MUKADIMAH
SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas terkena serangan strok haba di Bachok, Kelantan pada 25 April lalu dan semalam, murid berusia 12 tahun di Kluang, Johor turut disyaki menjadi mangsa terbaharu.
Kejadian ini bukan sahaja membimbangkan ibu bapa malah merisaukan Kementerian Pendidikan dalam usaha melestarikan sistem pendidikan berkualiti bagi memenuhi aspirasi negara.
Bagi Presiden Ikatan Guru- Guru Muslim Malaysia (iGuru), MOHD. AZIZEE HASAN, beliau tidak melihat ada keperluan untuk menutup sekolah sebaliknya membenarkan pemakaian pakaian sukan agar murid lebih selesa ketika menimba ilmu di sekolah.
Ikuti pandangan beliau ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, kelmarin.
UTUSAN: Kementerian Pendidikan mencadangkan cuti sekolah dilanjutkan sekiranya suhu panas melebihi 37 darjah Celsius. Adakah wujud keperluan itu?
MOHD. AZIZEE: Buat masa ini, ia bukan satu keperluan mendesak. Kita banyak lagi alternatif lain. Apa yang penting ialah pematuhan kepada garis panduan dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan. Bagi saya, kalau ia hendak dilaksanakan pun secara bersasar mengikut lokaliti tertentu, iaitu sekolah yang benar-benar terkesan dengan cuaca panas yang melampau.
Adakah cadangan itu menunjukkan Kementerian Pendidikan terlalu berlembut dengan permintaan ibu bapa?
Saya tidak nampak Kementerian Pendidikan terlalu berlembut dengan permintaan ibu bapa. Kementerian Pendidikan melihat kepada keutamaan menjaga aspek keselamatan dan kesihatan murid. Pada masa sama tidak mahu aspek pembelajaran murid diabaikan.
Jadi, dalam hal ini, cadangan cuti sekolah dilanjutkan itu adalah pilihan sekiranya berlaku keadaan cuaca yang benar-benar melampau. Ia bukan wajib tapi pilihan berdasarkan situasi semasa ikut keadaan sekolah masing-masing.
Ada juga cadangan agar tidak perlu dilanjutkan cuti tetapi memberhentikan seketika aktiviti luar kelas termasuk perhimpunan?
Pertamanya, keutamaan sekarang ialah memastikan murid dapat mengikuti pembelajaran dengan baik. Keduanya, agar jumlah hari persekolahan kita setiap tahun perlu mencukupkan 190 hari sebagaimana surat siaran berkaitan jumlah hari persekolahan. Jadi, apabila kementerian mengeluarkan garis panduan berhubung pengoperasian sekolah ketika cuaca panas melampau, ia sudah memadai kerana mengambil kira semua aspek.
Tinggal lagi kita perlu patuh kepada SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan dengan penuh disiplin. Ini bagi memastikan pembelajaran dapat berjalan lancar dan mengelakkan keciciran murid terutama di tahap satu yang memerlukan pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka. Sebab itu dalam garis panduan menjelaskan bahawa aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran di luar bilik darjah dikurangkan manakala aktiviti kokurikulum, sukan dan pendidikan jasmani ditangguhkan bagi mengelak murid terdedah kepada kepanasan haba.
Bagaimana pemakaian uniform sekolah? Ada juga cadangan pemakaian baju sukan ke sekolah?
Saya bersetuju dengan perkara ini. Sekolah-sekolah yang berada di lokaliti yang terkesan perlu diberikan autonomi dan kelonggaran dalam menentukan pemakaian murid di sekolah. Misalnya, murid dibenarkan memakai pakaian sukan daripada memakai baju uniform yang lengkap dengan tali leher dan vest. Ia kurang selesa ketika cuaca panas dan boleh mengganggu keselesaan belajar.
Pandangan anda jika dilihat di laman sosial, ramai juga ibu bapa menyentuh soal kemudahan seperti kipas di sekolah yang banyak rosak menyebabkan masalah ketika pelajar berada di sekolah terutama pada musim strok haba?
Antara langkah proaktif ketika musim strok haba ialah memastikan pengudaraan yang baik di dalam kelas. Sekolah perlu memastikan kipas berfungsi dengan elok di kelas dan bilik makmal. Kerja-kerja penyelenggaraan perlu dilakukan bagi memastikan kipas berada pada tahap memuaskan. Ini bagi memastikan keadaan pembelajaran terkawal dan murid dalam keadaan selesa.
Ibu bapa boleh membantu pihak sekolah dengan mengumpul dana bagi menyediakan penyaman udara di kelas. Secara tidak langsung ia membantu dan mengurangkan beban sekolah. Tidaklah sampai perlu meminta Kementerian Pendidikan menyediakan penyaman udara di sekolah.
Sebahagian ibu bapa mengeluh jika terpaksa diadakan semula Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kerana akan membebankan mereka yang bekerja. Komen?
Kita sudah ada pengalaman dalam melaksanakan PdPR. Jadi, kita boleh memanfaatkan pengalaman tersebut dalam berdepan apa jua situasi.
Tinggal lagi ibu bapa perlu memberikan kerjasama yang baik dengan pihak sekolah demi memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik dan tidak ada tercicir.
Kesan jika PdPR diteruskan?
Apa yang kita telah lalui ketika sesi pembelajaran berdepan cabaran Covid-19 cukup memberikan banyak pengalaman terutama kesan dari sudut keciciran pendidikan. Jadi, pengalaman ini penting bagi Kementerian Pendidikan merangka pendekatan dan kaedah terbaik bagi mengelakkan kadar keciciran bertambah akibat PdPr diteruskan.
Pada masa sama, penyediaan kemudahan pembelajaran digital mencukupi dan berkualiti, ditambah sistem sokongan ibu bapa di rumah serta motivasi murid untuk terus menimba ilmu.
Kementerian Pendidikan juga wajar mendapatkan pandangan dan input berguna daripada pemegang taruh pendidikan, pakar pendidikan, kesatuan pendidikan dan ibu bapa bagi mengelak kelemahan berulang. Perlu ada penambahbaikan dari sistem yang ada berdasarkan pengalaman yang telah kita lalui sebelum ini. Ini memerlukan iltizam semua pihak demi kelangsungan pendidikan yang terbaik dan berkualiti. Semua pihak perlu berkolaborasi dan berpartisipasi untuk membina masa depan pendidikan negara supaya berada di tahap yang maju dan setanding dengan negara-negara luar. – UTUSAN







