Perdana Menteri, menteri - media berpisah tiada

Perdana Menteri, menteri – media berpisah tiada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANPA media, kerajaan pasti tidak mengetahui seratus peratus apa yang berlaku di luar lingkungan Kabinet serta kementerian-kementeriannya.

Kerajaan tidak boleh mengaku mengetahui semua hal. Ini jam rakyat lebih faham.

Jika akhbar mahu siarkan keluh-kesah rakyat atau kisah keperitan ditanggung sekumpulan orang profesional, bukankah ia input yang berguna untuk kementerian atau agensi berkenaan?

Bukan mudah kerja orang media, orang surat khabar. Pernah ada wartawan diherdik, bahkan dihalau tinggalkan lapangan sidang akhbar atas alasan ‘akhbar anda tidak dijemput’. Suatu insiden menjengkelkan. Ini bukan berlaku di benua Afrika atau Amerika Selatan, tetapi di Malaysia. Juga bukannya terjadi di tahun-tahun 50an, 60an atau 70an, tapi anehnya tahun 2020/2021.

Sekali gus menyebabkan pengamal media terpana seketika. Apa sudah jadi dengan kebebasan akhbar Malaysia ini? Sudah jadi negara komuniskah seperti mana negara-negara yang bernaung di bawah Kesatuan Soviet Union sebelum dibubar Disember 1991, dengan wartawan ‘disekat’ mendapatkan berita. Atau ditentukan angle beritanya begitu, begini.

Walhal, insiden wartawan khususnya daripada Utusan Malaysia untuk membuat liputan terhadap semua kementerian tidak pernah disekat pun sebelum pilihan raya umum 9 Mei 2018.

Bahkan saya sendiri yang bergelumang tiga dekad dalam lapangan media ini masih boleh mengingati dengan jelas dan terang hari ini satira dari jenaka dan senda gurau yang dilontarkan sama ada kepada atau daripada pegawai-pegawai PM nombor ini, nombor itu yang begitu rentak, coraknya.

 

KERAJAAN Perpaduan perlu mengalu-alukan laporan yang benar, matang dan berterus-terang daripada pihak media yang memberi input berguna kepada agensi-agensi kerajaan untuk menyelesaikan masalah dan isu-isu yang melanda rakyat.

 

GAG ORDER
Kalau adapun yang masih terbuku dalam hati warga kerja Utusan tempoh hari sebelum akhbar ini ditutup 9 Oktober 2019 bila tiba-tiba muncul gag order atau larangan menghentikan langganan Utusan Malaysia membabitkan semua jabatan sebuah kementerian. Khabarnya selepas Utusan beroperasi semula Julai 2020, gag order ini masih belum lagi ditarik balik. Jadi, mintalah kementerian berkenaan bantu tengokkan.

Yang penting di sini, pejabat komunikasi kerajaan termasuk J-KOM atau Strat-Kom (tidak kiralah apa sahaja istilahnya) harus bebas dari kawalan ‘Little Napoleon’. Apa lagi peruntukan diberi kepada J-KOM amaunnya barangkali masih besar.
Mengambil pengajaran masa lepas, amat mustahak sekali menteri-menteri tahu perihal fi’il pegawai-pegawainya yang berurusan dengan media. Jangan nanti dikata dek orang, bos semua okey, berjiwa rakyat, perutusannya penuh hemah memahami denyutan nadi rakyat, namun ‘dirosakkan’ oleh pegawai ‘Little Napoleon’ menguruskan media.

Menteri-menteri kerajaan hari ini perlu pasang telinga rapi-rapi supaya kelak terus dihormati kalangan media. Pejabat komunikasi kerajaan harus laporkan kepada ketua apa yang benar, apa tidak benarnya. Biar laporan itu dinilai subjektifnya. Difikir secara objektif.

Salah satu cabaran terbesar parti pemerintah yang baharu setahun jagung ini adalah menangani ketidaktentuan ekonomi yang tiada jawapan pintas. Campur tangan yang diperlukan semuanya memakan masa – baik dalam tingkatkan pendapatan rakyat dengan membina sistem pendidikan yang menawarkan kemahiran lebih berharga, mencipta peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi dan membina lebih ramai usahawan kecil yang dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

Demikian juga kerajaan terpaksa berdepan daya saing cukup tinggi. Antaranya meningkatkan pelaburan infrastruktur seperti pengangkutan awam, internet pantas dan perumahan mampu milik, agar kos harian rakyat dapat dikurangkan.
Cabaran kehidupan sehari-hari menyebabkan angka kejayaan makro ekonomi kurang bererti buat sebahagian besar rakyat. Ada yang terpaksa berhutang untuk sesuap nasi. Ada yang simpanannya tak seberapa. Runsing jikalau ‘hujan di tengah hari’. Ada yang risau tentang nasib keluarga dan hari esok kerana gaji masih rendah atau masih mencari kerja. Ada rakyat terpaksa jual rumah, terpaksa tambah hutang, terpaksa ikat perut hanya untuk melalui kehidupan hari demi hari.

Segala tiang dalam sebuah struktur ekonomi yang inklusif jika tidak dirangka secara serius dan teliti, hanya akan mengulangi kesilapan lalu. Kita tidak mahu kerajaan yang terlalu beria-ia mengejar gah semasa sehingga kabur pandangannya untuk masa depan.

Kesilapan di mana kita mendabik dada dengan pelaburan projek mega di bandar-bandar besar – yang dikejar hanya outputnya sahaja, struktur cantik dan megah. Dan tanpa memperkasa rakyat dari segi kemahiran, pendidikan dan macam-macam lagi untuk hidup selesa di hari mendatang.

Walaupun Malaysia gah ketika itu, kesannya begitu dirasai sekarang. Rakyat perit hari ini lantaran tidak cukup dipersediakan. Kesilapan ini yang sedang kita perbetulkan agar anak cucu kita tidak serupa nasibnya.

LAPOR BENAR
Dalam mendepani cabaran hari ini, jangan hanya memilih penyelesaian jangka pendek yang hanya meloloskan diri kita sendiri. Tetapi meninggalkan beban hutang yang bakal menyepit dan menjadi musibah untuk generasi seterusnya.
Pepatah Inggeris menyebut “A bad penny always turns up”. Di mana-mana sahaja kita berada, mesti ada orang yang perangainya yang kita tak suka. Atau anti kepada kita atau kita yang anti kepada dia. Kerana itu, pejabat komunikasi kerajaan harus laporkan kebenaran.

Jangan dicap akan akhbar dan portal berita tertentu sebagai penentang kerajaan. Bukankah kerja-kerja media itu memperjuangkan nasib dan kepentingan rakyat? Buang `cara lama zaman batu’ mengurus media ikut kehendak pejabat komunikasi. Alu-alukan laporan matang yang memberi input berguna kepada agensi-agensi kerajaan.

Bukankah banyak menara komunikasi-komunikasi yang sedang dan akan dibina, malah yang sedia ada dinaiktaraf untuk mengatasi capaian internet anak-anak sekolah, semua input ini datangnya dari laporan akhbar, media.

Kerajaan adalah pemegang amanah rakyat. Tidak usah takut dengan kritikan laporan akhbar.

Akhbar dan portal berita laporkanlah yang benar. Jika bagus kerajaan, Insya-Allah akan bagus seterusnyalah ia.

Hindarikan laporan berupa puji-pujian. Mana yang harus diberi teguran kepada kerajaan, anggaplah ia semata-mata untuk segera memperbaiki keadaan. Demi kebaikan rakyat-kerajaan bersama.

Buang yang keruh, ambil yang jernih.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN