TEMA Hari Guru tahun ini ialah Guru Insani Pemangkin Generasi Madani. Tema ini menitikberatkan peranan profesional keguruan dalam pembentukan sahsiah dan jati diri generasi muda yang bakal mendukung kewajiban pembangunan negara.
Bagaimanapun, sektor pendidikan negara kini menghadapi satu cabaran besar. Semakin ramai guru sekolah kita dilaporkan memilih untuk bersara awal kerana sudah tidak tahan dengan tekanan kerja di sekolah.
Hakikatnya, jangkaan dan harapan masyarakat umum terhadap guru semakin meningkat. Justeru, tanggungjawab guru bertambah berat dan tekanan dihadapi mereka turut berlipat ganda. Isu ketidaksanggupan sesetengah guru mengelolakan emosi dan kegeraman secara baik sering terpapar dalam akhbar.
Mujurlah untuk sesi persekolahan baharu 2023/2024, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tujuh langkah untuk mengekang masalah dihadapi para guru. Antaranya pemansuhan sebarang bentuk pertandingan kurang mustahak seperti keceriaan tandas, sambutan atau majlis yang tidak membawa manfaat dalam pembelajaran murid, mengurangkan kekerapan semakan elemen Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) dan mengurangkan elemen penulisan Rancangan Pelajaran Harian (RPH).
Sebenarnya, usaha-usaha mengurangkan beban guru dan menambah baik pengurusan sekolah bukan tidak pernah dilakukan oleh KPM pada masa-masa lepas. Akan tetapi, kelihatan kesinambungan agak kekurangan setiap kali KPM didatangi menteri baharu.
Apa sudah jadi dengan beberapa program KPM terdahulu seperti Sekolah Kluster, Sekolah Berprestasi Tinggi, Anugerah Pengetua Holistik (Bai’ah) yang hangat dilaksanakan dengan banyak menelan belanja kerajaan pada suatu ketika dahulu?
Ramai dalam kalangan warga pendidik berdukacita atas pendirian KPM yang sentiasa berubah-ubah. Apabila kita menyambut pelantikan baharu menteri pendidikan, ketua pengarah, pengarah negeri dan sebagainya, hampir semua program yang dijalankan terdahulu diketepikan begitu sahaja. Ketidakseragaman ini amat mengelirukan warga sekolah dan menimbulkan rungutan dalam kalangan komuniti sekolah dan ibu bapa.
Tidak dapat disangkal lagi, murid sekolah ialah insan harapan negara. Guru pula mendukung misi untuk membimbing generasi muda ke pangkal jalan yang betul. Apabila guru didapati sangat berdedikasi, murid akan terdorong untuk belajar dengan penuh semangat. Sekiranya guru kita ikhlas menjalankan tanggungjawab, sudah tentu budi baiknya akan dihargai anak murid.
Di sini, sukacita saya memetik kisah benar seorang pendidik yang menjalankan tugasnya dengan komited di sebuah sekolah menengah di Subang Jaya, Selangor. Guru itu selain memainkan peranan sebagai tenaga pengajar subjek, juga memikul tanggungjawab sebagai penolong guru disiplin. Beliau sudi mendekati pelajar dan sanggup mendengar masalah mereka. Justeru, semua pelajar baik yang berdisiplin mahupun mempunyai masalah disiplin tergerak dengan keikhlasan dan ketokohan guru maha penyayang itu.
Tidak lama kemudian, guru itu terpaksa menumpukan sepenuh tenaganya dalam mengajar dan melepaskan tanggungjawab sebagai pembantu guru disiplin. Murid-murid berasa sedih dengan pemergian beliau.
PKP
Bagaimanapun, atas rayuan dan pujukan pelajar-pelajar, akhirnya pengetua melantik semula guru itu untuk membantu dalam kerja-kerja menjaga disiplin sekolah. Kepulangan guru itu ke bilik disiplin disambut baik sepenuhnya oleh semua pelajar dengan tepukan gemuruh.
Pada umumnya, pelajar kita cuma mengharapkan kepercayaan, galakan dan dorongan daripada guru. Sebaliknya, mereka tidak suka dengan kutukan dan hukuman keras.
Kita masih ingat ketika negara dilanda pandemik Covid-19 pada Mac 2020. Kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekolah-sekolah di seluruh negara terpaksa ditutup. Ekoran itu, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) merupakan norma baharu perlu diharungi warga pendidik. Pada masa itu, guru belum ada idea untuk menjalankan pengajaran secara dalam talian. Kesediaan guru dalam kaedah pembelajaran digital juga amat diragui.
Syabas kepada para guru seluruh negara! Atas komitmen terhadap profesion keguruan, mereka menguasai teknik dan ilmu pengajaran digital dengan pantas dan baik. Akhirnya, program PdPR berjaya dilaksanakan dengan berkesan untuk membantu anak-anak kita belajar dari rumah sepanjang PKP.
Saya berpendapat, dalam dunia serba moden ini, tugas guru tidak boleh lagi terbatas dengan tanggungjawab menyalurkan ilmu semata-mata. Guru-guru juga diminta membantu anak murid mengenal pasti bakat diri mengikut minat dan kemampuan masing-masing.
Dalam pada itu, pembentukan jati diri pelajar yang seiring dan utuh dengan nilai-nilai adat, budaya, agama, bangsa dan negara juga sangat penting.
Kini, satu fenomena membimbangkan wujud di sekolah. Rata-rata guru bekerja menyerupai sebuah robot. Mereka seolah-olah melakukan kerja-kerja yang ‘diprogramkan’ oleh pihak atasan sekolah.
Sesungguhnya, warga guru sudah hilang keghairahan meluap-luap yang sepatutnya ada pada mereka sebagai profesion keguruan.
Dukacita, apabila ada meragui keputusan dibuat dan cuba berunding dengan pihak atasan untuk perbaikan, guru berkenaan sering kali dilabel kurang bekerjasama atau lebih teruk lagi disifatkan sebagai guru bermasalah.
Bagi guru yang didapati kurang berprestasi, mereka patut diberikan bimbingan kaunseling dan bantuan transformasi. Sebelum sesebuah sekolah dapat melaksanakan transformasi yang telah dirancangkan, guru harus mentransformasikan diri atau ditransformasikan terlebih dahulu.
Jasa guru amat penting dalam pembentukan modal insan. Maka, tidak hairanlah profesion guru sering disanjung tinggi oleh segenap lapisan masyarakat sejak dahulu lagi. Di sini, saya memohon agar tradisi baik ini dikekalkan. Di sebaliknya, guru diseru terus menunjukkan keberanian dan komitmen lebih besar dalam membawa pembaharuan dan penambahbaikan kepada dunia pengajaran.
Saya sendiri telah mengajar dan mentadbir sekolah selama 37 tahun di sekolah menengah kebangsaan. Saya berbangga dengan kerjaya guru. Juga sangat teruja dengan semua kejayaan diperoleh anak-anak murid saya. Mereka semua sesungguhnya merupakan insan yang berguna dalam memakmurkan nusa dan bangsa.
Selamat hari guru kepada semua! – UTUSAN
PENULIS ialah Direktur Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Kolej Universiti New Era.











