, bunga raya merah adalah yang terbaik untuk diangkat sebagai bunga kebangsaan.
Sifatnya yang mudah ditanam dan tumbuh subur di seluruh negara, berbunga sepanjang tahun serta warna merah menepati ciri-ciri yang diinginkan oleh beliau. Ramai yang tidak tahu, pemilihan bunga raya merah tersebut mendapat tentangan daripada sesetengah pihak sejak diumumkan sebagai bunga kebangsaan.
Di akhbar-akhbar tempatan sahaja, banyak tulisan berunsur negatif terhadap pemilihan bunga raya merah dibuat. Rata-ratanya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pemilihan bunga raya merah.
Bunga raya dilabelkan sebagai bunga yang cepat layu, tidak berbau wangi dan tidak menarik. Misalnya, Yang Dipertua Kebudayaan Melayu Singapura, Harun Mohamed Amin membantah dan menegaskan bahawa bunga raya tidak layak menjadi bunga kebanggaan negara ini.
Malah, pada Jun 1961 pula, Ahli Parlimen Dungun mengusulkan agar bunga raya merah digantikan dengan Anggerik Kinta (orkid) di Parlimen. Namun, usul beliau telah ditolak mentah-mentah. Seperti telap dengan tudungnya, pemilihan bunga raya merah sangatlah bersesuaian dengan Rukun Negara yang diisytiharkan pada 1970.
Perlambangan lima kelopak bunga raya merah sebagai lima prinsip Rukun Negara, mengingatkan kita agar terus menghayati dan berpegang terhadap nilai-nilai yang mendasari negara bangsa Malaysia.
Lima prinsip itu ialah Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.
Memandangkan tidak lama lagi, kita akan menyambut hari kemerdekaan dan Hari Malaysia, marilah kita mengingatkan diri sendiri agar menjadi seorang warganegara yang cintakan akan negara. – UTUSAN
DR. M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik di Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman, Jitra, Kedah.










