ENAM Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal mendatang Jun atau Julai 2023 ini ibarat ‘pilihan raya jaga air muka’ buat kerajaan perpaduan.
Terutama buat Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang menerusi kerjasama dua parti ini dikatakan masih mampu pertahankan tiga negeri yang disandang, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Cuma di tiga negeri lagi iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah ‘jangan sampai hilang terus benihnya.’
Berbanding PH, parti gandingan utamanya BN lebih perit peranannya untuk membina semula kekuatan selepas hambar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Ia lebih berkisar persepsi terhadap parti yang pernah berkuasa lebih enam dekad itu. Bagaimana caranya hendak perbetulkan minda rakyat yang tentu sekali perlukan masa? Tidak boleh sekejap, 90 peratus boleh ditukar.
BN khususnya UMNO harus membina semula kekuatan di bawah radar. Usah bising-bising atau uar-uarkannya. Bikinnya sahaja secara dalaman.
Lihat bagaimana PKR dan DAP membina kekuatan parti masing-masing. PKR bermula dengan hanya satu kerusi Parlimen yang dimenangi di Permatang Pauh pada PRU 2004.
BINA KEKUATAN
Pas pula mengisi kekuatannya berdikit-dikit. Pencapaian Pas biasanya menyusut apabila bersendirian. Tetapi sebaliknya apabila berpakat dengan DAP pada PRU 1999, 2008 dan 2013, Pas meraih kemenangan tertinggi iaitu 27 kerusi pada 1999, 23 pada 2008 dan 21 (2013). Namun, rekod Pas dalam PRU14 menunjukkan tanpa bersama DAP, Pas kuyup. Tetapi apabila bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas muncul blok terbesar dalam Dewan Rakyat dengan 49 kerusi.
Untuk UMNO membina kekuatan dalam masa singkat, hanya tinggal dua, tiga bulan lagi menjelang PRN di enam negeri amat sukar. Agak mustahil. Belum diperbualkan di sana sini, hanya ‘sipi-sipi’ disebut positifnya.
Begitupun BN ada empat setengah tahun lagi sebelum mengadap PRU16. Harus nekad pulihkan kekuatan berikutan imej sudah tercalar. Tidak boleh bergantung kepada satu faktor sahaja untuk perbetulkan semua ini. Misalnya masih mahu tanggapan orang yang molek-molek kepada UMNO yang telah lama berjasa kepada orang Melayu, agama dan negara. Padahal ia sudah lama berlalu dalam 10 tahun kebelakangan. Apa yang patut dibuat, neutralkan ‘cakap-cakap’ terlebih dahulu dan serampang dua mata bekerja keras memenangi semula hati rakyat.
Untuk mencapainya, usahakan buang persepsi yang buruk-buruk pasal UMNO. Persepsi berasas kepada isu. Hari ini trend pengundi, apa lagi yang muda-muda bukannya bergantung pada soal jasa parti mana yang ditabur. Tetapi yang melekat di fikiran pengundi dibantu penangan Tiktok dan WhatsApp, lebih cenderung kepada isu semasa.
Parti-parti lain kelihatan pandai menggunakan isu. Cuma UMNO sering kali menjadi ‘fokusnya.’ Sekali gus tanggungjawab yang dipikul amat berat untuk perbetulkan persepsi isu berserta faktanya.
Seperti mana ada pihak masih ‘marahkan’ UMNO kerana bergabung dengan PH, sedangkan jika diteliti secara mendalam dan terbuka, UMNO sebenarnya hanya mengambil langkah selepas Perikatan Nasional (PN) menolak berkongsi kuasa dengan PH.
Hanya selepas tiada parti meraih majoriti mudah selepas PRU15 dengan masuk tiga hari pun masih belum dapat membentuk kerajaan, barulah UMNO menggerakkan diri bersama-sama parti-parti lain untuk menguruskan negara. Ini semua atas faktor demi kestabilan daripada titah Yang di-Pertuan Agong. Jika negara terus diuruskan oleh kerajaan yang masih memiliki majoriti tipis satu atau dua kerusi Parlimen seperti mana dalam dua kerajaan terdahulu, bayangkan cukup berisiko bila-bila sahaja boleh tumbang. Kontrak pelabur asing pun boleh terancam, dibatalkan dan mereka akan cabut lari dan tidak lagi percaya pada Malaysia.
Oleh sebab itu BN perlu bersama-sama menerusi perjanjian yang ditandatangani untuk membentuk kerajaan perpaduan. Namun, UMNO bukannya bernaung di bawah PH. BN tetap dengan BN-nya manakala GPS dan GRS serta Warisan dengan identiti masing-masing.
PH dalam PRU15 masih mengekalkan undi bukan Melayunya tetapi kehilangan undi Melayu. Yang tewas dalam PRU itu adalah UMNO-BN. Hanya menang 26 daripada 120 kerusi Parlimen ditandingi menyaksikan kekalahan paling teruk dalam sejarah parti itu.
Kepada satu dua pihak, menyelamatkan negara yang tidak berkerajaan dalam beberapa hari barangkali bukan isu tabik atau salute kepada UMNO, tetapi sedikit sebanyak mengurangkan tanggapan negatif kepada UMNO. UMNO terpaksa mengambil jalan tidak popular tidak disukai oleh ahli-ahli parti sendiri bernaung di bawah kerajaan perpaduan ini. Tetapi demi untuk menubuhkan kerajaan yang stabil, ia langkah terbaik buat ketika itu.
Ini bertepatan bahawa politik itu bukanlah statik, tetapi sebenarnya anjal atau fleksibel. Dinamik, istilah yang sering digunakan penganalisis politik dari menara gading.
Sungguh! Kebanyakan negara hari ini menyaksikan tidak ada kerajaan yang didirikan tanpa gabungan politik. Praktisnya begitu. Mana ada satu parti sahaja yang menguruskan negara.
Dalam menghadapi enam PRN kali ini, BN dan PH jangan pula sampai hilang benih di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Setidak-tidaknya di Kedah perlu ada lima hingga 10 kerusi DUN dimiliki BN. Kalau tidak berlaku, pastinya belum mampu lagi tutup mulut Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. – UTUSAN