Bos agresif…menteri, timbalan ikut sama lah - Utusan Malaysia

Bos agresif…menteri, timbalan ikut sama lah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TARIKH pilihan raya negeri (PRN) enam negeri sudah diumum 12 Ogos. Hari penamaan calonnya awal dari itu 29 Julai. Tetapi setakat ini belum ada satu pun pengumuman daripada menteri kepada rakyat di negeri-negeri itu. Lapan bulan duduk jadi menteri apabila masuk PRN ini patut ada satu dua pengumuman besar – sekurang-kurangnya yang gembirakan rakyat.

Agaknya semua beban diletakkan di bahu Perdana Menteri. Sedangkan kelemahan menteri tidak boleh tuang kepada PM. Mesti diselesaikan isu ringgit menyusut dengan kemelut ekonomi masih mencengkam.

Kita tidak mahu ada kalangan menteri ‘sibuk’ dengan vending machine, basikal, dan satu dua benda dari melihat perkara-perkara yang lebih makro. Asyik dengan data dan statistik juga tidak berapa kena, takut-takut rakyat keliru dan curiga.

Hari ini kalau ditanyakan kepada kita, apatah lagi orang muda nama menteri tertentu dan portfolionya, pasti sukar diingati mereka. Bukan setakat menteri, barangkali kita tidak kenal siapa timbalan-timbalan mereka. Kalau buat kerja pasti media terpaksa pakai berita mereka. Tapi tidak ada orang yang hendak ditulis. Kalau ada menteri yang dalam tempoh lapan bulan ini media tidak pernah tulis tentang mereka, tentu ada sesuatu tidak kena. Bahaya!

Ada 27 menteri dalam kerajaan Madani hari ini. Dengan keluasan Malaysia 329,847 km persegi, jumlah menteri sedemikian memadai. Namun kalau ada menteri yang tidak perform, Kabinet perlu berbuat sesuatu.

Ini bukan satu jawatan yang diberi kerana dia baik hati, maka diletakkan dia di portfolio itu. Tidak boleh gadai sistem kerajaan hanya untuk gembirakan mereka ini. Perlu ada komitmen tinggi menteri untuk berubah dalam meningkatkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan dalam cabaran semasa getir ini.

Ada 27 menteri dalam kerajaan Madani hari ini. Dengan keluasan Malaysia 329,847 km persegi, jumlah menteri sedemikian memadai. Namun kalau ada menteri yang tidak perform, Kabinet perlu berbuat sesuatu. Ini bukan satu jawatan yang diberi kerana dia baik hati, maka diletakkan dia di portfolio itu.

BERSELINDUNG

Yang penting, menteri tidak boleh lagi berselindung di bawah teguran begitu saha­ja. Mereka harus duduk di depan, mendengar apa yang Perdana Menteri mahukan. Baru ada perubahan dan peningkatan.

Kabinet adalah jawatankuasa paling utama dalam operasi seorang Perdana Menteri. Sejarah kerajaan perwakilan, seba­hagian besar­nya merupakan kisah bagaimana beberapa Perdana Menteri dan Presiden memacu dan mengatur pentadbiran mereka sendiri – sama ada dalam kemelut politik atau keadaan ekonomi tidak menentu.

Masa ini tugas seorang menteri cabarannya cukup getir dengan isu-isu berkepentingan rakyat yang tidak menang tangan untuk dijenguk dan diselesaikan. Kementerian utama antaranya kewangan, pengguna, pertanian, luar bandar dan ekonomi antarabangsa menuntut komitmen bukan sedikit.

Perilaku seorang menteri dan tabiat umum memainkan peranan penting dalam menen­tukan untung nasib seorang menteri. Masa lepas beliau, perilaku terkini terma­suk rekod peribadi serta kelakuan yang menyangsikan. Apa lagi perbuatan tidak bermaruah atau jenayah yang boleh melibatkan tuduhan amalan rasuah, kesahihan bankrupsi atau perkara-perkara yang dianggap kritikal terhadap kepimpinan. Semua ini memainkan peranan dalam menentukan nasib atau nasib malang seorang menteri yang berkhidmat atau bakal menjadi menteri.

Dan sudah tentu berkhidmat kepada negara merupakan satu kepastian yang akan sentiasa wujud. Adalah satu kebodohan jika seorang ahli politik terlepas pandang perkara ini. Seorang menteri yang berkhidmat kepada orang yang lebih berkuasa mesti tahu dari mana datangnya rezeki mereka. Orang awam akan tahu pemimpin mana kaki ampu atau bodek dan yang mana benar-benar berfikir.

HENTAM KEROMO

Mengatur program atau perkenalkan inisiatif baharu daripada sesebuah kementerian, harus tahu khalayak dituju. Siapa sasaran utama. Jangan hentam keromo sahaja sebab banyak mata memandang, telinga mendengar. Lagi-lagi musuh politik, yang peluang sebesar zarah pun dalam politik Malaysia hari ini akan dimanipulasi sehabis boleh. Jangan populis untuk survival diri dan politik semata-mata. Anda ada timbalan, mesti berganding bahu, senada. Jangan timbalan menteri pula lebih sudu dari kuah.

Pada 1980an dan 1990an, di peringkat timbalan menteri pun penyandangnya sudah tunjukkan potensi terbaik. Ada beberapa timbalan menteri sampai berkhidmat melebihi 10 tahun sebelum diangkat menteri. Suatu aperantis sebelum pelantikan menteri penuh. Jadi, bersyukur untuk anda yang terus melalui ‘tingkap, bukan pintu’.

Harapan Perdana Menteri kepada barisan Kabinetnya cukup tinggi. KPI para menteri akan memandu arah Malaysia yang betul. Suatu ketika kerajaan sebelum 2018, bermula tahun 2009 membelanjakan wang negara untuk membuat penilaian objektif para menteri.

Tetapi ia dibuat keterlaluan sehingga ada ‘guru besar’ pula yang menjadi pengawas pihak kerajaan untuk semua menteri. Menteri dari seberang Laut China Selatan itu yang membuat penentuan KPI, tapi dirinya sendiri tidak ada KPI. Dia tukang catur sahaja.

Maka elok Perdana Menteri sendiri sahaja membuat penentuan markah para menterinya. Ia bukan sahaja soal menyalurkan duit yang banyak untuk pentadbiran hal ehwal kementerian tetapi berkisar aspek keberkesanan. Menteri yang tidak deliver perlu tahu ‘pintu keluar’ mereka. Juga tidak kurang pen­tingnya Kerajaan Perpaduan harus menghindarkan Little Napoleon dalam kementerian dan jabatan kerajaan. Kelibat ini hanya merosakkan imej bos mereka.

Hormatilah suara kebebasan akhbar. Akhbar bukan alat propaganda semata-mata. Ia institusi berdiri di antara kerajaan dan rakyat. Kerajaan menuntut pemahaman rakyat, sementara rakyat menyampaikan luahan hati dan aspirasinya melalui isu-isu disiarkan akhbar. Jangan ada little Napoleon ‘mengacau’ kebebasan ini seperti mana di masa-masa lepas.

PRN, PRN juga tetapi para menteri dan timbalannya harus melunaskan tanggungjawab dan peranannya untuk rakyat. Gegas dan sambarlah peluang untuk bertemu rakyat pada musim berkempen sehingga 11 Ogos nanti.

Tunjuk dan perjelaskan apa yang telah kerajaan buat untuk rakyat dalam tempoh lapan bulan ini. Perdana Menteri banyak bergantung kepada keupayaan Kabinetnya – yang sewajarnya dianggotai menteri-menteri yang berkaliber serta memiliki kemahiran komunikasi yang berkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN