PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) kelihatan sedang berada dalam kedudukan yang membingungkan. Secara jujur, kini tiada mana-mana pihak merasakan parti itu mempunyai sebarang peluang untuk memenangi mana-mana kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Gerakan merupakan anggota Barisan Nasional (BN) pada suatu ketika dahulu. Namun, Gerakan menarik diri dari BN setelah mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya umum (PRU) 2018.
Pada 2021, Gerakan menyertai Perikatan Nasional (PN) untuk berjuang bersama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Kini, Gerakan menaruh harapan tinggi agar dengan menganggotai satu gagasan yang terbukti memperoleh banyak sokongan pengundi Melayu, maka parti itu mungkin dapat menumpang rezeki dan mampu kembali semula ke arena pemerintahan.
Dilaporkan Gerakan akan bertanding 36 kerusi dalam PRN di bawah tiket PN. Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau dengan sukacita mengumumkan parti itu akan diperuntukkan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN0 yang ‘selamat’, iaitu dua di Kedah dan masing-masing satu di Pulau Pinang dan Selangor. Difahamkan Pas dan Bersatu bersedia untuk menolong Gerakan agar memenangi satu atau dua kerusi.
Di Pulau Pinang, Gerakan dilaporkan akan bertanding 19 kerusi. Gerakan berasa lega kerana kali ini mereka tidak perlu lagi berkongsi kerusi-kerusi pengundi Cina dengan MCA. Akan tetapi, hampir di kesemua kerusi itu, Gerakan akan berhadapan DAP yang telah tiga kali berturut-turut menyapu kesemua kerusi majoriti pengundi Cina di negeri itu.
Melalui tinjauan saya, Gerakan hampir tiada peluang menang di Pulau Pinang dalam PRN ini.
Seorang pengundi Cina di Pulau Pinang yang ditemu ramah memberitahu saya, kebanyakan pengundi tidak senang hati dengan pemimpin-pemimpin Pas yang berkali-kali menimbulkan pelbagai isu sehingga menyinggung perasaan bukan Islam. Dia bertanya, bagaimanakah pengundi bukan Melayu sanggup mengundi PN yang seolah-olah mengabaikan kepentingan hidup bersama dalam sebuah masyarakat majmuk?
Dia menambah, walaupun Gerakan mendakwa mereka sebuah parti berbilang kaum, namun hakikatnya parti itu dianggotai ramai ahli keturunan Cina. Parti itu juga pernah memegang tampuk pemerintahan di Pulau Pinang sejak 1969 setelah meraih sokongan padu daripada pengundi Cina. Dia berasa susah hati kerana Gerakan kelihatan tidak berdaya untuk membela nasib kaum Cina lagi.
Bahkan, hampir di seluruh negara banyak orang tertanya-tanya, adakah pucuk pimpinan Gerakan sekarang telah terpesong daripada dasar perjuangan diasaskan oleh Tun Dr. Lim Chong Eu pada 1969? Adakah kini parti ini hanya mementingkan darjat dan jawatan tanpa menghiraukan rintihan hati para pengundi umum lagi?
Sesungguhnya masyarakat Cina menaruh setinggi-tinggi harapan terhadap semua parti politik yang berasaskan sokongan pengundi Cina agar mereka dapat mewakili suara bukan Melayu baik dalam kerajaan mahupun luar kerajaan. Sekurang-kurangnya perasaan dan pendapat segenap lapisan masyarakat dapat diketengahkan ke meja rundingan demi kesejahteraan bersama.
GENERASI BAHARU
Pada pandangan masyarakat umum, PN bukan sebuah gagasan politik yang mempunyai matlamat perjuangan dan kesepakatan padu demi kepentingan seluruh rakyat. Penyerapan Gerakan ke dalam PN dilihat semata-mata untuk menundukkan gagasan lawan demi kepentingan politik jangka pendek sahaja.
Sesungguhnya, sepanjang Chong Eu memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang dari 1969 hingga 1990, kerajaan pimpinannya banyak membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada negeri itu sehingga menjadi hab elektronik terpenting di rantau ini.
Malangnya, pada tahun-tahun akhir Gerakan bersama BN, iaitu antara 1990 hingga 2008, pucuk pimpinan parti itu banyak menyalahkan komponen-komponen parti lain seperti UMNO dan MCA yang menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri. Kelemahan sendiri parti itu kurang diberi perhatian. Mereka sesungguhnya tidak sedar landskap politik Malaysia sudah banyak berubah. Pengundi generasi baharu kini mahukan layanan yang jauh lebih adil dan saksama daripada pemerintah.
Pada 2018, ramai memuji Gerakan semasa parti itu membuat keputusan keluar BN dan ingin memulakan lembaran baharu. Orang ramai menjangkakan Gerakan mungkin akan kembali ke negeri asal mereka, iaitu Pulau Pinang untuk mengumpul tenaga dan cuba bangkit semula. Mereka juga barangkali akan turun ke padang untuk mendengar keluh-kesah rakyat. Gerakan turut diharapkan dapat membawa pembaharuan kepada politik Malaysia.
Sayang sekali, refleksi politik seperti itu tidak terlaksana. Gerakan kelihatan cenderung mencari jalan pintas untuk mengekalkan kuasa dengan mencari pergantungan baharu secara mudah.
Bagi pucuk pimpinan tertinggi PN pula, barangkali mereka tersilap pengiraan. Gerakan sesungguhnya bukan sebuah parti Cina yang mempunyai kekuatan untuk mengumpulkan sokongan pengundi bukan Melayu bagi PN. Malah ia mungkin membuatkan masyarakat bukan Melayu lagi berwaspada dan menjauhi PN.
Kini, Dominic berjaya mempertahankan kedudukan sebagai Presiden Gerakan walaupun dicabar oleh tiga calon lain dalam pemilihan parti baru-baru ini. Beliau juga dijangka bertanding di salah satu kerusi DUN ‘selamat’ yang dianggap mempunyai peluang kemenangan tinggi.
Hampir semua orang di luar Gerakan tidak memberikan keyakinan Gerakan boleh berjaya dalam PRN nanti. Akan tetapi pucuk pimpinan parti itu nampaknya masih bertegas mereka mempunyai peluang cerah.
Kesimpulannya, pengundi bukan Melayu secara umum tidak yakin Gerakan sanggup memainkan peranan sebagai kuasa pengimbang dalam PN. Di bawah iringan Pas dan Bersatu, Gerakan mungkin memperoleh sebilangan kecil undi. Namun, penghasilan itu tidak cukup untuk membantu mereka kembali semula ke arena politik Malaysia secara bermaruah. – UTUSAN
PENULIS ialah lepasan program Sarjana Pengajian Media dari Jabatan Media & Komunikasi, Universiti Malaya.











