Poster boy sudah ‘basi’, pilih parti atau Pusat pula…

Poster boy sudah ‘basi’, pilih parti atau Pusat pula…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI ambang perang enam pilihan raya negeri (PRN) dijangka Julai/Ogos ini, apakah pemilihan seorang poster boy masih relevan, menjadi keperluan gabungan politik?

Ada menamakan si polan ini, si polan itu, sedangkan dari segi rekod masa lepas dan keterampilannya masih diragui. Rekod si polan dikatakan menyerlah setakat di kerusi Parlimennya sahaja, bukannya menyeluruh melangkaui negeri. Bila berpindah kerusi, biarpun hampir seluruh lensa kamera media mempromosi dirinya, masih lagi dia tewas. Kalah pula kepada muka baharu.

Seorang lagi pula, biarpun sudah beberapa kali memimpin jentera bekas partinya sebelum ini, tetap gagal memiliki negeri paling kaya di Malaysia itu. Dikatakan sekadar bermain-main di tepian kampungnya, sedangkan blok-blok Dewan Undangan Negeri (DUN) di sebelah Puchong, Gombak, Seri Setia, Kelana Jaya ‘terabai’ dari penglihatannya.

Sembang pasal `poster boy’, persoalan waktu ini, perlukah diterampilkan oleh parti politik? Adakah rakyat di enam negeri berkenaan melihat bukan isu poster boy secara individu? Sebaliknya Malaysia lebih perlukan sebuah parti teras atau kerajaan yang diyakini sebagai ‘poster boy yang tulen’?

Tika ini yang hinggap di telinga Utusan Malaysia apabila bercakap pasal poster boy PRN mendatang ini, di Kedah mereka namakan menteri besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Sementara di baki lima negeri, tidak terdengar kelibat poster boy yang mahu dinobatkan. Barangkali masing-masing menteri besarnya buat kerja sahaja, tidak hemoi sesibuk Sanusi.

 

 

MENGGUNUNG
Biarpun begitu, kepimpinan ulama Pas meletakkan keyakinan menggunung kepada Muhammad Sanusi bahawa mendatangi PRN negeri itu, ‘musuh politik Perikatan Nasional (PN) sedar mereka tidak mempunyai sebarang harapan lagi untuk mendapat sokongan rakyat.’

Diakui, PN Kedah di bawah Muhammad Sanusi dalam pilihan raya umum (PRU) 19 November tahun lalu terbukti penangannya. PN menang 13 daripada 15 kerusi Parlimen di negeri itu. Kerusi-kerusi dimenangi adalah Jerai, Sik, Padang Terap, Alor Setar, Pokok Sena, Pendang, Kulim Bandar Baharu, Merbok, Langkawi, Kubang Pasu, Baling, Kuala Kedah dan Jerlun.

PN hanya kalah tipis di Sungai Petani dan tertangguh pengundian di Padang Serai. Bagaimanapun Padang Serai yang disandang PKR sejak 2008 berjaya dirampas PN dalam pengundian Disember, dengan meraih majoriti 16,260 undi.

Satu-satunya kerusi milik kerajaan perpaduan di Kedah kini hanya Parlimen Sungai Petani dimenangi Pakatan Harapan (PH) melalui calonnya, Dr. Taufiq Johari. Beliau menang dengan majoriti 1,115 dalam saingan lima penjuru. Amat mengejutkan, Barisan Nasional (BN) gagal di Kedah termasuklah kerusi dianggap selamat seperti Padang Terap. Jelas, cabaran digalas BN Kedah diketuai Datuk Seri Mahdzir Khalid amat berliku. Jika meraih sekurang-kurangnya 10 kerusi DUN pun sudah disifatkan ‘menang besar.’

Jika rejaman PN di Kedah terbukti, apa kurangnya Pas di Terengganu dan Kelantan dipimpin Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Ahmad Yakob? Mungkin bukan poster boy istilah sesuai dipakai di dua negeri itu. Tetapi lebih kepada kekuatan parti iaitu Pas itu sendiri yang didukung ahli dan penduduk Terengganu dan Kelantan.

Di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pula bukan poster boy diperbualkan. Tetapi lebih terarah pada pembuktian kemajuan ekonominya di bawah teraju menteri besarnya. Untuk tempoh dari 2019 hingga 2022, Selangor mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi khususnya dalam sektor pembuatan mencecah RM55.19 bilion. Selangor berupaya menyumbang hampir satu perempat daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Pada 2021, 24.8 peratus KDNK datang dari Selangor. Tahniah buat menteri besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari.

Di Pulau Pinang dari 2019 hingga 2021, negeri itu mencapai nilai pelaburan pembuatan tertinggi iaitu RM107.2 bilion – mewujudkan lebih 51,000 peluang pekerjaan. Untuk 2022 sahaja, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Pulau Pinang menarik pelaburan berimpak tinggi bernilai RM22.7 bilion dengan 18,844 pekerjaan dijana.

Di Negeri Sembilan pula, buat julung kali untuk tahun lalu negeri itu berjaya mencatatkan jumlah pelaburan mencecah RM9 bilion – pencapaian tertinggi dalam sejarah pentadbiran negeri itu. Kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun, ia termasuk pelaburan berjumlah RM6 bilion daripada Samsung SDI Energy Malaysia Sdn. Bhd. (SDIEM) yang kini sedang membina sebuah kilang membuat sel bateri kenderaan elektrik (EV) Fasa Kedua di Kawasan Perindustrian Tuanku Jaafar, Senawang di Seremban. Pelaburan besar lain yang telah pun dimulakan adalah kerja-kerja pembinaan fasiliti melibatkan Dutch Lady Milk Industries (DLMI) Berhad dengan pelaburan bernilai RM450 juta di atas tanah seluas lebih 13 hektar di Bandar Baru Enstek.

STATUS QUO
Di pihak BN, setakat ini sejak PRU 2018, poster boynya yang menyerlah dan diyakini kewibawaan cuma seorang ini – bekas Pengerusi BN Johor Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.

Hasni diyakini oleh kepimpinan partinya, UMNO sekali gus dinamakan oleh presiden partinya sebagai poster boy kira-kira dua minggu sebelum PRN Johor 12 Mac 2022. Hasilnya, BN menang bergaya memperoleh 40 kerusi; (PH 12; PN 3 dan Muda, 1).

Beberapa hari menjelang PRN itu, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong mengakui kewibawaan Hasni sukar diperolokkan. Beliau meletakkan rating Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengepalai PN cuma boleh meraih kurang lima kerusi. BN Johor kata Chin Tong ‘sudah pasti menang.’ Dan terbukti telahannya benar.

Di atas kertas, kedudukan PN di Kedah, Terengganu dan Kelantan sukar digugat. Di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pula dijangkakan terus kekal status quonya – bila mana realiti kestabilan ekonomi itu lebih difikirkan, selepas lima tahun negara menempuh keperitan.
Dan kelihatannya hari ini rakyat Malaysia kurang cenderung berbicara isu poster boy. Agaknya sentimen poster boy sudah basi untuk diangkat dan dimunculkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun baru tujuh bulan berkuasa. Tidaklah sampai harus dikritik sangat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN