Dulu desak siasat hakim, kini bantah pula

Dulu desak siasat hakim, kini bantah pula

Mahkamah Persekutuan akan menyambung sidang hari ini bagi mendengar petisyen seorang peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius serangan dan tohmahan ke atas sebuah institusi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak kebelakangan ini.

MCW berpandangan wujudnya beberapa kekhilafan serta salah faham daripada pihak-pihak yang mengkritik, bahkan membuat tohmahan tidak berasas terhadap badan pencegah rasuah itu.

Antaranya mereka mendakwa SPRM:

• Tidak ada hak atau kuasa untuk menyiasat hakim mahkamah atasan.

• Tidak ada hak atau kepakaran untuk menyiasat Kod Etika Kehakiman.

• SPRM sengaja membuat pengumuman siasatannya untuk mencemarkan nama baik seorang hakim.

HAK, KUASA SIASAT DI BAWAH PERLEMBAGAAN

Dakwaan SPRM tidak ada hak atau kuasa untuk menyiasat hakim mahkamah atasan adalah tidak berasas mengikut Perlembagaan Persekutuan. Menurut pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, undang-undang di negara ini tidak pernah mendiskriminasi atau membezakan seorang hakim dan rakyat marhaen jika mereka terbabit dengan kes jenayah.

Tambah beliau lagi, Akta Tatatertib dan Surcaj Badan Berkanun memperuntukkan seorang anggota perkhidmatan awam termasuk mana-mana hakim yang dituduh di bawah undang-undang perlu dibereskan dahulu sebelum prosiding mengikut Artikel 125 Perlembagaan Persekutuan yang berkait dengan isu tatatertib, etika dan disiplin.

Jadi, dakwaan SPRM tiada hak dan kuasa untuk menyiasat hakim-hakim adalah tidak berasas di bawah perlembagaan dan undang-undang negara.

Malah perkara ini telah dijelaskan dan diperakui dalam keputusan Mahkamah Persekutuan kes Haris Fathillah bin Mohamed Ibrahim & Anor lwn. Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam bin Baki, SPRM dan Kerajaan Malaysia pada 24 Februari lalu yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Walaupun keputusan penghakiman tersebut menyebut SPRM patut mengikut protokol, yakni memaklumi Ketua Hakim dahulu sebelum menjalankan penyiasatan, namun kesimpulan daripada penghakiman kes tersebut dalam Perkara 89, muka surat 32 menyatakan, “Sebagai kesimpulan, kami mengulangi bahawa Hakim Mahkamah Tinggi yang berkhidmat tidak terlepas daripada penyiasatan jenayah atau pendakwaan. Mereka tidak perlu digantung atau dibuang sebelum mereka boleh disiasat atau didakwa.” (Perkara 89, muka surat 32)

Sekiranya badan penguat kuasa tidak boleh menyiasat hakim mahkamah atasan, ia menetapkan satu duluan yang berbahaya. Umum tidak harus lupa akan kes pada 1996 di mana seorang Hakim Mahkamah Tinggi telah menulis surat layang mendakwa beberapa isu salah laku membabitkan hakim-hakim termasuk dakwaan Ketua Hakim pada masa itu melakukan salah laku konflik kepentingan kerana bercuti dengan seorang peguam.

Pada waktu itu, Hakim Mahkamah Tinggi tersebut didesak oleh Majlis Peguam untuk membuat laporan kepada polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menyiasat segala dakwaannya.
Yang aneh, hari ini, kumpulan sama pula yang membantah hak perlembagaan badan pencegah rasuah SPRM yang diperkuatkuasakan dengan undang-undang baharu untuk membuat siasatan ke atas hakim mahkamah atasan.

SIASATAN KOD ETIKA KEHAKIMAN

Bagi isu kedua, timbulnya salah faham yang mungkin sengaja dibesarkan, iaitu mengatakan SPRM tiada hak atau kepakaran untuk menyiasat isu Kod Etika Kehakiman.

Harus difahami, laporan SPRM ialah hasil siasatan yang dijalankan susulan maklumat dan aduan dilaporkan kepada SPRM berhubung isu rasuah dan salah guna kuasa hakim tersebut di mana siasatan tersebut dijalankan di bawah Akta SPRM 2009. Hasil siasatan tersebut boleh memberi cadangan atau syor kepada ketua jabatan untuk tindakan selanjutnya sekiranya didapati ia lebih kepada isu berkaitan tata tertib, etika dan disiplin.

Seperti termaktub dalam perlembagaan, SPRM tiada kuasa untuk memberi arahan kepada Peguam Negara mahupun Ketua Hakim untuk tindakan selanjutnya kerana mengikut prinsip pengasingan kuasa, bidang kuasa SPRM berakhir di situ.

Bagaimanapun, sekiranya SPRM memberi pandangan hasil daripada siasatannya, adalah tidak melanggar atau melampaui bidang kuasa SPRM kerana ini adalah perkara biasa dalam siasatan badan-badan awam termasuk badan kehakiman.

SPRM sengaja membuat pengumuman siasatannya untuk mencemarkan nama baik hakim? Pertama, SPRM membuat pengesahan bahawa mereka sedang menyiasat hakim tersebut adalah merujuk kepada laporan akhbar. Pada waktu itu, sebelum pengesahan, media sudah kecoh dengan dakwaan seorang Hakim Mahkamah Tinggi sedang disiasat oleh SPRM. Ini berikutan beberapa aduan, laporan dan memorandum daripada beberapa kumpulan dan individu yang mendesak SPRM menyiasat hakim tersebut.

Dalam keadaan sebegini di mana media sedang mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk mengesahkan sesuatu isu yang berkepentingan awam dan melibatkan kes besar, apakah ia salah sekiranya beliau mengesahkan siasatan tersebut kepada pertanyaan seorang wartawan?

Selepas pengesahan itu, isu tersebut sudah dihebahkan besar-besaran oleh media, bukannya SPRM. SPRM menerima kritikan hebat daripada kumpulan-kumpulan berhaluan kiri termasuk pembangkang pada masa itu yang sekarang sudah menjadi kerajaan, kononnya SPRM tiada hak untuk menyiasat hakim mahkamah atasan.

Susulan itu, SPRM mengeluarkan satu kenyataan bagi mempertahankan hak perlembagaannya untuk menyiasat mana-mana individu mengikut Akta SPRM 2009 pada 28 April 2022. Tindakan itu tidak sepatutnya dianggap sebagai bertujuan mencemarkan nama baik hakim tersebut. Malah ia lebih kepada mempertahankan imej dan reputasi SPRM sendiri daripada dicemari oleh pihak-pihak yang mengkritik tanpa mempunyai fakta betul.

Hak perlembagaan ini diperakui sendiri oleh Tun Tengku Maimun dan enam panel hakim dalam keputusan Mahkamah Persekutuan pada 24 Februari 2023. – UTUSAN

PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN