HAIRAN bin ajaib. Apa hairannya, apa ajaibnya?
Orang Melayu pegang kuasa, Melayu juga salahkan bangsa lain. Melayu pegang kuasa, tetapi Melayu sendiri yang melemahkan bangsa.
Padahal, hak-hak Melayu sudah dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tetapi alahai, asyiklah salahkan pihak lain termasuklah DAP kononnya cuba mengganggu-gugat hak mereka.
Nampaknya sebahagian orang kita masih tidak berubah daripada segi pemikiran dan tindakan.
Politik bangsa Melayu masih di persimpangan. Lipatan sejarah berulang-ulang kali cuba memberi pengajaran kepada bangsa Melayu bahawa jika mereka tidak bangun, sedar dan berubah maka sentiasalah nasib bangsa ini akan `huru-hara’. Menjadi seperti mana tercatat dalam sejarah bangsa Melayu.
Lipatan sejarah ini tidak pernah sekalipun tersilap. Ungkap ahli fikir Barat, George Santayana: “Mereka yang tidak belajar daripada sejarah akan didera dengan mengulangi kesalahan mereka berkali-kali”.
Apakah orang Melayu mendapat pelajaran daripada sejarah mereka terutama sejarah 450 tahun mereka dijajah?
Orang Melayu di zaman penjajah suatu ketika tidak bersemangat. Mereka anggap diri sebagai manusia kelas dua. Mereka sedia menyerah apa sahaja kepada orang lain yang mereka percaya lebih berkebolehan daripada mereka. Pentadbiran negara, perniagaan dan perusahaan, kerja biasa pun semuanya diserah kepada orang asing.
Dengan itu pada satu masa awal abad ke-20, jumlah orang asing di negeri-negeri Melayu melebihi jumlah orang Melayu. Jika tidak kerana kemelesetan ekonomi dunia (resesi) yang teruk pada 1930-an, hari ini orang Melayu mungkin menjadi kaum minoriti di Malaysia seperti di Singapura.
Tetapi resesi 1930 menyebabkan ramai daripada orang Cina dan India balik ke negara mereka. Dengan itu jumlah orang Melayu melebihi sedikit daripada orang mendatang. Dengan itu yang menuntut kemerdekaan dan menerajui kerajaan Malaya yang merdeka ialah orang Melayu. Kita nyaris menjadi Melayu Singapura.
Inilah kesan daripada menyerah segala kerja dan urusan kepada orang lain. Inilah akibat sikap tidak sanggup buat kerja yang berat sedikit, yang berbeza sedikit daripada kerja biasa – iaitu tanam padi dan menangkap ikan.
Orang Melayu tidak sanggup dan tidak mahu bekerja dalam kebun getah atau lombong bijih. Atau belajar berniaga selain buka gerai di tepi jalan atau hampar tikar di pasar dan duduk di tengah-tengah barangan yang hendak dijual.
Perniagaan mereka tidak membesar. Peniaga Melayu biasanya tidak pindah ke kedai yang lebih sempurna, lebih besar. Rezeki secupak orang Melayu tidak pernah jadi segantang. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tidak ada esok bagi perniagaan orang Melayu.
MELAYU TERSELAMAT
Tetapi di zaman Jepun, orang Melayu masih ingin mengalu-alukan kembalinya penjajah British. Alangkah terkejutnya orang Melayu apabila mereka diberitahu British berhasrat menjadikan negeri-negeri Melayu sebagai milik mereka terus dan tidak lagi negeri Melayu yang dilindungi British.
Mereka tidak lagi akan mempunyai taraf sebagai anak watan bumiputera dalam sebuah negara mereka sendiri. Mereka akan menjadi satu daripada kaum yang setaraf dengan kaum mendatang. Lebih buruk lagi sementara mereka boleh memiliki kewarganegaraan Malayan Union sahaja, kaum pendatang boleh memiliki kewarganegaraan dua negara pula – Malayan Union dan negara asal daripada mana mereka datang.
Dalam Malayan Union ciptaan British, orang Melayu akan menjadi secara rasmi warganegara kelas dua.
Alhamdulillah, kuasa yang sedikit itu telah menyelamatkan orang Melayu daripada nasib yang menimpa penduduk tanah jajahan Barat yang lain. Dalam perjanjian dengan British yang berkuat kuasa selagi ada matahari, bulan dan bintang di langit, syarat yang penting ialah perkembangan agama Kristian dalam kalangan orang Melayu tidak dibenarkan. Dengan itu terselamatlah agama orang Melayu.
Apabila gerakan menentang Malayan Union berlaku, tidak ada masalah bagi orang Melayu lulusan sekolah agama, sekolah Melayu dan sekolah Inggeris bekerjasama rapat untuk menentangnya. Semua orang Melayu menyertai UMNO dan semua sama-sama menyokong perjuangan orang Melayu melawan penjajah.
Apakah orang Melayu hari ini tidak mempelajari daripada sejarah mereka?
Sesekali wahai orang Melayu, kena toleh pada sejarah. Tidak ada ruginya. Untungnya lagi besar untuk pengajaran masa depan. Masih salah DAP lagikah? – Mingguan Malaysia










