Hentam boleh, adakala kena sokong juga

Hentam boleh, adakala kena sokong juga

PARTI-PARTI pembangkang perlu mengambil pendekatan berpolitik secara matang dengan menyuarakan sesuatu isu berasaskan fakta. - JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA benar kestabilan dan kedamaian menjadi idaman, kenapa tidak dihentikan sahaja sengketa dan pertelagahan? Harga bagi kedua-duanya amat mahal demi kemajuan negara dan mewujudkan kesejahteraan rakyat. Manfaatnya untuk semua. Kemakmuran mudah dicapai dengan tiadanya ketegangan politik yang keterlaluan dan hadirnya gangguan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Banyak nasihat dan peringatan disuarakan akhir-akhir ini agar jangan ada sikap suka kata-mengata, caci-mencaci, cemuh-mencemuh dan jatuh-menjatuh terutama dalam kalangan pemimpin politik. Manifestasi bahawa polemik dan kekalutan politik masih tiada menampakkan jalan berkesudahan di negara ini.

Cukuplah dengan percaturan yang tidak bertepi. Beri masa dan peluang kepada pihak yang sudah mendapat mandat dan sokongan mentadbir urus negara dengan berkesan. Peranan ‘peneraju’ pula ialah bertindak serta bersuaralah secara jujur meyakinkan semua tentang usaha memulih dan membangunkan negara sedang giat dilaksanakan.

Kenyataannya, ekoran sentimen pertelagahan politik yang berterusan membuatkan kestabilan negara terusik, banyak hati terluka, ada maruah tercalar, perpaduan pun terlerai dan ketenteraman turut tercabar. Lalu, rakyat semakin mengeluh sambil mencari-cari jawapan kepada persoalan, “Sampai bila begini dan siapa yang untung sebenarnya?”

Jangan memberi ruang sehingga kedaulatan negara berani dicabar oleh sesiapa, khususnya pihak di luar negara. Biar pihak luar tahu menghormati had tuntutan, batas permintaan. Pun begitu, jangan sampai ada pihak luar tergamak ‘memperlekeh’ negara dengan kata-kata sinis, lawak sindiran. Apa hak mereka mengganggu gugat perihal Malaysia yang merdeka dan berdaulat ini?

Berbekal tema ‘menemui aspirasi sebenar rakyat’ dalam suasana yang ada sekarang, saya dapat mencatatkan beberapa sudut harapan dan impian yang tersimpan dalam sanubari masyarakat hasil perbualan dengan mereka. Ramai yang berharap, berpolitik biarlah menjurus kepada benar-benar mencari penyelesaian (solution) terbaik demi kestabilan, kemakmuran, kedaulatan agama, bangsa dan tanah air. Teruskan dengan pendekatan konsensus, sederhana, inklusif dan adil saksama.

Rakyat kurang berminat dengan gaya berpolitik bermirip populis, yakni suka mencari populariti mudah dengan mengatur program dan bertutur kata bersifat retorik, menggunakan slogan agama dan semata-mata mahu menang dengan bersandarkan kelemahan pihak lain. Sebaliknya rakyat mahukan pendekatan bersifat objektif, logik dan berfakta. Ini terutama dalam aspek-aspek menangani kos sara hidup, perkhidmatan dan peraturan yang menjamin kesejahteraan serta keselamatan masyarakat. Apa yang dijanji diharap mampu ditunai dan dicapai.

MENGHENTAM

Semua pihak perlu mengambil tanggung jawab mengharmonikan keadaan. Menjadi pembangkang bukan bermakna tugasnya semata-mata menghentam kerajaan. Ada kala mereka patut menyokong mana-mana dasar dan perancangan yang menguntungkan semua. Parti-parti pembangkang perlu mengambil pendekatan berpolitik secara matang dengan menyuarakan sesuatu isu berasaskan fakta, bukan andaian atau menyebar spekulasi dianggap melampau.

Kurang menyenangkan rakyat apabila dilihatnya ikatan antara parti-parti gabungan agak ‘rapuh.’ Masing-masing masih cuba membina survival sendiri. Sepatutnya perlu ada persepakatan yang kukuh. Jika pun ada perbezaan pandangan dan pendapat atas sebarang isu, tidak wajar diperdebatkan secara terbuka. Carilah jalan penyelesaian terbaik di sekitar dalaman. Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan jika semua pihak sedia menerima, menghormati serta mengambil kira segenap sudut pertimbangan selari dengan ketetapan asas sedia ada.

Semua pihak perlu mengelak daripada mencetuskan isu-isu bersifat provokasi agama atau kaum. Masyarakat menolak sebarang percubaan ‘menguji pasaran’ atas hal-hal yang sudah dipersetujui dan termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tidak perlu mempolitikkan perkara-perkara yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat berbilang bangsa, berbeza latar belakang agama dan budaya.

Sistem komunikasi awam diharap berjalan dengan berkesan. Rakyat perlu diyakinkan dengan kebenaran. Sebarang spekulasi atas isu-isu yang meragukan perlu diberi penjelasan tepat pada tempoh segera. Diakui bahawa aspek ini merupakan suatu cabaran besar bagi semua pihak termasuk media arus perdana, apabila terpaksa berhadapan dengan ledakan maklumat bercampur baur di antara berita sahih atau palsu yang berlegar pantas di media sosial. Apa pun, langkah bijak dan berkesan sentiasa dialu-alukan.

Isu pengundi luar sering mengecewakan pemastautin tetap di sesetengah kawasan dan negeri. Tidak kira sejauh mana perancangan teliti atau gerak kerja pilihan raya yang tersusun, namun harapan rakyat tempatan untuk mencari penyelesaian terbaik kerap punah berkecai di tangan pengundi luar. Tindakan pengundi yang langsung tidak mengambil kira keperluan sebenar rakyat tempatan dilihat sebagai tidak adil dan tidak membantu ke arah kebaikan.

Pengundi luar hanya pulang untuk mengundi dan terus pergi. Sepatutnya mereka memahami keperluan sebenar masyarakat di sesetengah kawasan tertentu. Rakyat misalnya, mengharapkan bekalan air bersih yang mencukupi, rangkaian jalan kondusif, wujudnya peluang-peluang pekerjaan sesuai serta perlunya penyediaan kemudahan-kemudahan prasarana lain. Hormati harapan rakyat tempatan jika mereka inginkan perubahan.

Satu lagi aspek yang meresahkan rakyat khususnya golongan dewasa ialah tentang isu pengundi muda, lebih-lebih lagi Undi18. Ramai anak muda dilihat tidak mengambil peduli tentang politik. Mereka mengetepikan politik dan tidak ambil kisah keluar mengundi. Kecenderungan ini dibimbangi merugikan masa depan bangsa dan negara.

Ketangkasan dan kehandalan seseorang pemain mudah diukur apabila sudah beraksi di tengah gelanggang. Justeru, usah terpengaruh dengan mereka yang sudah dibuang gelanggang atau ternyata memang berpihak kepada pasukan lawan. – UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×