Antara cekau dan sakau duit - Utusan Malaysia

Antara cekau dan sakau duit

Kwsp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Boleh ke, kalau nak pinjam duit dengan kredit komuniti ini. Bayar lepas dapat duit KWSP, tiada ansuran bulanan, nampak menarik ni. Tak perlu pinjam bank.” Soalan itu datang dari seorang kawan lama dalam grup WhatsApp.
Dia menyertakan iklan-iklan kredit komuniti yang menawarkan pinjaman wang kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berusia 48 hingga 50 tahun dan 53 hingga 55 tahun.
Katanya, iklan-iklan itu bersepah di Facebook, Twitter dan Instagram. Nampak macam pinjaman yang selamat.
Kalau hendak tahu pinjaman itu selamat atau tidak, tanyalah kadar faedahnya berapa. Jangan pinjam RM7,000, diberi RM6,000 dan kena bayar RM13,000. Selepas itu, masa hendak bayar cari peminjam macam Ah Long. Ugut-ugut, jawab seorang lagi kawan.
“Kawan kita dalam grup ini ada orang media dan poliskan? Setahun sekali pun susah dia orang balas apa-apa dalam ini.
“Tolong siasatlah, ini syarikat pinjaman berlesen ke atau Ah Long? Kalau kadar interest tinggi, ini boleh mengalahkan Ah Long. Ambil kesempatan kesusahan orang sekarang ini,” katanya.
Kali ini saya balas cepat dengan emoji senyum sebab kebetulan terbaca.
Grup WhatsApp ini bukan apa, dari salam Tahajud, salam subuh, selamat pagi, selamat tengah hari, salam senja dan salam malam melabuhkan tirailah – semuanya nak bagi ucapan, akhirnya soalan dan perbincangan yang penting kita terlepas pandang.
Saya mencari iklan-iklan itu di Facebook dan Twitter. Betul, ramai bertanyakan macam-macam soalan di ruangan komen kredit komuniti. Ada pula kredit komuniti menggunakan logo seakan sama dengan KWSP.
Ada yang bertanyakan, kalau dalam akaun KWSP ada RM50,000 bolehkah meminjam lebih daripada jumlah itu dan ada yang mahu tahu lokasi pejabat syarikat kredit berlesen itu paling dekat supaya dapat segera meminjam.
Ramai betul menunjukkan minat untuk meminjam. Lebih-lebih lagi tertera di situ yang tak bekerja dan disenaraihitamkan bank pun boleh memohon termasuk tiada sebarang wang bayaran pendahuluan, tiada caj proses, tiada ansuran bulanan selain kelulusan dalam masa satu jam!
Sebenarnya, akhbar Utusan Malaysia pun sebelum ini telah melaporkan tentang penipuan kredit komuniti di muka depannya sebelum ini.
Syarikat peminjam wang yang mendakwa sebagai kredit komuniti berlesen ini ketika ini giat menyasarkan pencarum KWSP yang akan mengeluarkan wang pada usia 50 dan 55 tahun.
Ada tiga kemungkinan di sini, sama ada betul syarikat itu adalah kredit komuniti berlesen di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan menjalankan operasi ikut peraturan, kedua pula, kredit komuniti cekik darah memberikan kadar faedah tinggi dan yang ketiga, kredit komuniti scammer.
Sebelum ini pun, cawangan Siasatan dan Pemantauan Bahagian Kawalan Kredit Komuniti KPKT ada membuat serbuan terhadap kredit komuniti yang melanggar syarat-syarat operasi ini. Selalunya, serbuan dilakukan bila terdapat aduan si peminjam kena membayar semula pinjaman terlalu tinggi, berbeza dengan amaun ketika pinjaman dibuat.
Kita harap sangatlah kementerian terus memantau iklan-iklan yang mendakwa mereka ini kredit komuniti yang berlesen dan kalau berlesen pun pastikan ia mematuhi syarat dan tidak bertindak seperti Ah Long pergi ke rumah untuk mengutip hutang dan melakukan kekerasan.
Diharapkan juga kerajaan boleh sekat kewujudan banyak syarikat kredit berlesen yang kerjanya asyik hendak menipu orang ramai dan mengambil kesempatan dengan kesusahan rakyat.
Betul, kita tidak boleh menghalang dan menyalahkan orang ramai hendak meminjam wang. Mereka yang terdesak dan terhimpit dengan bebanan kos sara hidup akan meminjam walaupun mereka ada wang simpanan sendiri dalam KWSP tetapi tidak boleh dikeluarkan.
Hakikatnya, ramai golongan marhaen tidak tahu di mana lagi mereka hendak ‘cekau’ duit untuk meneruskan kelangsungan hidup, manakala ada pemimpin rakyat pula memikirkan di mana lagi mereka boleh ‘sakau’ duit. Itu bezanya.

PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan, Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya