BUKAN mudah untuk menjadi tentera siber yang cekap. Perlu ‘masak’ isu-isu semasa, politiknya. Karyanya santai, penuh helah, muslihat dan taktikal.
Dulu sebelum tahun 2018, tentera siber licik pergerakannya dikenali sebagai red bean army. Sama ada auta atau fakta laporan yang ditujahnya, waktu itu ‘segala dibentang dianggap benar’ oleh sebahagian besar rakyat negara ini. Apa lagi individu disasarkan memang sah ada kes-kes mahkamah.
Diperkuatkan pula lagi dengan penerajunya terdiri beberapa ‘panglima perang’ satu dua parti pembangkang tika itu. Sampai angkat bendera putihlah parti-parti kerajaan. Ibarat serah tengkuk saja kalau ada pemimpin-pemimpin kerajaan yang cuba bertindak balas. Angkat muka menjawab, siaplah terima sepak terajang tentera siber ini. Itu cerita kehebatan, kelicikan tentera siber era PRU12, PRU13 dan di ambang PRU14. Lebih-lebih lagi apabila membuat kejutan menumbangkan kerajaan BN, 9 Mei 2018.
Ada beberapa pemimpin dari parti pembangkang tika itu yang berani ke depan untuk buat kerja-kerja mentohmah, memfitnah dan melemparkan dakyah. Habis ditalanya mereka dari kalangan orang UMNO, BN atau yang mempunyai hubungan dengan Perdana Menteri.
Tidak kiralah tohmahan dan fitnah yang dilontarkan itu bakal menjerat dirinya ke mahkamah. Atau sekadar ‘gurauan’ semata-mata, tetapi dialah orangnya yang paling berani tampil melawan kerajaan tika itu.
Itu ‘kelebihan’ individu-individu ini sampai tumbang kerajaan BN Mei 2018. Sayangnya setelah menjadi kerajaan hari ini (2023), strategi dan kaedah yang digunakan semasa menjadi askar siber tempoh hari tidak lagi dipraktikkan. Tidaklah sampai ke tahap mentohmah lagi, tetapi sekurang-kurangnya ambil tanggungjawab memperjelaskan isu-isu yang cuba dimanipulasi pembangkang. Jangan sehingga tidak terjawab. Seakan-akan tentera siber ‘Mei 2018’ ini sudah hilang punca selepas ramai masuk kerajaan.
ANCAMAN
Malah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar baru-baru ini terpaksa akui bahawa kempen agresif Perikatan Nasional (PN) di media sosial memberi ancaman kepada Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri tidak lama lagi. Beliau menyifatkan kempen sangat besar dan begitu menonjol dilakukan oleh PN antara bahaya yang perlu dihadapi selain sukar untuk menangkis fitnah yang sudah menular dilakukan oleh pihak lawan.
Apa sebabnya sehingga pemimpin-pemimpin kanan PH yang suatu ketika pernah merajai dan memimpin media-media sosial seperti hilang punca, ‘menikus’. Mereka seperti tidak ambil peduli hentaman bertalu-talu dari pembangkang?
Adakah kerana sudah berada dalam keadaan selesa dan berpuas hati dengan jawatan-jawatan menteri yang disandang?
Bukankah kerajaan pun cuma dibentuk menerusi gabungan 19 parti yang bermacam ragam dan kerenahnya? Mengapa biarkan bos terkapai-kapai sendiri untuk berdepan dengan pembangkang? Adakah disebabkan masalah dalaman parti atau persengketaan ‘ribut dalam cawan’ sesama pemimpin, menyebabkan usaha-usaha pertahankan kerajaan sedia ada tidak sangat dipedulikan?
Persoalannya – kenapa kepakaran tentera siber yang lepas sudah tidak segagah hari ini untuk membela dan pertahankan kerajaan? Padahal, banyak input, statistik dan perangkaan, sambil dibantu oleh penjawat awam boleh dijadikan formula mujarab mematikan kritikan pembangkang.
Kini, kehebatan tentera siber ‘Mei 2018’ kian merosot. Bertukar tangan. Batonnya hari ini di pihak pembangkang, namun masih berbaki dua bulan lagi untuk berbuat sesuatu sebelum kedua-duanya, PH dan PN membuat perhitungan dalam enam pilihan raya negeri tidak lama lagi. – Mingguan Malaysia
Bila ‘tentera siber Mei 2018’ hilang punca, bertukar baton ke PN…
- Oleh ZULKIFLI JALIL
- 25 Jun 2023, 9:12 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Bukan senang jadi bos
1 Disember 2024, 8:20 am
Gaji RM1,500 tapi hantaran lebih RM15,000
24 November 2024, 10:03 am
Dua tahun pendidikan di bawah Kerajaan Madani
17 November 2024, 10:21 am