SAYA sengaja pilih ‘Kuala Lumpur versus (vs) atau lawan Nusantara’ sebagai judul kolum pojok kali ini. Tiada motif apa-apa. Hanya semata-mata mahu mencabar umat bangsa Melayu kita tentang daya saing bakal ditempuh lebih sengit dalam lima tahun mendatang ini.
Nusantara dinamakan ibu kota Indonesia yang baharu dengan pusat pentadbiran persekutuannya berpangkalan di Kalimantan. Dijangka tahun depan, 2024 beroperasilah Nusantara.
Isu ibu kota Indonesia yang menggantikan Jakarta ini bukanlah topik utama yang mahu dihujahkan dalam kolum ini. Tetapi nusantara dalam erti kata sebenar adalah bagaimana kita umat Melayu mampu untuk terus bersama-sama berdaya tahan sebagai sebuah negara.
Sama ada di dalam wilayah Nusantara atau di luarnya, aset utama kenegaraan ialah manusianya. Soal kemanusiaan sesebuah negara perlu dijadikan pemacu atau penggerak kemajuan. Jika lemah daya saing kemanusiaannya, dengan penyelewengan, rasuahnya bermaharajalela, maka lemahlah hasil yang diidamkan.
Sebaliknya jika kemanusiaannya berdisiplin, mencapai tahap pendidikan yang membina dan menghasilkan pendekatan perubahan positif, maka negara itu akan terus menjurus kepada kegemilangan dalam erti kesejahteraan buat rakyatnya.
Nusantara melibatkan geopolitik serta kependudukan melebihi 300 juta manusia. Dalam banyak hal ia menjurus kepada gugusan kepulauan Melayu terdiri dari semua kepulauan di Indonesia, Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Kalimantan, juga sebahagian selatan Filipina.
Yang besarnya, Indonesia dengan memiliki 18,307 pulau meliputi kawasan 1.9 juta kilometer persegi, berpopulasi sekitar 277.7 juta (2022) dan pendapatan unjuran ber-GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar) AS$1.39 trilion tahun ini (2023) sementara Malaysia berkeluasan 329,000 kilometer persegi dengan 33.7 juta penduduk dan unjuran GDP pada 2023, AS$467 bilion.
Pengertian kamus mengenai nusantara ialah kawasan kepulauan dan wilayah yang penduduknya mempunyai amalan budaya yang mirip sama sifat-sifat utamanya antara satu sama lain. Disusuli terjalin oleh amalan budaya, khasnya penggunaan bahasa yang sama dalam kumpulan masyarakat pelbagai kawasan dan wilayah.
PEMIKIRAN
Nusantara berkaitan banyak cabang kehidupan – politik dalaman negara, ekonomi, sosiobudaya dan pendidikan. Kesemua tajuk ini mempengaruhi dan menentukan di tahap mana Malaysia sebagai sebuah negara berdaya saing untuk daya tahan (survival) domestik dan seantero dunia. Budaya, ekonomi, pendidikan dan lain-lain cabang kehidupan rata-rata bergantung kepada pelakunya iaitu manusia yang menjenterakan pemikiran kepada perbuatan atau perlakuan kepada produk hasilannya.
Di zaman pemerintahan Sukarno, panggilan Nusantara itu sering dikumandangkan sehingga pada satu ketika ungkapan Melayu Raya juga diumumkannya sejurus sebelum peristiwa Konfrontasi atau Ganyang Malaysia 1963. Sukarno ketika itu menganggap penggabungan Semenanjung, Singapura, Sabah dan Sarawak adalah sat hegemoni politik Inggeris, lantas dinamakan gabungan itu sebagai neo-kolonialisme. Enam dekad kemudian, pada 14 Januari 2022, Jokowi menamakan Nusantara ibu kota baharu republik itu.
Nusantara karya F.A Warsono pernah dipopularkan. Liriknya luar biasa, dengan adunan empat suara membuat lagu ini begitu megah dan menggetarkan hati.
Nusantara, Nusantara, Nusantara,
Nusantara tercinta,
Ada pujangga bersabda,
Rangkaian Zamrud Khatulistiwa,
Nusa hijau sepanjang masa. Itulah tanah airku.
GETAR
Kita umat Melayu di Malaysia juga harus getar. Banyak pengajaran dan iktibar harus dikutip dari nusantara.
Nusantara dipecah-pecahkan mengikut selera kolonial semenjak 1511 hingga ke tahun-tahun merdekanya wilayah-wilayah berkenaan. Bagi tempoh 1642-1945 (303 tahun) terhadap Indonesia dan 1511-1957 (446 tahun) bagi Semenanjung.
Politik Melayu di Malaysia dipecah-pecahkan, yang berlarutan sampai tak sudah hingga ke hari ini tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat. Apa lagi bila Nusantara muncul gah di Kalimantan, kelak daya saing kita akan lebih mencabar, selain diasak Singapura, Bangkok dan Hanoi.
Walau apa pun yang diutarakan sebagai mercu tanda atau tanda aras sesebuah masyarakat atau bangsa, indeks yang akan kekal tertera sebagai penentu dan cerminan ialah cara hidupnya.
Cara hidup yang dimengertikan sebagai way of life telah terbukti sebagai indeks petunjuk atau lambang penentu capaian hidup sesebuah bangsa.
Sama ada cara hidup mereka menghasilkan bibit-bibit positif yang membina, diterima umum dan berupaya mensejahterakan bangsa itu, atau sebaliknya membawa kegelisahan, konflik dan keadaan yang tidak menentu. – UTUSAN