Golongan ‘kayangan’ jadi sasaran penipu

Golongan ‘kayangan’ jadi sasaran penipu

HISHAMUDDIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
SANGAT kesal, itulah perasaan yang bersarang dalam hati Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), DATUK HISHAMUDDIN HASHIM apabila menerima aduan pesara yang telah mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ditipu ratusan ribu ringgit setiap seorang.

Semuanya angkara skim pelaburan didakwa ‘berdaftar’ dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) tetapi telah lima tahun bebas menipu kerana terdapat kelompangan undang-undang sehingga menyebabkan suruhanjaya itu hanya mampu tengok sahaja apabila pelabur ditipu.

Walaupun dikatakan ‘kebal’ undang-undang, setelah berhempas-pulas memerah otak, Hishamuddin memberitahu wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM di Kuala Lumpur, baru-baru ini, pihaknya menemui cara untuk melumpuhkan penipuan korporat terbabit sekali gus meneruskan rekod cemerlang MHO yang telah membongkar kes rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Kemboja dan Laos pada tahun lalu.

UTUSAN: Apakah fokus MHO pada tahun ini?

HISHAMUDDIN: Kita sebenarnya menerima begitu banyak aduan, sudah hampir 1,000 orang yang menjadi mangsa penipuan skim pelaburan. MHO ini kita hanya terlibat kalau ada pengadu dan aduan boleh dibuat dengan menghubungi 011-29050000 atau 019-5380000.

Kita bertindak apabila didapati agensi penguatkuasaan macam kurang mendapat dorongan (untuk bertindak) ataupun kes ini kita nampak tidak bergerak. Sebab itu kita akan beri tekanan supaya seluruh jentera yang ada dalam kerajaan ini mewujudkan satu pasukan petugas untuk bekerja secara holistik bagi menangani masalah ini.

Saya nampak, trend ini wujud sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun 2019, 2020 dan kemuncaknya pada tahun ini. Berduyun-duyun syarikat pelaburan ini menggunakan satu kelompongan undang-undang yang melibatkan SC.

Dikatakan yang kena tipu ini orang kaya. Sebenarnya bukan orang kaya (sahaja), banyak kena tipu ini orang yang guna duit KWSP setelah bersara umur 55 tahun. Koperasi kakitangan kerajaan pun kena tipu. Dia melabur sebab syarikat pelaburan memberi tawaran masuk akal iaitu dividen 15 peratus setahun sama macam sesetengah bank, bukan bagi tawaran bulan dan bintang serta dinyatakan juga sebagai patuh syariah.

Jangan kata pelabur ini tamak, kerana skim ini bukan memberi dividen 20 peratus setiap bulan. Setahun hanya 15 peratus, memang logik. Mereka tahu kena tipu apabila dividen tak dibayar dan syarikat ditutup.

Boleh jelaskan lebih lanjut?

Mana-mana syarikat hendak mengeluarkan satu tawaran pelaburan mereka perlu menyediakan dokumen yang dipanggil prospektus yang menyatakan langkah-langkah yang telah diambil seperti disyaratkan termasuk mewujudkan pemegang amanah yang mengawal akaun, penaja jamin dan jawatankuasa mengawal selia pelaburan bagi mengelak berlaku penipuan. SC semak semua ini, sebelum memberikan kelulusan.

Kelompangan undang-undang wujud apabila SC memberikan pengecualian daripada menyerahkan prospektus untuk kelulusan jika nilai pelaburan itu melebihi RM250,000 bagi seorang pelabur. Syarikat pelaburan terbabit hanya perlu hantar serah dokumen berbeza yang diperakui SC dipanggil memorandum maklumat untuk simpanan suruhanjaya itu.

Pengecualian ini diberikan kerana pelabur terbabit dipanggil sebagai individu dengan pendapatan bersih bernilai tinggi iaitu orang yang kayalah. Bila mempunyai pendapatan yang banyak, SC anggap kau ini bijak. Bila kau bijak, kau ada (lantik) peguam dan akauntan untuk selidik sama ada syarikat pelaburan ini betul atau tidak.

SC tidak mahu selidik sebaliknya hanya ambil dokumen memorandum maklumat itu untuk dicap terima sahaja dan dia tak semak kerana pelaburan itu tidak dikawal selia. Tetapi tidak semua pelabur yang bijak, kerana pakai duit KWSP. Mereka percaya, sebab apabila telefon SC, dimaklumkan syarikat itu tersenarai sebagai syarikat yang hantar memorandum maklumat, sedangkan mereka tidak faham dokumen itu berbeza dengan prospektus.

Macam mana nak selesaikan isu ini?

Sekarang ini yang lebih mendatangkan masalah apabila mereka membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak polis kata kes tiada tindakan lanjut (NFA). Mereka diminta untuk melantik peguam dan mengambil tindakan saman sivil.

Tindakan saman sivil tiada gunanya kerana syarikat ini tiada aset (untuk diguna membayar hutang). Saman individu (pemilik syarikat) sekalipun, individu itu kita hanya boleh bankrapkan sahaja kerana individu yang kena tindakan sivil ini tidak boleh masuk penjara.

Jadi sekarang ini, usaha kita adalah untuk meminta kepada agensi siasatan supaya tidak mengklasifikasikan kes ini sebagai NFA tetapi siasat di bawah pertuduhan Seksyen 415 Kanun Keseksaan kerana jenayah tipu dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana pe­nipuan dengan tujuan untuk memperdaya, sebab dia buat memorandum maklumat itu sebagai satu cara untuk mem­perdaya mangsa-mangsa ini.

Kes yang kami bawa ini baru melibatkan dua syarikat, ada lagi 200 syarikat yang kita tak tahu betul atau tak betul. Jadi kita nak tunggu orang kena tipu dulu, baru ambil tindakan?

Adakah terdapat akta lain yang boleh digunakan?

Syarikat-syarikat ini sebenarnya telah melakukan kesalahan walaupun dia tidak tertakluk di bawah kawal selia SC. Dia tidak terlepas dengan satu akta lain iaitu Akta Skim Kepentingan 2016 di bawah kawal selia Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Ini yang kami nak bawa, sebab kebanyakan orang terlepas pandang akta ini. Kami hendak tekan SSM ini kerana kerja mereka bukan sahaja mendaftar syarikat. Kenapa kita tidak pernah dengar mereka buat tangkapan dan tiada kes pun yang didakwa di bawah akta ini?

Di bawah Seksyen 3, akta ini bertajuk pengeluaran dan kehendak bagi pendaftaran skim yang menyatakan tiada seorang pun kecuali suatu syarikat pengurusan boleh mengeluarkan atau menawarkan kepada orang ramai untuk melanggan atau membeli atau mempelawa orang awam untuk melanggan atau membeli apa-apa kepentingan.

Ini bermakna, semuanya kena berdaftar dan diluluskan oleh SSM. Banyak agensi siasatan terlepas pandang kewujudan akta ini. Sebenarnya tidak ada syarikat yang dikecualikan daripada melakukan pendaftaran skim pelaburan dan tidak dikawal selia kerana semua kelompangan yang ada telah dipenuhi oleh akta ini.

Hukuman dia juga bukan main-main iaitu mana-mana orang yang melanggar seksyen ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan didenda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya