Sultan Ibrahim raja berjiwa rakyat

Sultan Ibrahim raja berjiwa rakyat

SULTAN Ibrahim dan Tuanku Raja Zarith Sofiah menunggang motosikal untuk mendekati rakyat dalam program Kembara Mahkota Johor. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SENTIASA membahasakan diri baginda sebagai ‘saya’, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar amat disenangi rakyat jelata, Bangsa Johor sebagai seorang raja yang berjiwa rakyat. Malah, baginda sering menjadi yang pertama menyantuni rakyat jelata yang ditimpa musibah termasuk bencana banjir besar yang melanda negeri ini, baru-baru ini.

Sultan Ibrahim turut berkenan membawa bersama kerabat diraja Johor, khususnya putera-putera baginda menyantuni mangsa-manga banjir bagi memastikan kemudahan dan keperluan yang disediakan di pusat pemindahan sementara (PPS) mencukupi. Selain menyantuni dan meninjau keadaan rakyat, baginda turut bermurah hati dengan menggerakkan beberapa aset untuk membawa bantuan dan keperluan kepada mangsa banjir termasuk ke perkampungan Orang Asli yang terputus hubungan akibat bencana alam tersebut.

Dimasyhurkan sebagai Sultan Johor kelima pada 23 Januari 2010 susulan kemangkatan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail, Sultan Ibrahim berjaya menaungi Johor menjadi salah sebuah negeri yang amat pesat membangun dalam menuju status sebuah negeri maju. Sebut sahaja Iskandar Malaysia, bukan sahaja syarikat tempatan, malah pelabur asing sentiasa mencari peluang untuk melabur dan menjalankan aktiviti perniagaan di Johor.

Buktinya, koridor ekonomi tersebut yang diwujudkan pada 2006 berjaya mencatat pelaburan ratusan bilion ringgit hingga kini. Visi dan misi untuk menjadikan Iskandar Puteri yang kini menjadi pusat pentadbiran baharu sebagai sebuah bandar raya metropolis semakin menjadi kenyataan dengan pembangunan pesat di kawasan tersebut.

Bukan sahaja dalam bentuk pelaburan malah yang paling penting, pelbagai kemudahan dibina demi kesejahteraan rakyat jelata. Malah semasa dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor, Sultan Ibrahim berusaha bukan sahaja untuk mendekati rakyat, bahkan membantu mereka menerusi program Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang diilhamkan baginda.

IKON

Program KMJ yang dimulakan pada 2001 kini menjadi salah satu ikon bagi Johor dan sentiasa dinanti-nantikan oleh rakyat jelata pada setiap tahun kerana Sultan Ibrahim bukan sahaja menjelajah ke seluruh negeri, malah membawa bersama-sama kerabat diraja Johor untuk mendampingi rakyat.

Naluri baginda sentiasa dekat dan amat memahami kehendak rakyat jelata.

Nyata KMJ dapat merapatkan dan mengeratkan lagi hubungan rakyat jelata, sekali gus memperkukuhkan institusi raja berperlembagaan dan meningkatkan permuafakatan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Semasa menjelajah ke seluruh negeri, Sultan Ibrahim bukan sahaja sanggup berpanas dan berhujan sambil menunggang motosikal, malah turut merentasi lautan semata-mata ingin berjumpa dengan rakyat termasuk yang tinggal di pulau-pulau serta memandu kenderaan pacuan empat roda untuk berjumpa rakyat di kawasan pedalaman termasuk masyarakat Orang Asli.

Sikap prihatin baginda turun padang bagi meninjau kehidupan dan menyelami susah senang rakyat membina kredibiliti baginda sebagai pewaris takhta yang mesra dan berjiwa rakyat.

Dalam bidang sukan, baginda gemar bermain polo dan menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Sultan Ibrahim merupakan putera sulung Almarhum Sultan Iskandar dan dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor di Istana Besar Johor pada 3 Julai 1985. Baginda juga pernah dilantik sebagai Pemangku Raja pada 25 April 1984 semasa ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Hasil perkongsian hidup dengan Permaisuri Johor, Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, pasangan diraja berkenaan dikurniakan enam cahaya mata, lima putera dan seorang puteri, iaitu Tunku Ismail (Tunku Mahkota Johor), Tunku Aminah, Tunku Idris Iskandar (Tunku Temenggong Johor), Almarhum Tunku Abdul Jalil (Tunku Laksamana Johor), Tunku Abdul Rahman (Tunku Panglima Johor) dan Tunku Abu Bakar (Tunku Putera). – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN