Merungkai misteri tragedi Double Six

Merungkai misteri tragedi Double Six

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDEDAHAN laporan misteri kemalangan udara pada 6 Jun 1976 yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens bersama empat menteri Sabah dan enam yang lain bakal membuka mata semua pihak sekali gus merungkai segala misteri yang menyelubungi waris dan seluruh rakyat Sabah hampir 50 tahun lalu.

Laporan itu yang sekian lama ‘dirahsiakan’ berikutan kerajaan ketika itu tidak memutuskan untuk menghebahkan, menzahirkan atau diturun taraf (dinyah klasikafisi) sehingga mengkategorikan di bawah peruntukan di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memerintahkan Putrajaya mengambil langkah perlu untuk menyahklasifikasi laporan pihak berkuasa Malaysia mengenai tragedi digelar Tragedi Double Six itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Christopher Chin Soo Yin, yang menyampaikan keputusan itu, mengeluarkan perintah mandamus mengarahkan kerajaan Malaysia mengambil langkah-langkah perlu untuk mendedahkan laporan siasatan pihak berkuasa Malaysia kepada umum melibatkan pesawat Nomad 9M-ATZ.

Dalam perintah mahkamah yang sama, hakim turut memberi tempoh tiga bulan kepada kerajaan Malaysia atau sehingga 8 Jun untuk mematuhinya.

Jika pendedahan awam mengenai laporan siasatan itu memerlukan sebarang tindakan berkaitan oleh kerajaan Australia, kerajaan Malaysia mesti segera memastikan Canberra bertindak sewajarnya bagi membolehkan penyahklasifiasian dilakukan segera.

Kerajaan Australia tidak mengeluarkan punca laporan nahas pesawat Nomad atas permintaan kerajaan Malaysia sebelum ini. Hakim itu membuat keputusan dalam tuntutan mahkamah yang difailkan oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Mohd Salleh pada 1 Julai 2022.

Fuad menaiki pesawat Nomad 9M-ATZ keluaran Australia itu dari Labuan ke Kota Kinabalu untuk menghadiri jamuan rasmi dengan Menteri Kewangan Persekutuan ketika itu dan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah di Istana Negeri.

Bagaimanapun, pesawat itu terhempas di perairan Sembulan ketika menghampiri untuk mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, berputar di udara sebelum jatuh terhempas.

Kapal terbang itu berkecai sementara kesemua penumpang dipercayai mati serta-merta.

Tragedi itu turut mengorbankan Menteri Kewangan negeri, Datuk Salleh Sulong; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Peter Mojuntin; Menteri Kerja Raya dan Komunikasi negeri, Datuk Chong Tien Vun; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Darius Binion serta Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negeri, Datuk Wahid Peter Andu.

Turut terbunuh, Dr. Syed Hussien Wafa (Pengarah Unit Perancangan Ekonomi), Ishak Atan (Setiausaha Sulit Tengku Razaleigh Hamzah), Kapten Gandhi Nathan (juruterbang), Koperal Said Mohamed (Pengawal Tun Fuad) dan Johari Stephens (anak sulung Tun Fuad).

Sehingga hari ini sebahagian besar penduduk Sabah masih meragui serta tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku dalam tragedi nahas pesawat itu dan berharap kes ini dapat dirungkai sama ada punca kemalangan itu disebabkan terlebih muatan atau faktor lain.

Dalam laporan yang diterbitkan Utusan Malaysia susulan nahas itu pada Selasa, 8 Jun 1976 memetik Pengurus pengeluar pesawat itu, GAF, Harry Dolphin mahu siasatan perlu dilaksanakan dengan teliti dan sebarang prasangka terhadap kapal terbang Nomad perlu dihapuskan.

“Kami kenal kapal terbang kami dan kami tidak dapat menduga sebarang kerosakan jentera. Kapal terbang itu telah membuktikan kebolehannya dan terbang di merata dunia.

“Bagaimanapun kami perlu membuktikan nahas itu bukan disebabkan oleh kerosakan kapal terbang itu,” katanya yang turut memberitahu GAF telah menjual 45 buah Nomad dan 23 buah sudah pun diedarkan dan digunakan di merata dunia.

Menurut laporan akhbar ini sehari selepas itu pula, Fuad pergi ketika Manila berusaha menggugurkan tuntutannya ke atas Sabah dan mengekalkan keamanan di Mindanao dan lain-lain pulau di selatan yang diganggu oleh pemberontak-pemberontak Islam.

Kisah saat-saat akhir kapal terbang terhempas yang mengorbankan Fuad turut didedahkan. Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Sim Kheng Hong dikatakan sepatutnya menaiki kapal terbang sama.

Tetapi Setiausaha Tetap kepada Menteri Kewangan Sabah, Datuk Wahid Peter Andu yang turut terkorban sepatutnya tidak menaiki pesawat itu.

Sim yang mengiringi Ketua Menteri, Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yaakob dalam lawatan ke Sabah bagaimanapun keberatan hendak menyertai Fuad dan rombongannya di Labuan yang terdahulu dari itu mengucapkan selamat jalan kepada Tengku Razaleigh serta rombongannya dan Abdul Rahman berlepas ke Kudat.

Seorang lagi yang bernasib baik terselamat dalam tragedi itu ialah Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Lim Guan Sing.

Beliau diminta menyertai rombongan Fuad tetapi tidak dapat berbuat demikian disebabkan kekurangan kerusi.

Malangnya Wahid Andu tidak bernasib baik, beliau sepatutnya mengikuti Razaleigh ke Kudat tetapi mengambil keputusan tidak mahu pergi di saat akhir, sebaliknya beliau menaiki kapal terbang bersama Fuad.

Kata-kata terakhir yang diucapkan Fuad di lapangan terbang Labuan adalah ‘Selamat Jalan’ kepada Abdul Rahman dan Razaleigh.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris yang mengiringi mereka segera memerintahkan helikopter jenis Bell membawa mereka balik dari Kudat ke Kota Kinabalu. Beliau sendiri memandu kapal terbang Piper bersama-sama juruterbang Klub Penerbangan Sabah.

Juga bernasib baik ialah pengawal peribadi Harris, Mohamad Yunus Wali Mohamad. Katanya, “Saya ialah orang terakhir masuk ke kapal terbang yang malang itu. Saya lihat semua penumpang telah mengambil tempat masing-masing. Allahyarham Dr. Syed Hussein meminta saya naik kapal terbang itu supaya saya boleh mengatur barang-barang pelawat itu di Kota Kinabalu. Saya masuk dan melibat beberapa beg di atas tempat duduk.

“Jadi saya berfikir lebih baik saya naik kapal terbang yang satu lagi. Saya pun keluar dan menutup pintu kapal terbang itu dan seterusnya naik kapal terbang sebuah lagi.

“Kapal terbang kami tiba di Kota Kinabalu terlebih dahulu. Tetapi yang satu lagi belum tiba. Jadi kami fikir kapal terbang kami lebih cepat.”

Seorang yang melihat nahas itu di Kampung Sembulan memberitahu melihat kapal terbang itu menjunam sebelum berpusing-pusing dan terhempas ke dalam laut kira-kira pukul 3.45 petang.

Seorang lagi saksi berkata dia mendengar letupan yang tidak begitu kuat apabila kapal terbang terhempas ke dalam air.

Walaupun hampir 50 tahun tragedi itu berlaku, tentunya parut emosi waris mangsa masih berbekas. Ia tidak sekali-kali terpadam begitu sahaja tanpa mengetahui kebenaran sebenar.

Persoalan dan spekulasi setiap kali timbul terutama ketika upacara tahunan memperingati mereka yang terkorban diadakan di tapak kejadian di Sembulan, Kota Kinabalu Sabah.

Pendedahan laporan ini akan menamatkan segala persoalan dan spekulasi.

Tragedi itu masih terpahat dalam ingatan ramai rakyat Sabah yang sejak itu tertanyatanya punca kejadian nahas.-UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Putrajaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×