UNIVERSITI sering dilaungkan sebagai pusat kecemerlangan ilmu di mana ia juga digelar sebagai pusat rujukan ilmu. Pelajar datang dari serata tempat ke universiti dan mempelajari ilmu daripada tenaga pengajar berwibawa.
Dalam pengertian literalnya, universiti dilihat sebagai sebuah entiti yang hanya didatangi oleh mereka yang berminat mengupayakan diri dengan pelbagai cabang ilmu bagi meningkatkan kemandirian ilmu tersemat dalam dada.
Kelak, graduan keluaran universiti inilah yang diharapkan sebagai ejen merubah tahap kehidupan masyarakatnya. Secara tidak langsung, kumpulan graduan dilihat sebagai mampu mengecilkan jurang kemiskinan khususnya yang berasal dari luar bandar. Konotasi ini bagaimanapun bergantung kepada pelbagai faktor kontekstual yang berada di luar kawalan manusia.
Hakikatnya, kepantasan ledakan teknologi telah mengubah fungsi yang boleh dimainkan oleh sesebuah universiti. Era ini menyaksikan universiti pula bergerak merapati pemegang taruh khususnya komuniti luar bandar yang masih dihimpit kemiskinan.
Apatah lagi setelah graduan yang dihasilkan khususnya berasal dari luar bandar menghadapi masalah kekurangan peluang pekerjaan di tempat mereka dan terpaksa mengadu nasib dengan berhijrah ke bandar. Kawasan luar bandar terus kempunan dengan sentuhan ilmu yang diharapkan.
Dalam pada itu, Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut terlibat merapati komuniti luar bandar. Semasa lawatan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke universiti itu baru-baru ini, beliau diberikan taklimat perkembangan UMS oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor.
Salah satu daripada isi taklimat yang disampaikan adalah berkaitan usaha universiti itu dalam melaksanakan program-program pemindahan ilmu kepada komuniti-komuniti yang terdapat di beberapa daerah di Sabah.
Salah satu daripadanya adalah komuniti Bombon Marakau, Ranau. Komuniti yang mengusahakan produk pelancongan, asalnya hanya memberikan pengalaman kepada pelawat dan pelancong bermain dengan ikan jinak yang ditagal (dilindungi) di Sungai Mansahaban.
Jumlah keuntungan sangat minimum disebabkan pakej penawaran yang tidak pelbagai dan tidak menarik. Setelah beberapa projek pemindahan ilmu daripada universiti kepada komuniti itu, ia telah berubah wajah dan menjadi tumpuan berterusan oleh pelancong dari dalam dan luar negara.
Projek pemindahan ilmu adalah daripada dana Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melibatkan produk dari projek ekotantadan (kelulut), pembangunan agropelancongan, inovasi aplikasi Marakau Tourism, pengkomersialan produk menggunakan gerai/kios beroda dan pemasaran digital produk pelancongan dan hasilan produk komuniti.
PERKONGSIAN ILMU
Ahli akademik terlibat adalah dari UMS dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas). Inisiatif tambahan dilakukan oleh UMS menerusi Pusat Jaringan Industri dan Komuniti diterajui Profesor Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd. Nasri dengan memperindahkan lagi infrastruktur Bombon Marakau dan menambah projek kecil-kecilan lain seperti penghasilan produk parang berkualiti kesan daripada pembinaan bengkel membuat parang yang lebih kondusif, penawaran satu rumah satu produk kraftangan oleh lebih ramai isi rumah, pembaikan tandas yang menitikberatkan kebersihan, penambahan kios/gerai mudah alih dan promosi riadah di Bukit Dumpurongan Marakau.
Selain itu, Program Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT)-UMS turut memperkasakan komuniti Bombon Marakau menerusi perkongsian ilmu oleh ahli akademik dari seluruh institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Program ini dilaksanakan menggunakan modul dibina oleh dua orang pensyarah UMS iaitu Profesor Madya Dr. Fatimah Ahmedy dan saya sendiri menjurus kepada perkongsian ilmu dalam kalangan ahli akademik yang menjadi peserta program dan komuniti. Sekali gus, program ini berjaya menambah baik penawaran pakej produk pelancongan yang disajikan oleh Bombon Marakau.
Dua kohort program berjaya dilaksanakan. Kohort 1 melibatkan para pensyarah dari 20 universiti awam pada Mei 2022 dan Kohort 2 pada Mei 2023. Beberapa pensyarah dari institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) turut terlibat dalam Kohort 2.
Para peserta program didedahkan mengenai maklumat sosioekonomi komuniti ini. Daripada maklumat yang mereka peroleh, para peserta membentangkan kepada pimpinan komuniti tentang idea tambahan yang boleh meningkatkan lagi penawaran dan menjana hasil pendapatan komuniti Bombon Marakau.
Jabatan Perikanan Sabah, Pejabat Daerah Ranau, Lembaga Pelancongan Sabah, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Persatuan Pelancongan Daerah Ranau adalah antara rakan strategik yang membolehkan projek pemindahan ilmu dilakukan dengan jayanya ke komuniti itu.
Kesepakatan yang digembleng adalah bersandarkan kepada hala tuju kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan jurang kemiskinan di luar bandar terus dikecilkan.
Seperti kita semua maklum, Mohamed Khaled percaya bahawa salah satu daripada usaha membasmi kemiskinan ialah menerusi pemindahan ilmu yang menitikberatkan inovasi sosial kepada komuniti. Ini sepertimana telah dilakukan oleh UMS.
Dengan demikian, kelestarian projek sosioekonomi dapat direalisasikan sekali gus meningkatkan hasil pendapatan komuniti. Usaha dilakukan oleh UMS di Bombon Marakau ini wajar dicontohi sebagai satu usaha membasmi kemiskinan tegar yang berpotensi untuk dikembangkan ke kawasan-kawasan luar bandar lain di Sabah khasnya dan Malaysia amnya.-UTUSAN
DR. Jakaria Dasan ialah Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Sabah (UMS).











