MUKADIMAH
SEJAK 2019, barulah China membenarkan Malaysia mengeksport durian dalam bentuk buah penuh berbanding sebelum itu, hanya sejuk beku merangkumi pulpa dan biji.
Ekoran itu, jumlah eksport raja buah ke Tembok Besar Cina itu meningkat daripada 224,400 (2017) kepada 821,500 tan metrik pada 2021, iaitu 42.7 peratus setahun dan dijangka terus meningkat setiap tahun.
Namun, sejak hebohnya berita mengenai penanaman durian di China akan mengeluarkan hasilnya yang pertama, bulan depan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengusaha durian tempatan ekoran berkemungkinan eksport ke republik itu akan berkurangan.
Bagi Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), DATUK DR. MOHAMAD ZABAWI ABDUL GHANI, beliau percaya Malaysia masih berpotensi mengeksport durian berdasarkan peningkatan permintaan peminat durian dari China selain negara ini memiliki varieti bermutu tinggi hasil penyelidikan agensi berkenaan.
Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID serta jurufoto, FAUZI BAHARUDIN mengenai isu ini.
UTUSAN: 2023 dianggap tahun yang digeruni peniaga durian kerana ia boleh jadi ‘pengakhiran’ buat pekebun dan peniaga raja buah itu. Komen?
MOHAMAD ZABAWI: Ia digeruni peniaga durian tempatan kerana dilaporkan China telah menanam 2,000 hektar durian di Pulau Hainan dan dijangka 2,450 tan metrik buah akan dituai pada Jun ini. Walaupun jumlah ini kecil berbanding sebanyak 825,000 tan durian diimport China pada tahun lalu, ia dilihat berpotensi untuk mengurangkan import buah durian Malaysia oleh negara itu.
Apa kesan kepada negara?
China ini unik. Negara mereka luas dan di sebelah selatan memiliki cuaca lebih kurang sama macam kita, silap-silap boleh tanam kelapa sawit. Tapi tidak perlu bimbang sebab mereka tanam tidak luas mana pun jika nak dibandingkan dengan jumlah penduduk negara itu, jauh sangat.
Jadi, pekebun tempatan tidak perlu bimbang. Walaupun China menghasilkan durian sendiri, mungkin akan terdapat perbezaan dari aspek rasa, kualiti dan sebagainya kerana faktor luaran penanaman seperti cuaca, tanah dan amalan penanaman berbeza.
Kajian MARDI pada 2018 menunjukkan 95 peratus pengguna China menggemari durian Malaysia berbanding Thailand. Selain China, durian kita yang premium dan berkualiti mampu menarik pelanggan dan pasaran baharu dari negara-negara lain.
Pun begitu, permintaan durian di China sangat besar dan masih berkembang. Pada 2017, China import 224,400 tan metrik durian dan meningkat kepada 821,500 tan metrik pada 2021. Berdasarkan jumlah itu, mereka mungkin tidak dapat memenuhi permintaan dan masih ada pasaran untuk durian Malaysia di China. Permintaan akan selari dengan penambahan populasi, kuasa beli pengguna dan pengaruh pasaran.
China sudah tanam durian sendiri, MARDI pula banyak penyelidikan mengenai durian hibrid dan menghasilkan durian MDUR88, MDUR79 serta MDUR78. Namun, masih ramai pekebun yang tidak tahu mengenainya. Apa sebab?
Sebenarnya ramai orang tanam, cuma kita tiada data kerana ada yang beli melalui ekspo dan sebagainya. Pekebun ini tanam 10 pokok, pekebun itu tanam 10 pokok dan ditanam secara berselerak. Kita ada jual dekat ekspo, orang beli 15 atau 20 pokok dan tanam berselerak. Sebenarnya varieti durian MARDI ada di mana-mana.
Malah beberapa tahun kebelakangan ini, sejak hebahan secara aktif dilakukan di pelbagai medium media massa, semakin ramai petani tanam durian hibrid MARDI dan MARDI laksanakan program perintis dan projek kerjasama bersama Unit Perancangan Ekonomi (UPEN) Selangor bagi membantu meningkatkan kawasan penanaman durian hibrid MARDI. Projek yang bermula sejak 2021 menyasarkan penanaman hingga 410 hektar kawasan ditanam dengan durian hibrid MARDI.
Durian kami mempunyai keistimewaan tersendiri. Sebagai contoh, MDUR88 merupakan klon durian yang mempunyai ketahanan kepada penyakit kanker berbanding klon popular, Musang King. Klon ini juga mempunyai berat boleh diproses yang tinggi sebanyak 70 peratus kerana isi ulas yang tebal seperti D24 dan amat sesuai untuk dijadikan pes bagi industri pemprosesan.
Potensi pasaran bagi pemprosesan produk adalah lebih tinggi berbanding segar. Buah durian hibrid MARDI sedang diperkenalkan semula dengan kerjasama pemain industri melalui kaedah pasaran yang lebih berkesan.
Tapi jika dilihat, peniaga tidak mempromosi sebagai durian MDUR?
Ya. Saya ingat MDUR ini tahun 1990-an dilancarkan di Terengganu. Kita cuba nak buat penjenamaan semula dengan beberapa penambah baikan.
Kalau ikutkan, Musang King sebenarnya D197 tapi bila sudah tambah baik oleh pekebun Cina di Raub, Pahang, dijenamakan semula sebagai Musang King. Itu saja, bukan mereka buat klon baharu. Klon baharu mengambil masa sekurang-kurangnya 10 hingga 15 tahun, nak cross (pembiakan silang) sana, nak cross sini. Kalau dalam satu kebun ada dua varieti durian dan kalau cross mana-mana, ia jadi satu varieti lain dan bubuh nama.
Sebab tu sekarang kita ada projek di bawak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kita ambil petani-petani, sekurang-kurangnya kita ada rekod. Kalau petani ada tanah dalam tiga ekar, kita bagi percuma 100 batang pokok MDUR bagi mereka tanam. Sasaran kita pada 2025 nak ada 8,000 pokok MDUR.
Sekarang ini pun saya arahkan semua stesen MARDI yang buat cantuman benih perbanyakkan benih-benih ini. Kalau orang beli sekurang-kurangnya kita ada rekod.
Kekangan untuk memperluaskan durian hasil penyelidikan MARDI?
Penyelidikan durian mengambil masa yang panjang kerana ia dikategorikan sebagai tanaman jangka masa panjang. Ia memberi cabaran dari segi masa, kos dan perubahan permintaan pengguna dan pasaran.
Nak buat klon, lama, kemudian nak jenamakan semula perlu juga tengok. Bukan takat tukar nama bagi sedap-sedap tapi benda itu jadi benda yang lama, ada sedikit penambahbaikan atau kualiti di situ.
Cabaran juga dihadapi dari sudut ketersediaan petani, pemborong, syarikat pemasar dan pengguna tempatan dalam menerima dan menggunakan teknologi yang dihasilkan.
Dahulu pekebun tidak mempunyai tanah yang luas. Dahulu mereka tanam di belakang atau tepi rumah, mungkin dalam 10 pokok. Dekat situ mungkin kekangan bagi orang dahulu kerana tidak memiliki tanah luas.
Selain itu, kekangan dari segi nak hasilkan benih. Ia bukan proses seminggu, dua boleh tanam, sekurang-kurang bila keluar tunas selepas kita cantum ambil masa tiga bulan. Kemudian nak tunggu besar untuk dijual.
Sekarang kita perbanyakkan benih. Saya beritahu, buat sahaja seberapa banyak benih kerana makin besar, makin mahal harganya.
Eksport durian merupakan antara penyumbang kepada pendapatan negara. Ada buat penyelidikan untuk durian berbuah sepanjang tahun?
Nak bagi berbuah dekat pokok agak sukar sebab pokok ini nak bagi berbunga. Kita perlu beri ‘tekanan’ kepada pokok durian atau kecuali kita kawal betul-betul dengan tidak memberi air. Tapi agak sukar kerana ada yang terkena hujan. Bila tidak menerima air, pokok akan ‘tertekan’ dan akhirnya mengeluarkan bunga.
Lebih mudah jika tanaman mengikut zon. Lepas Terengganu berbuah, tidak lama kemudian Pahang pula. Tapi kalau nak sentiasa ada, kita ada teknologi penyimpanan durian iaitu melalui kaedah pembekuan kriogenik. Kita boleh sejuk beku buah bulat sehingga enam bulan. Jadi, harga tidak akan turun sebab buah sentiasa ada di pasaran sepanjang tahun.
Kenapa tidak jalin kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)?
Untuk spesifik durian memang ada (kerjasama). FAMA akan ambil daripada mana-mana petani tetapi untuk durian klon, selalunya penanam jual sendiri sebab dapat harga lebih tinggi.
Kalau begitu, susahlah nak promosi MDUR?
Sebab itu kena ada sistem bagaimana FAMA boleh mainkan peranan. Mungkin buat kerjasama seperti FAMA banyak bilik sejuk dan dari situ dengan teknologi kriogenik tadi, kita boleh gunakan bilik sejuk mereka untuk simpan stok durian.
Bagaimana mahu menggalakkan petani menanam durian hasil penyelidikan MARDI yang mempunyai potensi besar?
Seperti saya cakap tadi, melalui program kita dan kalau boleh sambung dan perluaskan lagi sebab benih kita sudah bagi percuma dan ini peranan Pengarah MARDI negeri untuk cari mereka yang berpotensi.
Dalam masa sama, kita teruskan nasihat teknikal. Projek ini bermula pada 2021 dan 2022 kita baru dapat sikit.
Kita juga akan terus promosi dan kempen di pelbagai platform termasuk media sosial melibatkan pempengaruh mahupun media antarabangsa.
Kita akan lakukan penjenamaan semula dan menyertai pertandingan baka durian terbaik di peringkat komuniti dan industri. Selain itu, kita akan meningkatkan kerjasama dengan Jabatan Pertanian seperti melalui Panel Kumpulan Kerja Teknikal (TWG).
Apa yang petani perlu tahu (keistimewaan) durian hasil penyelidikan MARDI?
Selain cita rasa durian ini tidak manis sahaja, masih ada rasa pahit-pahit, harga lebih murah berbanding Musang King. Jika dilihat harga jauh lebih berbaloi dan memang berpatutan.
Selain itu, klon MDUR mempunyai tahap ketahanan yang tinggi kepada penyakit kanker durian (Phytophthora palmivora) dan serangan serangga perosak terutama ulat pengorek buah seperti Lepidoptera.
Bagaimana caranya jika pekebun mahu menanam durian hasil penyelidikan MARDI?
Boleh dapatkan di pusat jualan biji benih di ibu pejabat atau stesen MARDI. Harga bermula RM20 sehingga RM100 mengikut saiz.
Sejak dilantik sebagai Ketua Pengarah MARDI pada 8 Jun 2021, apa perubahan yang telah dan akan Datuk lakukan untuk memastikan agensi ini terus relevan?
Dari awal menjawat jawatan ini, saya nak kekalkan konsep 70:30, iaitu 70 peratus public good (gunaan awam) dan 30 komersial sebab saya pentingkan kepada petani-petani yang memerlukan bimbingan, sokongan. Mereka nak teknologi yang berbentuk public good.
Kalau kata teknologi, kita akan fokus formulasi baja di bawah syarikat dan petani.
Selain itu terus fokus pada visi, misi dan teras rancangan strategik korporat (CSP) yang baharu ditetapkan untuk 2021 hingga 2025 melalui lima teras, 19 strategik dan 100 pelan tindakan yang telah digariskan.
Bagi mencapai apa yang telah ditetapkan negara, beberapa projek di bawah RMK12 sedang giat dilaksanakan, antaranya membangunkan tanaman bawang yang sebelum ini tidak diberikan penekanan.
Selain itu, bagi mengatasi isu permintaan benih tanaman kelapa tempatan yang tinggi, MARDI juga memberi penekanan khusus meningkatkan pengeluaran benih melalui projek perluasan pembangunan kebun benih.
MARDI juga meneruskan penyelidikan bagi pengembangan inovasi teknologi Ayam Kampung Saga yang merupakan baka tempatan sebagai alternatif untuk industri ternakan ayam negara.
Kita tidak mahu penemuan MARDI setakat kalau masuk pertandingan, menang emas, menang perak, menang gangsa. Kita nak terjemahkan ke lapangan.
Dan kalau buat sesuatu itu biar cepat, jangan tangguh. Kalau ada orang nak jumpa, terus kita buat. Kalau boleh, biar saya sendiri jumpa orang itu sebab dia akan lebih berpuas hati dan menganggap ketua pengarah ambil berat dan kemudian barulah saya arahkan pegawai berkaitan. Saya nak bergerak cepat. – UTUSAN










