SESI persekolahan baharu 2023/2024 akan bermula tidak lama lagi. Sejak awal 2023, desas-desus tambang bas sekolah dijangka dinaikkan antara RM5 hingga RM10. Kenaikan ini dikatakan telah diusulkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) oleh pengusaha bas sekolah, baru-baru ini.
Tidak dinafikan, kos operasi mengendalikan dan menyelenggara kenderaan seperti bahan bakar, tayar dan alat ganti sememangnya meningkat. Penguatkuasaan gaji minimum turut menyumbang kepada kenaikan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh pengusaha bas sekolah.
Menurut Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia, justifikasi ini dikatakan juga sejajar dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Justeru, ada pihak termasuk ibu bapa dan persatuan pengguna merasakan keputusan menaikkan tambang ini adalah wajar dan berpatutan. Mereka merasakan kadar kenaikan yang dikenakan juga adalah munasabah dan tidak keterlaluan. Walaupun begitu, ada juga ibu bapa yang terkesan akibat beberapa siri kenaikan harga barang dan perkhidmatan berserta kenaikan kadar pinjaman.
Namun, di suatu aspek, harus juga dilihat mutu perkhidmatan yang diberikan selama ini. Ramai ibu bapa mempertikaikan kenaikan tambang yang seolah sudah menjadi berkala setiap mula sesi persekolahan.
Namun, kenaikan yang dibayar tidak dimanifestasikan dengan kualiti setimpal. Mereka lantang menyatakan ketidakpuasan hati terhadap perkhidmatan diterima anak mereka tapi tidak diberi perhatian sewajarnya.
Antara keluhan sering diluahkan termasuk keadaan kenderaan yang uzur dan buruk, bilangan murid dibawa terlalu ramai pada satu-satu trip menyebabkan mereka bersesak dan terpaksa berdiri, penyaman udara tidak berfungsi ataupun pengudaraan tidak sempurna, keadaan kerusi yang lusuh dan tertanggal, serta menurunkan murid tanpa pengawasan termasuk di tempat-tempat berisiko kemalangan.
Namun, ada perkara lebih penting perlu ditangani segera. Pihak berkuasa seharusnya memberi perhatian kepada individu atau pengusaha yang beroperasi secara haram, iaitu tanpa lesen operasi perdagangan yang sah. Bas, van dan kereta sekolah haram menggunakan kenderaan persendirian ini dikatakan masih berleluasa walaupun sudah berkali-kali diingatkan agar mendaftarkan perkhidmatan mereka secara sah.
SURI RUMAH, PESARA
Operasi pemutihan kerap diadakan tapi masih gagal melenyapkan penyedia khidmat tidak sah ini. Bahkan, bilangan pengusahanya didapati makin bertambah, bak cendawan tumbuh selepas hujan. Khidmat bas, van dan kereta sekolah haram ini dikatakan tetap wujud disebabkan masih ada permintaan daripada ibu bapa khususnya di kawasan perumahan setempat yang mempunyai sekolah.
Selalunya perkhidmatan ini dikendalikan oleh suri rumah mahupun pesara bagi mengisi masa lapang terluang. Modus operandi mereka selalunya menyasarkan ibu bapa yang mempunyai anak peringkat sekolah rendah, tadika serta taska.
Mungkin tujuan asalnya hendak menghantar anak sendiri, namun apabila ada jiran bersebelahan atau berdekatan menumpang disebabkan bersekolah di tempat sama, ia terus menjadi perkhidmatan berbayar secara tidak rasmi. Daripada seorang penumpang, lama kelamaan bertambah.
Walaupun pada awalnya mungkin kadar bayaran dikenakan lebih rendah berbanding pengusaha berdaftar, lama kelamaan ibu bapa merasakan kenaikan dikenakan oleh pengusaha haram ini tidak munasabah dan berlebihan kerana tidak mengikut kadar rasmi sering dikhabarkan kepada umum. Waktu penghantaran yang lebih mengikut kehendak masa, tidak terlalu awal dan terlalu lewat, juga antara sebab utama ibu bapa memilih perkhidmatan pengangkutan persendirian tidak berdaftar ini.
Malah, ada ibu bapa memilih perkhidmatan persendirian ini kerana tidak mahu anak mereka bersempit di dalam van dan bas sekolah berdaftar yang padat kapasitinya. Namun, ada juga ibu bapa yang terpaksa memilih khidmat tidak sah kerana tiada pilihan lain di kawasan perumahan mereka.
BOM JANGKA
Harus diingatkan, perkhidmatan mengangkut murid sekolah secara haram ini umpama bom jangka menunggu waktu meledak kerana lebih banyak risiko berbanding kebaikan. Perkhidmatan tidak berdaftar ini tidak dilindungi insurans sekiranya berlaku kemalangan. Skim Insurans Murid Sekolah yang memberi perlindungan insurans kemalangan diri jalan raya, hilang upaya kekal dan kematian kepada murid sekolah hanya ditawarkan kepada pengusaha perkhidmatan bas sekolah berdaftar.
Bas dan van sekolah berdaftar juga semestinya disahkan layak-jalan raya (roadworthy) kerana diwajibkan menjalani pemeriksaan berkala dua kali setahun di Pusat Pemeriksaan Kendaraan Berkomputer (Puspakom).
Di samping itu, pemandu bas dan van sekolah harus menjalani latihan dan memegang Lesen Memandu Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) dan lulus pemeriksaan kesihatan, sesuatu yang mungkin tidak dimiliki oleh pemandu perkhidmatan tidak sah.
Kesedaran ibu bapa terhadap pengusaha persendirian dan tidak sah ini perlu dipertingkatkan. Nyawa anak tidak seharusnya digadaikan demi mengikut kemahuan dan kehendak tertentu ibu bapa. Pilih dan gunakanlah perkhidmatan berdaftar. Jangan cuba pandang enteng keselamatan anak-anak.
Pada pengusaha yang tidak berdaftar, sekiranya memang serius dan betul-betul berminat menawarkan perkhidmatan mengangkut murid, daftar dan dapatkan permit perkhidmatan bas secara betul. Ambil berat dan cakna akan risiko sekiranya masih ingin melakukan perkara salah di sisi undang-undang ini.
Selain mempergiatkan operasi pemutihan, pihak berwajib boleh mempermudahkan syarat dan proses mendapatkan kelulusan permit dan lesen PSV, mewujudkan subsidi atau pinjaman mudah bagi tujuan mengecat dan mengubah suai kenderaan, insurans dan membeli kenderaan baharu. – UTUSAN
Dr. Mohd. Hafiz Zulfakar ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Teknologi & Pengajian Rantaian Bekalan, Fakulti Pengurusan & Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam.











