PRN: Anak muda masih pilih PN? - Utusan Malaysia

PRN: Anak muda masih pilih PN?

SEMEMANGNYA anak-anak muda harus celik politik dan bukan sekadar aktif menyokong parti-parti politik kerana terpengaruh dengan suasana sekeliling. – GAMBAR HIASAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA ini, kita bukan setakat terpaksa mengharungi cuaca panas melampau dan sinaran terik matahari, tetapi pada masa sama turut dibakar bahang panas politik negara yang sedang marak membara.

Apa tidaknya, pilihan raya negeri (PRN) bagi enam negeri yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dahulu kini mesti dilangsungkan segera. Jika tidak, DUN terbabit akan terbubar dengan sendirinya dalam masa beberapa bulan lagi.

PRN kali ini dijangka amat sengit dan berkemungkinan berlaku lagi jajaran politik baharu sebelum berlangsungnya pilihan raya. Walaupun tarikh PRN belum dihebahkan setakat ini, namun cakap-cakap politik bertiup kencang mengatakan bagi negeri-negeri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan juga di bawah Perikatan Nasional (PN) berkemungkinan diadakan secara serentak pada Julai nanti.

Bermakna masanya hampir tiba untuk rakyat di enam negeri tersebut memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk penggal baharu. Terdapat ura-ura akan berlakunya suatu kerjasama politik di antara PN dan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam PRN ini.

Adakah hal ini akan menjadi kenyataan? Jika benarlah sedemikian, parti manakah yang paling banyak terpaksa berkorban kerusi untuk membolehkan perlawanan satu lawan satu di antara blok kerajaan dan blok terkuat pembangkang itu? Kita juga menunggu wajah poster parti-parti yang bakal bertanding.

Namun, persoalan penting sekarang adalah adakah Barisan Nasional (BN) dan PH akan berjaya mempertahankan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan? Amat menarik juga untuk kita lihat sekiranya PN akan berjaya menang besar di Kelantan, Terengganu dan Kedah seperti berlaku semasa PRU15 dahulu.

Seperti biasa, setiap kali pilihan raya diadakan, tidak kira sama ada PRU mahupun pilihan raya kecil (PRK), akan ada sahaja pemimpin parti yang kecewa atau marah kerana tidak dipilih menjadi calon. Sehinggakan ada yang berdendam dan sanggup mensabotaj parti mereka sendiri.

Bagi yang berani, mereka melakukannya secara terang-terangan. Yang kurang berani pula melakukannya secara lempar batu sembunyi tangan. Walaupun di hadapan orang mereka berikrar untuk taat setia kepada parti dan kepimpinannya, namun secara diam-diam mereka berusaha menjatuhkan calon daripada parti mereka sendiri.

Sikap sebegini amat menjengkelkan. Walhal, mereka naik kepada kedudukan sekarang pun atas dukungan parti, termasuk keringat dan hasil kerja keras penggerak parti di lapangan. Sebagai pemimpin, jangan bersikap terlalu mementingkan diri sendiri sahaja.

Belajarlah bertolak ansur sesama sendiri dan lebih penting lagi ingatlah tanggungjawab sendiri terhadap negara. Seharusnya mereka tidak bertindak sesuka hati hanya kerana merasa tidak puas hati, lalu sanggup menikam saudara sendiri. Amat menyedihkan kerana keadaan sebeginilah yang banyak berlaku pada masa kini.

NASI JADI BUBUR

Seperti berlaku pada PRU15, undi anak muda turut dilihat akan memberi kesan besar kepada keputusan PRN pada kali ini. Ada yang merasakan bahawa anak muda tidak mempunyai pendirian yang tetap dan mudah dipengaruhi.

Maka, parti-parti yang bertanding akan berusaha keras untuk mendapatkan undi mereka. Parti manakah pilihan majoriti anak-anak muda pada kali ini? Adakah mereka akan sekali lagi berpihak kepada PN seperti yang berlaku semasa PRU15? Sama-sama kita tunggu keputusannya nanti.

Sebagai rakyat yang prihatin dan sayangkan negara, kita berharap tidak akan berlaku politik wang dalam PRN ini. Rakyat mengharapkan pilihan raya yang bersih dan tidak dicemari unsur-unsur negatif yang tidak sihat.

Semakin menghampiri tarikh pilihan raya, semakin banyak kenyataan-kenyataan panas yang dikeluarkan oleh para pemimpin parti-parti yang bakal bertanding. Permainan persepsi kembali berleluasa sehinggakan rakyat menjadi keliru dan adakalanya tertipu oleh cerita-cerita yang tidak benar.

Kita harus berhati-hati agar tidak menjadi penyambung fitnah. Apatah lagi bagi anak-anak muda yang belum faham akan permainan politik sebegini. Semoga pemimpin parti lebih fokus tentang tawaran mereka kepada rakyat berbanding menjaja persepsi dan memburuk-burukkan pihak lawan.

Ramai yang beranggapan bahawa politik itu kotor, namun sebenarnya pemain politiklah yang menentukan kebersihan medan politik. Jika kotorlah permainan mereka, maka kotorlah medan mereka.

Pemimpin yang tamak kuasa akan melakukan apa-apa sahaja untuk menang dan kekal berkuasa. Janji bulan bintang akan ditabur menjelang setiap pilihan raya, dan rakyat turut akan ditipu berkali-kali.

Sememangnya anak-anak muda harus celik politik dan bukan sekadar aktif menyokong parti-parti politik kerana terpengaruh dengan suasana sekeliling. Yang penting bagi kebanyakan daripada mereka ialah kemenangan parti yang mereka sokong, tanpa benar-benar mengkaji akan baik tidaknya kesan hal sedemikian terhadap negara.

Lebih memburukkan keadaan, ada juga yang sampai tidak bertegur sapa hanya kerana berlainan parti politik. Pengaruh politik radikal merosakkan keperibadian anak muda dan menjadikan mereka kasar dan radikal.

Kepada bakal pengundi, buatlah kajian dengan teliti sebelum hari mengundi kerana memilih kerajaan bukanlah perkara yang ringan. Jangan nantinya menjadi ibarat menang sorak kampung tergadai. Kita harus berhati-hati supaya tidak tertipu oleh mainan persepsi maklumat.

Perkara yang tular di internet belum tentu benar. Alangkah ruginya jika kita membuat keputusan yang salah berdasarkan maklumat tidak benar. Sesal dahulu berpendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Janganlah sampai nasi menjadi bubur dahulu. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×