Gerhana nikotin gelapkan Hari Tanpa Tembakau Sedunia

Gerhana nikotin gelapkan Hari Tanpa Tembakau Sedunia

PENULIS menerima Anugerah Tokoh Kawalan Tembakau Malaysia sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2023 di Melaka, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMALAM, 31 Mei, adalah Hari Tanpa Tembakau Sedunia (HTTS) yang dimulakan pada 1987 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Tujuan utamanya untuk menarik perhatian kepada epidemik penggunaan tembakau, sekali gus menonjolkan kesan negatif ke atas kesihatan sehingga membawa kepada sengsara dan maut melibatkan jutaan nyawa. Ini memandangkan ia sejenis pepohon yang daunnya diadun menjadi hasilan tembakau untuk dijual dengan meluas bagi mengaut untung lumayan walaupun menyebabkan pelbagai gejala menyeksakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terutama sekali bahan racun semula jadi yang terdapat pada paras agak tinggi dan meracuni penggunanya serta mereka yang berada di sekitarnya. Malah ratusan ribu mati saban tahun di Malaysia sahaja dan masih belum insaf. Oleh itu, HTTS kali ini membangkitkan persoalan, mengapa perlu tembakau ditanam dan diperdagangkan untuk mendapat keuntungan yang merompak kebajikan rakyat teramai?

Mengapa tidak digantikan dengan tanaman yang selamat serta tidak kurang menguntungkan? Tegas cogan tahun ini, ‘Kita perlu makanan, bukan tembakau!’ Apa lagi dalam keadaan ekonomi meleset dinihari.

Tambahan pula, bagi Malaysia, HTTS kali ini mempunyai satu lagi natijah penting perlu ditonjolkan, yakni berkaitan bahan nikotin dalam tembakau. Dan baru-baru ini mencetuskan kontroversi besar-besaran apabila dilepaskan daripada kawalan undang-undang di bawah Akta Racun 1952.

Setelah sekian lama, nikotin secara saintifik dianggap sebagai bahan racun berbahaya dan dikawal ketat supaya tidak disalahgunakan khususnya bagi mereka berumur 18 tahun ke bawah. Namun, tiba-tiba ini berubah tidak pula berlandaskan bukti ilmiah kukuh.

Malah lebih bersandarkan tindakan politik terdesak. Maka mulai 1 April lalu, kawalan tersebut dimansuhkan sama sekali sekelip mata, menghalalkan penggunaan vape melalui cecair atau gel untuk semua lapisan masyarakat. Khabarnya, Menteri Kesihatan terbaharu ‘mewahyukan’ sedemikian, menyalahi nasihat para profesional kesihatan dari hampir semua pihak termasuk para pakar pelbagai bidang serta merentas sektor.

Bukan sahaja keputusan tidak profesional, ia juga sekali gus tidak demokratik dan tidak beretika. Apatah lagi tidak juga madani. Kesan langsung dirasai oleh semua pihak yang terdedah kepada persekitaran tanpa membawa warga Malaysia ke arah kesejahteraan menyeluruh. Andaiannya serupa kisah terkini apabila seorang bapa memberi anaknya biskut beraris ganja sehingga membawa pelbagai kesengsaraan kepadanya.

Begitu juga pandemik Covid-19, yakni membiarkan virus tersebut merebak ke mana sahaja tanpa sebarang kawalan walaupun diketahui akan menjangkiti dan membunuh lebih ramai lagi rakyat tidak berdosa.

Bezanya hanyalah nikotin akan membunuh perlahan-lahan melalui jangkitan barah paru-paru misalnya, tetapi tetap membunuh jua selepas pelbagai penderitaan sepanjang hayat! Maka, tanda tanya serupa dibangkitkan, mengapa penggunaan nikotin tidak dihentikan sahaja dan digantikan dengan bahan lebih selamat serta digemari ramai? Bukan dilonggarkan kecapaiannya untuk terus merosakkan.

DARI TAMBUN KE RANAU

Jadi, tidak hairanlah suasana HTTS kali ini seakan-akan dirundung malang. Sepatutnya menyedarkan rakyat akan bahaya tembakau serta segala rupa hasilannya yang wajar dikawal dengan ketat. Pihak berwajib melakukan sebaliknya dengan melonggarkan kecapaian vape seadanya.

Mengikut Kumpulan Kesemua Parti Parlimen Malaysia – Matlamat Membangun Lestari (APPGM-SDG), rebakan penyalahgunaan nikotin dalam kalangan anak muda amat membimbangkan. Termasuk kawasan Tambun sehingga ke Ranau di mana cerita salah guna nikotin dan vape terus mencetuskan kemelut yang dahulu tidak pun disentuh.

Jelas ini perkara berkaitan dengan tindakan 1 April yang disebut awal tadi. Malangnya semua pihak cuba membisu dan memekakkan diri. Tiada sebarang ulasan perinci, mahupun penjelasan rasmi apatah lagi langkah menarik balik keputusan bodoh sombong atau meminta maaf ke atas kebakhilan keputusan yang dipaksakan.

Sementara itu, keadaan bertambah kusut, hari demi hari seperti laporan pakar penasihat khas kepada Menteri Kesihatan tentang berlakunya apa yang dikenali sebagai EVALI (electronic vape associated lung injury), suatu gejala baharu kesan langsung vape ke atas kecederaan paru-paru.

Menurut beliau, bilangan kes meningkat sejak kebelakangan ini melampaui 30 kes setakat ini. Kaitan dengan kekerapan penggunaan vape bernikotin cukup jelas. Tidak terhad kepada pengguna tetapi melarat kepada isteri dan anak-anak sekeluarga sepertimana asap rokok sekunder yang diharamkan. Anehnya, berita secemas ini semacam tidak diketahui menteri serta timbalannya, tidak pula mencemaskan pihak utama yang bertanggungjawab menghalangnya.

Ini terbukti jelas betapa langkah untuk menggubal undang-undang, mengawal semula keadaan telah berulang kali ditunda sejak Oktober tahun lalu. Kemudian pada suku pertama 2022, kemudian pada sidang Parlimen pertama, kemudian sekali lagi pada Mei.

Kita seolah-olah terlupa setiap penangguhan melibatkan ratusan, kalau tidak ribuan warga terjerumus ke dalam kancah durjana nikotin. Kini, kononnya bulan hadapan pula. Entah betul, entah tidak, sukar untuk diramalkan gara-gara mendahului politik dan ekonomi ‘segera’ berbanding kesihatan dan kebajikan rakyat marhaen yang senantiasa terawang-awang.

Tambahan pula nikotin yang terkenal berbahaya kerana menyebabkan pergantungan serta ketagihan seumur hidup. Derita yang tiada penghujungnya, selagi ajal belum menjelma khususnya pada kelompok remaja yang alpa.

Sebab itu HTTS 2023 diselubungi kegelapan umpama gerhana nikotin, membayangkan masa hadapan serba gelita selagi isu nikotin vape terus tertangguh-tangguh sesedap rasa, terbengkalai tanpa dipedulikan oleh mereka yang diamanahkan tetapi curang terang-terangan. Bagi mereka yang tidak madani ini, tiada maaf bagi mu! Tuhan sahaja akan menentukan balasannya kelak. Insaflah segera. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini