Perkasa kearifan tempatan

Perkasa kearifan tempatan

KEKUATAN dalam bidang kearifan tempatan mampu menarik penyelidik dan pelajar luar negara yang ingin memahami jati diri bangsa kita untuk datang ke sini. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERUAN Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang meminta universiti memperkasakan kembali penyelidikan kearifan tempatan dan melakukan pemindahan ilmu ketika lawatannya ke Universiti Sains Malaysia (USM) amat relevan dan sesuai dengan keperluan sekarang dan masa hadapan pembangunan negara. Kedua-dua bidang ini antara aktiviti utama penyelidikan universiti yang sangat dekat di hati saya sepanjang 34 tahun bertugas di universiti.

Kearifan tempatan adalah pelbagai disiplin ilmu yang berusaha menelusuri kebijaksanaan komuniti dalam kehidupan sebagai jati diri perlu dipelajari, difahami dan dilestarikan.

Kekayaan ilmu pengetahuan dimiliki oleh masyarakat dalam negara, nusantara malah dunia perlu dibuat penelitian dan kajian sedalam-dalamnya dan didokumentasi untuk rujukan masa hadapan sebagai asas kekuatan jati diri sesuatu bangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kearifan tempatan sebahagian besarnya diturunkan secara turun temurun, sesetengahnya secara lisan yang luar biasa dan hanya dimiliki oleh sesuatu bangsa itu, kemungkinan juga mempunyai persamaan dengan kebijaksanaan dimiliki oleh bangsa lain di tempat lain.

Memahami kearifan tempatan membolehkan kita menghargai kekuatan sesuatu bangsa dari segi amalan hidupnya, seni budaya, seni reka, seni bina, perubatan, pertahanan diri, adat istiadat malah masakan dan makanan serta lain-lain lagi untuk diraikan sebagai satu aspek kepelbagaian yang menjadi tunjang kekuatan bersama.

Di Malaysia misalnya, hubungan akrab masyarakat akan lebih kukuh jika kita saling memahami kearifan dan kebijaksanaan sesuatu kaum dan digabung jalin sebagai usaha perpaduan yang kukuh dan utuh. Misalnya, kehebatan perubatan alternatif daripada kebudayaan Melayu, Cina, India dan dalam kalangan Orang Asli perlu difahami sebagai satu warisan kearifan unik dan menarik untuk difahami.

Universiti dengan segala kepakaran yang ada wajar memainkan peranan untuk melestarikan usaha ini yang disuntik dengan elemen saintifik serta kepakaran penyelidikan dan inovasi bagi memahaminya dari pelbagai disiplin ilmu.

Kita sedar kehebatan seni bina Melayu dalam membangunkan kediaman lestari, ada yang tidak menggunakan sepucuk paku pun dengan ciri pengudaraan yang baik tidak perlu bergantung kepada penghawa dingin dan sebagainya perlu diadunkan dengan teknologi moden. Atau kearifan pelaut yang menerokai lautan luas.

Kita juga perlu memahami budaya bahasa dan kehidupan Orang Asli di pelbagai ceruk negara dan serantau, kelangsungan kehidupan mereka untuk lebih difahami dalam konteks dunia moden.

Banyak penyelidikan dan penerbitan dihasilkan tidak lama dahulu dalam pelbagai aspek kearifan tempatan. Pelbagai usaha dibuat bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Malah kekuatan dalam bidang kearifan tempatan mampu menarik penyelidik dan pelajar luar negara yang ingin memahami jati diri bangsa kita untuk datang ke sini. Apatah lagi jika universiti kita berupaya mengadunkannya dengan kekuatan sains dan teknologi semasa dalam memahami dan menerokainya dengan lebih mendalam.

Saya pernah menyaksikan bagaimana kearifan tempatan seperti seni tenunan pakaian menjadi tonggak kekuatan pembangunan kolej wanita di University of Peshawar beberapa tahun lalu menjadikannya sebagai satu usaha melestarikan dan mengkomersilkan kearifan yang mereka ada.

Begitu juga program pemindahan ilmu yang sebenarnya telah pun dimulai beberapa tahun lalu dalam kalangan universiti-universiti kita melalui dorongan Kementerian Pendidikan Tinggi. Kepakaran daripada penyelidikan translasional telah dimanfaatkan dalam membangunkan ekonomi komuniti di pelbagai tempat seluruh negara.

Penyelidikan transnasional memanfaatkan dapatan asas dalam penyelidikan yang dilakukan oleh ilmuwan dipindahkan ke dalam masyarakat untuk dilaksanakan sebagai projek pembangunan ekonomi komuniti.

Ini termasuk usaha penternakan tiram secara komersial yang berasaskan kepada kaedah saintifik hasil penyelidikan dibuat untuk faedah komuniti meningkatkan sosioekonomi mereka.

Begitu juga dengan misalnya penyelidik USM yang melakukan pemindahan ilmu dan teknologi bagi penghasilan produk inovasi proses berasaskan rambutan yang tahan lama, mudah digunakan dan mempunyai reka bentuk moden.

Di Langkawi, penyelidik USM juga terlibat dalam projek Integrated Multi-Trophic Aquaculture Farming (IMTA) Scale-Up Project for Seaweed & Lobster untuk menyediakan komuniti dengan kemahiran, pengetahuan, kewangan dan sokongan pengurusan untuk membolehkan mereka mengambil bahagian dalam aktiviti ekonomi (meningkatkan aktiviti rantaian nilai).

Selain itu, penyelidik kita juga sedang melaksanakan projek Black Soldier Fly Larvae (BSFL): Inovasi Makanan Haiwan Masa Hadapan untuk termakan bagi membantu keterjaminan makanan negara melalui.

Banyak lagi projek penyelidikan menggunakan kepakaran ilmuwan di pelbagai universiti untuk membantu menambah pendapatan tambahan, meningkatkan taraf hidup dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada komuniti sasaran.

Pemindahan ilmu penting untuk pembangunan ekonomi yang lebih progresif berpaksikan ilmu dan bernilai tinggi atau ekonomi pendapatan tinggi melalui kolaborasi universiti dan masyarakat.

Kearifan tempatan dan pemindahan ilmu sama pentingnya dengan proses menjana ilmu jika kita melihatnya dari aspek apa yang masyarakat boleh perolehi secara langsung daripada ilmuwan yang ada.

Kearifan tempatan adalah khazanah pemikiran masyarakat zaman berzaman perlu dipelajari dan diperkasakan oleh ilmuwan kita sebagai jati diri dan kepelbagaian budaya kehidupan yang menjadi tunjang kekuatan hidup mereka
Pemindahan ilmu penting pula dalam membantu kumpulan rakyat miskin B40 untuk mendapat manfaat daripada ilmu dan penyelidikan untuk melakukan perubahan dan kehidupan demi kelangsungan hidup mereka.

Oleh itu, saranan Menteri Pendidikan Tinggi harus disambut baik oleh universiti tempatan yang menyimpan khazanah ilmu dalam pelbagai bidang untuk faedah masyarakat dan negara.-UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar di Universiti Sains Malaysia (USM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×