NCER sasar latih 10,000 bakat penuhi keperluan industri

NCER sasar latih 10,000 bakat penuhi keperluan industri

AKMAL Nasrullah berucap sebelum melancarkan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030, di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menyasarkan melatih 10,000 bakat dalam tempoh empat tahun akan datang bagi memenuhi keperluan industri, khususnya sektor berteknologi tinggi termasuk semikonduktor.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, usaha berkenaan penting bagi memastikan bekalan tenaga kerja tempatan sentiasa seiring dengan perubahan teknologi serta keperluan semasa industri.

Katanya, kerajaan turut bekerjasama dengan institusi tempatan dan pemain industri dalam menyediakan latihan yang bersesuaian dengan keperluan pasaran pekerjaan.

“Keperluan teknologi terus berubah, keperluan terus berubah. Jadi, kita perlu terus mengatasi masalah ini untuk memastikan keadaan kita berkaitan dengan trend dan keperluan terbaharu yang diperlukan oleh industri.

“Berkaitan dengan KPI dan keperluan, kami telah bersetuju untuk memberi latihan bagi tempoh empat tahun ke depan untuk 10,000 pengguna melalui program ini,” katanya pada sesi soal jawab selepas pelancaran Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai keperluan bakat tempatan bagi menyokong sasaran pekerjaan berkemahiran tinggi di NCER.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata, terdapat perbezaan antara bekalan bakat tempatan dengan permintaan industri yang perlu dikecilkan. 

Katanya, NCIA telah berbincang dengan universiti tempatan dan pihak industri bagi menyediakan bakat dalam disiplin tertentu yang dikenal pasti berdasarkan keperluan industri.

“Selalu ada perbezaan antara bakat tempatan dan permintaan. Tetapi untuk memastikan perbezaan ini dikurangkan, kami telah berbincang dengan universiti tempatan dan pihak industri untuk menyediakan talent tempatan yang berkenaan dengan disiplin-disiplin tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Akmal berkata, sasaran pekerjaan yang ditetapkan NCER bukan sekadar mengambil kira jumlah peluang pekerjaan, sebaliknya turut memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan nilai yang dihasilkan tenaga kerja.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi wilayah berkenaan turut diterjemahkan kepada peluang pekerjaan yang lebih berkualiti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×