Menyelusuri gelombang pengantarabangsaan terkini

Menyelusuri gelombang pengantarabangsaan terkini

PEMETERAIAN MoU antara UIAM dan AJMI yang disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) di Doha, Qatar, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGANTARABANGSAAN dianggap penting dalam dunia yang dikatakan sudah menyempit. Yakni perhubungan antara satu sama lain merentas sempadan geopolitik menjadi lebih mudah dan ketara. Tidak seperti dahulu kerana teknologi komunikasi tidak secanggih dinihari dengan bermacam peranti. Bukan sahaja lebih pantas, tetapi lebih murah dan mudah alih untuk menyenangkan penggunaan seharian. Dengan kata lain, dua tempat atau individu amat mudah ditemukan satu sama lain bila-bila masa sahaja.

Sewaktu kefahaman awal pengantarabangsaan, konsepnya masih berkisar pergerakan lahiriah, iaitu bergerak dari tempat ke tempat untuk melebarkan jaringan, kerjasama dan pengaruh seluas mungkin. Natijah daripada ini menjadikan pengantarabangsaan amalan ramai tetapi menelan belanja tinggi kerana melibatkan pergerakan jasad.

Justeru, tidak semua mampu melibatkan diri dan berbelanja sakan. Umumnya, ia mengarah dari negara membangun di hemisfera selatan ke utara. Lantas, pendidikan dianggap antara sektor terpenting sehingga pengantarabangsaan dijadikan tanda aras kualiti pendidikan sesebuah universiti tanpa mengambil kira kekangan kewangan. Lagipun, banyak yang bergantung kepadanya kerana ingin menarik lebih ramai bilangan warga antarabangsa berbanding sebaliknya.

Oleh itu, negara membangun terus mencuba tetapi dengan bilangan yang kecil tertumpu kepada negara serantau sahaja, bahkan mutunya pun agak rendah. Apa lagi ada gesaan untuk bersaing walaupun peluang menang agak tipis memandangkan konsep pengantarabangsaan yang berat sebelah.

Kepincangan ini mula diperkatakan di peringkat antarabangsa oleh negara maju sendiri, anehnya. Hatta mulai awal 2000, suatu lagi konsep pengantarabangsaan diungkapkan sebagai satu proses silang budaya serta keterangkuman atas dasar kebersamaan dan kesefahaman. Tambahan, ia juga dianggap sebagai proses pendidikan tidak formal di mana bilangan tidak dipentingkan sangat. Apa guna ramai anggota antarabangsa tetapi masing-masing hidup terpencil umpama kera sumbang, atau rusa masuk kampung?

Kadangkala boleh membawa padah kerana tiada bertolak ansur atau terlampau taksub dengan cara atau budaya sendiri. Ataupun sebaliknya, terlalu tunduk kepada budaya setempat sehingga budaya dan nilai sendiri dicicirkan. Ini acap kali berlaku kepada warganegara membangun di negara maju, atau lebih teruk lagi akibat jati diri yang amat lemah. Namun, konsep ini lebih luas untuk pergerakan dari Utara ke Selatan bagi menepati pengalaman silang budaya yang dituntut oleh institusi masing-masing. Perubahan ini dikatakan sebagai gelombang kedua. Tetapi tidak ramai yang medekatinya kerana masih terperangkap dengan fahaman gelombang terawal yang agak sempit tanpa sentuhan manusiawi seperti diperkenalkan gelombang terbaru.

Soal budaya tinggi, adab dan sopan santun yang sesuai dilaksanakan sebahagian daripada proses membawa kepada gelombang kedua sering terabai. Kedengaran pula pengantarabangsaan menghadapi pelbagai masalah khususnya mendapatkan visa, menampakkan jurang untuk memupuk serta menzahirkan kefahaman silang budaya yang tinggi lagi ramah mesra masih luas. Tatacara lebih halus dan manusiawi mungkin diperlukan.

Bukan lagi bekerja 8 pagi hingga 5 petang, tetapi 24 jam! Ramai mungkin tidak bersedia, apa lagi terlatih ke arah ini. Sambil itu, gelombang kedua terus menjadi deras dengan pelbagai bahana kepada pengantarabangsaan.

GELOMBANG MUTAKHIR

Pada masa ini, satu lagi gelombang sudah mula menyusul sempena pelancaran Matlamat Membangunan Kelestarian (SDG) pada 2015 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York. Semua ketua negara mengakuri termasuk Malaysia. Di bawah program SDG ini, konsep pengantarabangsaan berubah lagi. Proses yang diperkenalkan sebelum ini turut melebar melewati soal sosiobudaya sahaja, tetapi termasuk soal alam sekitar dan juga ekonomi, keamanan serta keserakanan.

Ringkasnya, 5Ps – people, planet, prosperity, peace dan partnership.

Ini melibatkan proses-proses tertentu untuk menyelamatkan masa hadapan bumi serta penghuninya – rumpun manusia sejagat tanpa had itu dan ini. Lebih ampuh lagi, rahmatan lil alamin. Ertinya, pengantarabangsaan menjadi penghubung kemanusiaan dan tidak terbatas antara beberapa negara pilihan sahaja seperti dahulu. Kelompok itu dan ini berasas konsep lama yang menguntungkan hanya yang mampu dan berkuasa. Yang lain terpinga-pinga ditelan gelombang seterusnya.

Gelombang ketiga melibatkan seantero apabila krisis iklim yang melanda menjadi agenda perdana. Dan SDG adalah antara beberapa paksinya, tetapi tidak akan berjaya tanpa penglibatan institusi pendidikan yang menyelusuri di bawah Agenda 2030. Lebih-lebih lagi tataurus pengantarabangsaan masih di takuk seperti amalan kini. Capaiannya mungkin bertaburan tetapi kelestarian tiada. Angka dan nombor sekadar penyedap rasa, kesan 5P sifar. Tercicir lagi sekali dalam menyelusuri gelombang antarabangsa terkini. Hanya tinggal pada nama tanpa membawa makna berkesan di persada dunia. Hanya berseronok kata-kata, bukan melakarkannya di peringkat antarabangsa!

Ditambah pula serangan pandemik yang menegaskan satu lagi gelombang akan tiba, lebih kuat pukulannya. Yang leka perlu bersiap sedia, takut-takut tercicir.

Antaranya pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) Universiti Islam Antarabangsa Malaytsia (UIAM) bersama Aljazeera Media Institute (AJMI) di Qatar, salah satu gergasi media yang menampilkan diri sebagai satu suara kelainan memecah monopoli dunia Barat, khusus dalam menentukan agenda antarabangsa.

Misalnya, isu Islamofobia. Ini bakal mencetuskan satu lagi gelombang pengantarabangsaan yang lebih adil dan saksama bagi menyelesaikan prejudis yang diperagakan selama ini. Satu lagi kelainan adalah penyaluran dana Qatar Fund for Development bagi tujuan pendidikan kumpulan pelarian antara universiti di Malaysia dan Qatar.

Semoga usaha-usaha kental ini akan menjadi aktiviti antarabangsa lebih berani dan bersaksama buat dunia sejagat. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN