Kerjasama saudara serumpun rancakkan industri halal

Kerjasama saudara serumpun rancakkan industri halal

PEMETERAIAN memorandum kerjasama (MoC) dengan negara-negara Islam akan membolehkan produk-produk yang dihasilkan di Malaysia dan telah memperoleh sijil pengesahan Halal Malaysia dapat meneroka pasaran luar. – GAMBAR HIASAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa komited untuk terus memperkukuh dan menambah baik pengurusan pensijilan halal melalui pelbagai pendekatan strategik dan proaktif. Pengiktirafan antarabangsa terhadap pensijilan Halal Malaysia terus diperkukuh dengan penglibatan aktif negara di dalam pelbagai forum antarabangsa serta kerjasama dua hala dengan pihak berkuasa pensijilan halal negara-negara Islam.

Di peringkat Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC), kita memainkan peranan cukup aktif dalam Institut Standard dan Metrologi Negara-Negara Islam (SMIIC) yang bertanggungjawab dalam pembangunan dan penyelarasan standard halal. Penglibatan negara dalam SMIIC khususnya sejak diundi sebagai Ahli Lembaga Pengarah SMIIC pada 2017 menjadi penanda aras keyakinan antarabangsa khususnya negara-negara Islam terhadap kredibiliti dan kepakaran kita dalam pensijilan halal.

Demi merancakkan serta memperkukuh agenda pemerkasaan jenama Halal Malaysia di peringkat antarabangsa, Jakim sedang berusaha memperkukuhkan hubungan kerjasama dua hala dengan pihak berkuasa pensjilan halal negara-negara Islam melalui pemeteraian memorandum kerjasama (MoC).

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya, mewakili kerajaan Malaysia memeterai MoC dengan kerajaan Arab Saudi dalam Pengiktirafan Bersama Pensijilan Halal Produk-Produk Tempatan yang berlangsung di Ibu Pejabat Pihak Berkuasa Makanan dan Drug Arab Saudi (SFDA) di Riyadh pada 25 Mei lalu. Kerajaan Arab Saudi diwakili Ketua Pegawai Eksekutif SFDA, Dr. Hisham Al-Jadhei.

MOC ini bukti persepakatan dan persefahaman kedua-dua pihak dalam memperkukuh kerjasama pengurusan pensijilan halal termasuk perkongsian kepakaran dan pengalaman, latihan, penyelidikan dan analisis halal.

Melalui MoC dimeterai ini, Jakim akan disenaraikan sebagai badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi manakala SFDA disenaraikan sebagai badan pensijilan halal diiktiraf Jakim.

Sejajar dengan usaha proaktif ini maka, ia membolehkan produk yang dikilangkan di Malaysia dan dipersijilkan oleh Jakim serta menggunakan logo Halal Malaysia memasuki pasaran Arab Saudi tanpa halangan. Begitu juga sebaliknya, produk yang dikeluarkan di Arab Saudi dan dipersijilkan serta menggunakan logo halal SFDA boleh memasuki pasaran Malaysia.

Ini sekali gus memudahkan pengeksportan produk Malaysia ke Arab Saudi serta meningkatkan perdagangan produk halal antara kedua-dua negara. MOC ini diyakini akan memberi tambah nilai dalam memperkukuhkan lagi hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

SAUDARA SERUMPUN
Selangkah menuju ke detik esok (8 Jun), catatan sejarah negara sekali lagi bakal terlakar indah melalui satu lagi upacara menandatangani memorandum kerjasama. MoC antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Indonesia dalam Pengiktirafan Bersama Pensijilan Halal Produk-Produk Domestik yang akan ditandatangani sempena lawatan Presiden Indonesia ke Malaysia. Ini akan membawa agenda yang sama iaitu mengukuhkan hubungan kerjasama kedua-dua negara dalam bidang pengurusan pensijilan halal.

Hubungan saudara serumpun antara Indonesia dan Malaysia ini memberi kelebihan yang perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya bagi membolehkan hubungan perdagangan dapat diperkukuhkan dan saling mengiktiraf di antara kedua-dua negara. Keistimewaan tersebut akhirnya dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pemain industri sama ada dari Malaysia atau Indonesia khususnya bagi industri halal yang mewakili negara masing-masing untuk meneroka pasaran halal tanpa sebarang batasan perdagangan.

MOC yang dimeterai ini akan membolehkan produk-produk yang dihasilkan di Malaysia dan telah memperoleh sijil pengesahan Halal Malaysia dapat meneroka pasaran Indonesia dan begitu juga situasi produk-produk halal dari Indonesia yang dipersijilkan oleh badan berautoriti pensijilan halal di republik itu. Situasi ini pastinya mempunyai manfaat timbal-balik kepada kerajaan dari sudut peningkatan hubungan perdagangan dan peningkatan prestasi eksport negara pada masa akan datang. Melalui kerjasama ini, ia sekali gus dapat menjimatkan kos yang perlu ditanggung oleh pihak industri untuk mematuhi keperluan pensijilan halal kedua-dua negara.

Kerjasama yang bakal dimeterai ini juga akan memperkukuh jenama Halal Malaysia serta menatijahkan manfaat yang besar dan bakal diperoleh Malaysia dengan negara tersebut untuk saling berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam pengurusan pensijilan halal yang meliputi aspek latihan, penyelidikan dan analisis produk halal demi kepentingan bersama.

Melalui usaha saling mengiktiraf ini, saya percaya perkembangan industri halal dapat dirancakkan selain mencapai perkembangan yang positif bagi pensijilan Halal Malaysia.

Untuk rekod, MoC bersama Indonesia ini akan menjadi perjanjian kerjasama kedua Malaysia setelah pemeteraian kerjasama dengan kerajaan Arab Saudi, bulan lalu. Ia adalah usaha yang signifikan kepada kerjasama strategik antara negara-negara Islam dalam pengurusan halal yang lebih luas pada masa akan datang.-UTUSAN

DATUK Hakimah Mohd. Yusoff ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×