Susahnya mahu dapatsokongan nak banteras rasuah

Susahnya mahu dapat sokongan nak banteras rasuah

USAHA-USAHA pencegahan rasuah yang giat dijalankan seolah-olah tidak mendapat sokongan serta tidak mampu membangkitkan semangat dan kesedaran rakyat. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP hari kita sering mendengar pelbagai cerita berkaitan rasuah dan paling membimbangkan, kebelakangan ini kes-kes salah guna kuasa membabitkan agensi penguatkuasaan menjadi bertambah serius. Mereka sewajarnya menjadi penjaga keamanan negara dan bukannya menjadi kuasa perosak yang menjual negara sendiri.

Usaha pemberi maklumat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seolah-olah tidak ada kesan untuk menumpaskan kegiatan mereka.

Secara tidak sedar, perjuangan badan pencegahan rasuah dan NGO antirasuah seolah-olah tidak mendapat sokongan. Tiupan semboyan pencegahan rasuah hanya sekadar nyanyian di angin lalu. Begitu juga laungan ‘benci rasuah’ dilayan seperti anjing menyalak bukit.

Di Indonesia, kadar rasuah semakin menurun kerana usaha-usaha pembanterasan rasuah mendapat sokongan penuh daripada seluruh lapisan rakyatnya. Tanpa mengira pangkat atau kedudukan, mereka sanggup berbakti bagi menghapuskan perasuah durjana dengan memberi bantuan moral dan kewangan.

Semangat untuk menumpaskan rasuah sememangnya boleh diberikan pujian. Persatuan antirasuah di Jakarta mendapat sokongan kutipan dana awam yang sangat memberangsangkan. Ini kerana mereka sedar setiap sen yang disumbangkan merupakan tanggungjawab sosial dan taat setia kepada negara. Mereka menyokong perjuangan antirasuah kerana impak jangka masa panjang untuk generasi akan datang tidak lagi ditindas dan hidup susah akibat rasuah.

Namun, sokongan seumpama itu tidak berlaku di Malaysia. Usaha NGO antirasuah seperti Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) melawan rasuah dengan melancarkan kempen pengumpulan dana awam tidak mendapat sambutan. Kerajaan juga tidak berdaya menggalakkan kakitangan awam memotong gaji mereka walaupun hanya RM1 sebagai tanda menyokong kempen kesedaran banteras rasuah.

Wang yang disumbangkan itu akan digunakan bagi menjalankan program antirasuah di seluruh tanah air. Namun, sejak kempen ini berlangsung Februari lalu, tiada seorang pun masyarakat awam yang sudi menyumbang. Hanya lima peratus daripada ahli MCW yang benar-benar komited memberi sumbangan bagi menyokong kempen ini.

Cara dan kaedah penyampaian yang sering digunakan ialah dalam bentuk memorandum. Segala pandangan dan kritikan rakyat disampaikan mengikut adab sopan, budi bicara ketimuran. Bak kata orang berpengalaman, sekiranya hendak menegur kerajaan, umpama mahu menegur seorang bapa dan mestilah dengan cara yang tertib serta beradab, barulah suara kita akan didengar.

SPRM

Hakikatnya, kuasa mendesak ini mampu memberi impak atau perubahan kepada pihak berkenaan. Contohnya, 10 tahun dahulu kerajaan menentukan semua polisi tanpa kaji selidik atau pendapat daripada rakyat. Namun, corak politik hari ini memberikan kuasa kepada rakyat bagi menentukan hala tuju negara menerusi pelbagai cadangan penambahbaikan.

Walaupun sedar negara Malaysia mengalami masalah pencapaian impak yang rendah dalam usaha memerangi rasuah atas kehendak politik, pentadbiran yang lemah dan kepentingan peribadi pemimpin sentiasa mengatasi kepentingan awam.

Namun, kita tidak boleh berputus asa dan perlu memperkukuhkan gerakan pencegahan rasuah dengan pelbagai strategi.

Sehubungan itu, rakyat juga perlu memberikan sokongan padu untuk sama-sama turun padang berjuang menumpaskan jenayah rasuah dan bukan hanya menuding jari kepada pihak tertentu atau asyik menyalahkan pemimpin. Pemimpin bukan turun dari langit. Mereka juga dalam kalangan kita. Kita pasti akan dikurniakan pemimpin yang baik sekiranya kita juga baik. Kita akan mendapat pemimpin yang zalim sekiranya kita saling menzalimi antara satu sama lain.

Rakyat harus sedar, pemimpin tidak akan korup sekiranya mereka tidak datang dari masyarakat yang korup. Pemimpin tidak menindas sekiranya dalam masyarakatnya tiada penindasan. Pemimpin pasti akan bersikap baik sekiranya hidup dalam masyarakat yang mengutamakan kebaikan tanpa mengamalkan kejahatan. Pemimpin juga tidak akan pandai menipu sekiranya hidup dalam masyarakat yang tidak pernah mengajarnya selok-belok tipu daya.

Adakah yakin kita semua berintegriti tinggi, berhati mulia dan tidak mengamalkan rasuah? Secara jujurnya, saban hari kita mendengar isu rasuah berdentum-dentum di dada media. Namun realitinya, indeks persepsi rasuah negara kita masih juga tidak turun. Rasuah sudah menjadi bahan mainan kehidupan. Riuh bercakap mengenai isu rasuah di sana-sini, namun tahap keberkesanan pencegahan rasuah seolah-olah tidak kesampaian. Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menguar-uarkan penangkapan kes rasuah berprofil tinggi sering dipersalahkan dan menyebabkan negara berada pada carta tercorot.

Adakah kita perlu mencontohi Singapura yang kini berada pada tangga kelima dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) untuk mengubah keadaan? Pihak berkuasa Singapura menghukum semua pemimpin yang didapati bersalah rasuah. Adakah kita bersedia menghukum pemimpin negara kita yang disabit kesalahan rasuah dan masih berada dalam kepimpinan kerajaan?

Persoalan ini sukar untuk dijawab kerana tiada kekebalan dalam berkata benar. Perkara yang benar sukar dilakukan kerana isu rasuah kini sudah menjadi mainan politik. – UTUSAN

PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN