KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 diumumkan hari ini. Apa pun keputusan yang diperoleh, haruslah diterima dengan hati terbuka. Kesemua 403,637 calon telah melakukan usaha terbaik sepanjang dua tahun persekolahan yang penuh dugaan dan cabaran.Guru dan ibu bapa turut bersama dalam membantu persiapan calon-calon dari aspek pembelajaran, pengajaran, kewangan dan sokongan moral tidak berbelah bahagi.
Pada yang menerima keputusan tidak seperti diharapkan, jangan terus berputus asa. Harus diingatkan, SPM bukanlah titik pengakhiran tetapi sebenarnya permulaan kepada satu perjalanan masa hadapan yang bakal membentuk generasi pelapis negara suatu hari nanti. Perjalanan ini memerlukan pembentukan modal insan yang komprehensif bagi menghadapi cabaran penuh liku. Ia mempunyai impak besar sekiranya tidak dilakar dan diadun mengikut acuan yang sepatutnya.
Seharusnya dan sepatutnya, destinasi selepas ini bagi lepasan SPM adalah menyambung pengajian ke peringkat seterusnya sama ada memilih cabang tingkatan enam, matrikulasi, diploma mahupun pensijilan profesional dan kemahiran jangka pendek. Mana pun cabang lanjutan pendidikan yang dipilih, buatlah keputusan dan pilih atas kehendak dan minat sendiri, bukannya atas paksaan. Dapatkanlah pandangan dan nasihat daripada keluarga serta pihak yang sepatutnya.
Namun, sekiranya ada yang memilih untuk tidak menyambung pengajian ke peringkat tertiari, mereka boleh mencebur diri dalam bidang kerjaya. Namun, harus diingatkan, dunia pekerjaan juga penuh ranjau dan cabaran. Mereka yang memilih untuk bekerja harus melengkapkan diri agar kerjaya diceburi mendatangkan manfaat. Janganlah sekadar memilih kerja tangkap muat. Berdasarkan kajian terkini, statistik menunjukkan 60 peratus daripada purata 500,000 lepasan SPM menceburi dunia pekerjaan dan tidak melanjutkan pengajian.
Keghairahan lepasan SPM terikut-ikut fenomena ekonomi gig juga sesuatu yang membimbangkan. Terpengaruh dengan pempengaruh yang menunjukkan kemewahan segera yang boleh dikecapi dengan berkecimpung dalam ekonomi gig serta tidak terikat dengan waktu pejabat tanpa memikirkan impak keseluruhan jangka masa panjang telah mendorong remaja khususnya lepasan SPM tidak berminat menyambung pengajian peringkat seterusnya.
Lebih membimbangkan, mungkin atas desakan persekitaran dan pengaruh rakan sebaya, ramai dalam kalangan mereka yang tamat persekolahan menengah lebih berminat bekerja sebagai penghantar perkhidmatan barangan dan makanan.
Hasil kajian Jabatan Perangkaan yang baru didedahkan mendapati 97.71 peratus pekerja gig dalam perkhidmatan e-hailing dan p-hailing di negara ini adalah golongan belia berusia 15 hingga 30 tahun.
GENERASI KECICIRAN
Ceburilah kerjaya yang bersesuaian dengan kemahuan dan kemampuan serta menjamin masa hadapan. Jangan mudah terpedaya dengan iklan tawaran pekerjaan yang ada tanpa membuat semakan dan kajian bijak lagi teliti. Jangan juga mengharapkan gaji lumayan tetapi enggan mengerah tenaga berlebihan. Sekiranya betul-betul mahu bekerja, lakukanlah dengan serius serta penuh iltizam, bukannya sekadar mengikut trend semasa.
Sama ada menyambung pelajaran atau bekerja, golongan aset masa depan Malaysia Madani ini harus juga bijak memperkasakan dan memperbaiki jati diri. Ada pihak yang melabelkan golongan ini termasuk sebahagian daripada generasi keciciran (lost generation) angkara pandemik Covid-19.
Seperti kumpulan lepasan SPM 2021, lepasan SPM 2022 pernah mengharungi sesi persekolahan dalam tiga keadaan berbeza, iaitu pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), pengajaran dan pembelajaran bersemuka serta ada juga sekolah yang memperkenalkan kelas secara hibrid ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Akibat daripada ini, ada pelajar yang tercicir akibat keterbatasan teknologi dan kurang tumpuan. Ada pula hilang minat akibat kurang aktiviti bersemuka bersama rakan dan tenaga pengajar. Bahkan, tidak kurang ada mengambil kesempatan untuk langsung tidak hadir dalam mana-mana bentuk pengajaran dan pembelajaran.
Golongan ini bukan sahaja tercabar dari aspek pendidikan tetapi juga hubungan sosial dan kerohanian. Kajian juga mendapati ada dalam kalangan mereka kurang keyakinan diri, gemar menyendiri, kerap membuang masa dan mengharapkan sesuatu disediakan untuk mereka. Mereka juga dikatakan kurang kemahiran berkomunikasi secara berhemah dan mudah mempercayai kenalan baharu dalam talian. Keadaan sebegini sememangnya amat membimbangkan sekiranya tiada langkah proaktif diambil untuk menangani permasalahan ini.
Justeru, lepasan SPM 2022 harus bangkit daripada kekurangan dan kekhilafan ini. Perbaiki dan perkasalah diri dengan melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan sewajarnya. Santuni adab yang memelihara adat, budaya dan sahsiah keperibadian agar diri terus disanjung dan dihormati.
Akhir kata, syabas kepada mereka yang mendapat keputusan cemerlang dan jangan putus asa kepada mereka yang tidak bernasib baik. Terima kasih diucapkan kepada ibu bapa, pendidik dan pihak berkenaan atas segala jasa sumbangan serta pengorbanan dalam perjuangan mereka menempuh peperiksaan SPM ini. – UTUSAN
DR Mohd. Hafiz Zulfakar ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan & Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam.











