TAKLIK adalah salah satu daripada lapan jenis pembubaran perkahwinan yang dikanunkan di seluruh negara. Terdapat dua jenis taklik yang kadangkala menjadi kekeliruan kepada masyarakat apabila ingin memfailkan kes di mahkamah syariah.
Pertama, taklik yang dilafazkan oleh suami tanpa memerlukan persetujuan daripada isteri seperti seorang suami berkata kepada isterinya, “Jika engkau balik ke rumah mak engkau di Klang hari ini, maka jatuh talak satu.”
Jika isteri melanggar taklik dengan pulang ke rumah ibunya pada hari tersebut, maka lafaz berkenaan hendaklah disahkan terlebih dahulu oleh hakim syarii bagi memastikan sama ada telah jatuh talak ataupun tidak.
Jenis kedua pula dan menjadi titik tumpuan artikel ini ialah taklik yang dipersetujui oleh pasangan suami isteri. Taklik jenis ini menjadi amalan (kecuali di Perlis) di mana lafaz taklik diwajibkan untuk dibaca dan ditandatangani oleh suami selepas akad nikah. Walaupun terdapat 13 negeri mewajibkan taklik tersebut, namun lafaz dan termanya berbeza antara satu sama lain.
TERMA
Seseorang isteri boleh memfailkan perceraian secara taklik sekiranya suami melanggar mana-mana terma yang dilafazkannya.
Secara keseluruhannya, terdapat enam terma membolehkan taklik difailkan, iaitu apabila suami gagal memberi nafkah selama empat/enam bulan qamariah berturut-turut, suami meninggalkan isteri, isteri meninggalkan suami, suami hilang (ghaib), suami menyebabkan kemudaratan kepada isteri dan/atau sekiranya suami merujuk isterinya tanpa kebenaran.
PENYUSUTAN
Pada asasnya, lafaz taklik diwujudkan bagi melindungi para isteri, namun dasawarsa ini kaum wanita sendiri seolah-olah tidak berminat untuk memanfaatkan peruntukan tersebut.
Menurut analisis terhadap statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), terdapat 306,454 kes pembubaran perkahwinan direkodkan di seluruh negara sepanjang 2015 hingga 2019 dengan peningkatan sebanyak 100,000 kes bagi setiap lima tahun sepanjang 15 tahun kebelakangan ini. Trend peningkatan tersebut turut dicatatkan bagi permohonan perceraian, pengesahan talak dan fasakh.
Ironinya, pola berbeza dizahirkan bagi pemfailan kes taklik yang menyaksikan penyusutan saban tahun. Jika 2005 hingga 2009 permohonan taklik yang difailkan berjumlah 20,977 kes, namun bilangan tersebut menurun kepada 16,273 (2010-2014) seterusnya menyusut kepada 14,452 (2015-2019).
Penurunan bilangan kes taklik secara konsisten ini berlaku di 11 negeri dengan peratusan penyusutan antara lima hingga 71 peratus.
FAKTOR
Berdasarkan kajian yang saya jalankan terhadap 669 kes talak dan taklik di Selangor, tiga faktor utama dikenal pasti sebagai penyumbang kepada penyusutan kes. Pertama, kejahilan wanita (plaintif) tentang jenis-jenis pembubaran perkahwinan, hak selepas perceraian dan prosiding di mahkamah.
Kedua, kerumitan prosiding taklik dan istilah-istilah teknikal yang sukar difahami seperti penyampaian dalam bidang kuasa, penyampaian luar bidang kuasa, penyampaian kendiri, penyampaian ganti, waran tangkap, permohonan interlokutori, perintah interim, penzahiran dokumen, afidavit mahupun sepina.
Sebarang kesilapan dilakukan oleh plaintif pastinya akan memalukan diri sendiri terutama apabila suami (defendan) hadir dan mendengar teguran dilakukan hakim terhadap plaintif.
Lebih menggerunkan lagi apabila pembuktian bagi kes tersebut perlu dikemukakan di dalam mahkamah terbuka. Isu-isu mengaibkan, menyakitkan hati dan di luar jangkaan hanya mendedahkan kepada perasaan rendah diri dan kesedihan melampau.
Namun, dalam masa sama turut menyuburkan sifat egois pihak lawan untuk mempertahankan diri bagi menyangkal segala dakwaan dilemparkan tersebut. Segelintir wanita menggunakan perkhidmatan guaman syarii apabila berdepan situasi sukar tersebut.
Namun, menyedari 80 peratus daripada plaintif terdiri dalam kalangan berpendapatan rendah (B40), maka pelantikan peguam syarii bukanlah suatu perkara mudah. Ketiga, berkait rapat dengan prosiding permohonan perceraian serta penambahbaikan majlis tahkim.
Nature prosiding perceraian secara tertutup pastinya menjadi daya tarikan dan memberikan keselesaan kepada pasangan bertelingkah. Paling utama, plaintif tidak perlu bersusah payah untuk memahami prosedur yang rumit, istilah-istilah teknikal mahupun melantik peguam syarii.
Ini kerana mereka hanya perlu mematuhi perintah dikeluarkan oleh hakim dari semasa ke semasa, sama ada berkeperluan untuk mengemukakan wakil keluarga bagi menghadiri prosiding bersama jawatankuasa pendamai (JKP) atau bertindak selaku hakam (orang tengah) keluarga.
Malah, jika tiada hakam keluarga sekalipun, hakim boleh melantik hakam panel yang mempunyai kuasa untuk mentalak/mengkhuluk pihak isteri sepertimana diperuntukkan dalam undang-undang.
Menariknya lagi apabila terdapat JKSM di negeri tertentu memperkenalkan kaedah fast-track bagi pasangan yang berhasrat untuk bercerai secara persetujuan bersama. Magisnya, kaedah berkenaan turut menetapkan penyelesaian kes akan diperoleh dalam tempoh enam jam sahaja.
CELIK UNDANG-UNDANG
Sesungguhnya taklik dilafazkan oleh suami adalah janji setia bagi menjaga dan melindungi isterinya. Namun, disebabkan kealpaan, janji tersebut luput seiring berlalunya waktu. Malangnya lagi, apabila wanita sendiri seolah-olah tidak memahami hasrat murni di sebalik lafaz berkenaan.
Justeru, para suami dan isteri ambillah peluang untuk ‘membelek’ kembali lafaz taklik yang tertera pada sijil perakuan nikah masing-masing bagi menyuburkan perasaan tanggungjawab dan kasih sayang.
Bagi para isteri yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan khidmat guaman, sebenarnya Jabatan Bantuan Guaman (JBG) di seluruh negara menawarkan perkhidmatan tersebut dengan kos minimum. Malah, Majlis Agama Islam di negeri-negeri tertentu juga menawarkan bantuan guaman syarii kepada mana-mana pihak yang berkelayakan.
Bagi mengatasi isu kejahilan pula, pelbagai program literasi percuma diadakan secara dalam talian oleh JKSM seperti Online Legal Clinic (OLC), e-Konsultasi, Literasi Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) dan Muhakat Sulh.
Begitu juga sinergi bersama media elektronik seperti Bicara Fail Syariah (TValhijrah), Usrati Jannati (RTM) dan Slot Alfa (Radio Nasional FM), boleh diulang tonton menerusi laman sesawang JKSM dan Facebook agensi berkenaan.
Sesungguhnya di zaman milenia ini, ilmu berlegar di hujung jari, manfaatkanlah teknologi untuk perkasakan diri sebelum rugi di kemudian hari. – UTUSAN
DR. Roziana Mat Amin ialah Ketua Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).










