Saya perlu bina ‘jenama’ sendiri

Saya perlu bina ‘jenama’ sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
WAJAHNYA lebih banyak menjadi tumpuan banyak mata dan lensa kamera dalam kes perbicaraan membabitkan bekas pemimpin utama negara.
Sekali lagi wanita ini bakal menjadi tumpuan dalam arena politik tanah air apabila membuat keputusan bertanding merebut jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai.
Kini banyak persoalan timbul sama ada beliau benar-benar berkemampuan untuk menjadi pemimpin atau lebih sekadar menumpang populariti.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah anak kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, NOORYANA NAJWA bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut membantu jurufoto, MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

AHLI UMNO

MINGGUAN MALAYSIA: Sejak bila mula menjadi ahli UMNO?
NOORYANA NAJWA: Saya menjadi ahli UMNO sejak 2019 iaitu selepas pulang dari Amerika Syarikat (AS) dan menerima Ijazah Sarjana dari Harvard Universiti.
Selepas itu, saya pulang ke Malaysia dan buat keputusan untuk mendaftarkan diri sebagai ahli di UMNO Bahagian Lembah Pantai. Sekarang saya sudah empat tahun menjadi ahli.

Kenapa memilih bertanding di Lembah Pantai, bukannya di Pekan atau mana-mana bahagian lain di Pahang?
Saya sebenarnya sudah ada pengalaman berkhidmat di Lembah Pantai. Sebelum ini pun, saya ada mewujudkan inisiatif Permata Interact yang mana kita mengadakan kelas bahasa Inggeris dan program memperkasakan remaja di Kerinchi.
Dari situ, saya jatuh hati dengan Lembah Pantai. Selain itu, saya lihat respons daripada inisiatif ini sangat positif dalam kalangan anak-anak, remaja dan ibu bapa di Lembah Pantai. Jadi, saya harap dengan inisiatif seperti ini kita boleh memikat anak muda di sana.

SEBAB MASUK POLITIK
Apa yang mendorong anda untuk melibatkan diri secara lebih serius dalam politik termasuk bertanding jawatan peringkat bahagian?
Sebenarnya kalau orang hendak kata turning point untuk saya ceburkan diri dalam politik sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Sebab sebelum ini sewaktu kempen saya selalu mengikut ayah atau ahli politik lain.
Namun PRU15 , saya bergerak secara solo dan saya lihat sendiri bagaimana makcik dan pakcik mengenang jasa Najib dan ada yang rindu pemerintahan zaman BN. Dan juga dalam kalangan mereka yang berkongsi cerita tentang dasar-dasar BN seperti BRIM dan klinik satu malaysia yang telah mengubah kehidupan mereka
Dari situ, saya lihat kalau kita ada dasar yang komprehensif dan efektif, ia sebenarnya mampu membawa perubahan baik kepada masyarakat .
Contoh, ada ibu tunggal dapat BR1M dan daripada bantuan tersebut dia dapat membeli kerusi roda untuk anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU). Selain itu, saya juga dapat menyantuni ahli akar umbi UMNO yang sentiasa memberi kata-kata semangat kepada keluarga dalam menghadapi saat-saat yang sukar. Justeru saya rasa ini adalah masa-masa terbaik untuk saya mengenang jasa mereka dan UMNO.

Adakah ini masa sesuai untuk anda terlibat dalam politik terutama UMNO kerana ketika ini UMNO boleh dikatakan telah ditolak pengundi?
Saya rasa ini peluang terbaik bagi saya sebab dalam keadaan UMNO sedikit lemah, UMNO perlukan sokongan semua ahlinya.
Kita semua kena memainkan peranan masing-masing dan yang penting kita beri kerjasama dengan menentukan hala tuju jelas dan buat yang terbaik demi kelangsungan parti.

SIMPATI DSN SEBAGAI TIKET
Adakah anda mengharap populariti dan simpati kepada Datuk Seri Najib (DSN) sebagai tiket untuk mendapatkan sokongan?
Tidak boleh dinafikan populariti ayah saya memberi sedikit kelebihan. Tapi sebagai anak, saya perlu bina kekuatan saya sendiri gaya kepimpinan saya sendiri dengan jenama saya dengan memperjuangkan isu dekat di hati.
Kalau kita lihat sama dengan Najib apabila beliau aktif dalam politik, ramai ahli mengenali jasa Allahyarham Tun Abdul Razak dan kemudian selepas itu berjaya menjadi pemimpin dengan personaliti tersendiri. Kalau kita lihat Bossku dan Tun Abdul Razak dua personaliti berbeza tapi disukai rakyat.

Adakah keputusan untuk bertanding ini mendapat restu daripada DSN? Ada mendapat nasihat atau bimbingan dari beliau?
Saya mesti dapat restu daripada ayah dan dia menasihatkan kalau mahu berjaya dalam politik perlu bermula dari bawah. Kita perlu naik daripada satu peringkat ke satu peringkat kerana ini masa terbaik untuk saya mendapatkan dapat pengalaman.
Malah dia ada menasihatkan saya untuk berjumpa seramai mungkin ahli UMNO selagi mampu. Kalau kita lihat mengapa jenama Bossku berjaya?
Sebab dia kenal semua orang, dia tahu nama siapa dan bahagian mana seseorang itu. Jadi dia merupakan model terbaik dan diharapkan saya boleh membuatkan beliau bangga dengan saya pada satu masa nanti.

Seandainya DSN masih lagi sebagai Perdana Menteri atau masih memimpin parti adakah anda akan bertanding?
Itu terpulang kepada ahli. Kalau ada desakan dan permintaan daripada ahli-ahli UMNO mungkin saya akan mempertimbangkan. Apapun saya perlu meminta minta pandangan sebelum membuat satu-satu keputusan.

TAWARAN KEPADA LEMBAH PANTAI
Apa yang anda tawarkan kepada ahli-ahli UMNO Lembah Pantai?
Seperti kita tahu Lembah Pantai mempunyai dua golongan. Satu mereka yang berpendapatan tinggi, contohnya mereka yang tinggal di Bangsar dan satu berpendapatan rendah iaitu mereka yang tinggal di Kerinchi.
Jadi, saya perlu berkhidmat di kedua-dua tempat walaupun kehendak mereka berlainan.
Tapi saya ingin memberi keutamaan kepada masyarakat berpendapatan rendah kerana saya percaya dengan memperkasakan lagi martabat mereka menerusi pendidikan yang lebih baik, mereka mampu ubah nasib ke arah yang lebih cemerlang.

Bagaimana anda lihat kedudukan kepimpinan UMNO hari ini, adakah mereka mampu membawa perubahan kepada parti terutama dalam mengembalikan sokongan pengundi?
Sepanjang proses pemilihan ini, ramai lagi pemimpin muda mendapat peluang memegang jawatan tinggi. Contoh, dalam kalangan Puteri UMNO, sekiranya ada yang melebihi umur, mereka mendapat sokongan daripada cawangan dan bahagian untuk memegang jawatan dalam Wanita UMNO.
Saya juga lihat ada pemimpin UMNO menggalakkan lebih banyak pemimpin muda aktif dan diberi jawatan yang lebih utama. Jadi saya lihat ini satu perkembangan positif. Saya percaya selepas pemilihan ini kita boleh dapat (sokongan). Seandainya UMNO bersatu padu saya yakin kita boleh mengembalikan kepercayaan parti pada rakyat.

Keputusan untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden adakah baik untuk parti?
Sebagai seorang ahli parti kita harus menerima keputusan tersebut dibuat di peringkat tertinggi.
Ada perwakilan tahu bahawa kestabilan harus diberi keutamaan.Saya tidak menafikan ada yang mendesak supaya demokrasi dijalankan sepenuhnya dalam parti.
Tapi kita perlu ingat demokrasi harus berlandaskan prinsip moral dan ketelusan. Kita tidak mahu unsur luar UMNO yang boleh memecah belahkan parti melalui politik wang atau perang proksi kerana ia boleh membawa kemusnahan dalam parti dan kita semestinya tidak mahu perkara ini terjadi. Pada saya kestabilan parti lebih penting buat masa sekarang.

TRANSFORMASI BUKAN
REFORMASI UMNO
Ada suara-suara yang meminta supaya dilakukan reformasi dalam UMNO, adakah perlu? Jika perlu apa bentuk reformasi yang diperlukan?
Saya lebih suka menggunakan istilah transformasi. Saya setuju transformasi dalam UMNO perlu dilaksanakan. Tapi apa-apa bentuk transformasi selepas pemilihan ini, pemimpin harus bertanggungjawab untuk membuat kajian terperinci dan meminta pandangan daripada rakyat dan orang luar selain mereka yang ada dalam UMNO.
Ini penting sebab orang luar UMNO yang akan tentukan nasib parti. Ini bermakna dalam erti kata lain akan ditentukan rakyat sendiri.

Apakah yang perlu dilakukan oleh UMNO dan BN untuk mengembalikan sokongan? Adakah pemimpin sedia ada mampu melakukannya?
Saya mengambil contoh untuk di peringkat Puteri UMNO. Saya mahu melihat Puteri UMNO lebih inklusif dan dipertingkatkan dalam pelbagai aspek serta mempunyai kepelbagaian daripada segi latar belakang.
Malah kita perlu memikat lebih ramai untuk bersama kita dan mahu lihat wakil daripada wanita muda khususnya mereka yang berumur 18 tahun sampai 25 tahun. Ini sesuatu yang UMNO perlu fokuskan sebab mereka banyak yang jadi pengundi kali pertama. Selain itu, Puteri juga harus sinonim dengan aspirasi wanita muda, jadi saya menyeru supaya lebih ramai ahli Puteri menjadi jurucakap untuk wanita muda dan memperjuangkan isu yang dekat di hati wanita muda.

Penyertaan BN dalam Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) sekarang adakah ia sesuatu yang positif kepada parti atau untuk kepentingan pemimpin tertentu?
Sebenarnya saya lihat di peringkat cawangan ada ramai yang berbakat, mungkin mereka tidak diketengahkan atau tiada peluang untuk menonjolkan diri. Tetapi, bila saya mula menyantuni mereka di peringkat cawangan, ada ramai yang berpotensi. Jadi saya harap kepemimpinan di atas berilah mereka ruang untuk memainkan peranan yang lebih utama dalam parti.

Penyertaan BN dalam Kerajaan Perpaduan, adakah positif kepada parti atau hanya untuk kepentingan pemimpin tertentu?
Apabila prestasi UMNO merudum dalam PRU15, kami ada dua pilihan sama ada menjadi pembangkang atau sebahagian daripada kerajaan.
Jadi pada pendapat saya, lebih baik UMNO menjadi sebahagian daripada kerajaan kerana UMNO harus menunjukkan kepemimpinan parti dalam menentukan dasar-dasar dan hala tuju negara.
Kita mahu lihat UMNO sinonim dengan kehendak rakyat, jadi kita kena mainkan peranan kita dalam kerajaan supaya rakyat dapat merasakan yang UMNO ni ada hala tuju jelas, UMNO menyayangi dan boleh memperjuangkan nasib rakyat.

Apakah sebab untuk para perwakilan memilih anda?
Saya harap perwakilan percaya dengan nilai tambah yang saya ingin bawa kepada bahagian Lembah Pantai dan juga kepada Puteri, daripada segi ilmu pengetahuan dan pengalaman.
Tetapi saya seorang yang bersifat terbuka, saya tahu banyak lagi yang perlu saya belajar untuk menjadi pemimpin yang lagi efektif. Tetapi bagi saya ini satu permulaan dan saya berjanji akan melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Saya tahu tanpa sokongan dan dukungan daripada ahli Puteri dan UMNO, tidak mungkin saya boleh berjaya.

Sebelum ini PH selalu mengkritik kepemimpinan DSN, dan kalau anda menang secara tidak langsung akan bersama PH, tidakkah rasa kekok?
Ayah selalu nasihat, keutamaan harus diberikan kepada rakyat. Kalau kita boleh bekerjasama untuk kepentingan rakyat, kita ketepikan emosi dan kepentingan sendiri. Yang utama, nasib rakyat harus dibela.

KEPUTUSAN MAHKAMAH DSN

Berkenaan kes mahkamah baru-baru ini, apa perasaan anda dengan keputusan positif hakim?
Saya baru balik dari mahkamah pagi tadi dan rasa gementar menunggu keputusan bersama ayah.
Tetapi alhamdulillah, kita boleh lihat ayah mendapat keadilan hari ini. Ada yang terlebih gembira sampai memanggil “Yana, ‘Bossku dah balik’. Tetapi saya cakap bukan, beliau menang dalam kes pindaan laporan wang 1MDB, jadi sekarang ini kita harus memberi keutamaan dan fokus terhadap kes penghakiman SRC yang akan ditentukan sebelum hujung bulan.
Doakan supaya ayahanda Bossku akan dapat keadilan dan pulang bersama kami.

Jika masih ada persoalkan keputusan yang berpihak kepada Najib, apa kata anda?
Hakim yang memberi keputusan adalah hakim sama yang menjatuhkan hukuman atas ibu saya. Semasa saya dengar penghakiman tersebut, beliau membuat keputusan berlandaskan fakta, itu penting dan tiada unsur politik.
Sepanjang proses mahkamah ini, ayah saya yakin beliau tidak membuat salah. Jadi kalau kita lihat seseorang hakim berlaku adil menggunakan fakta, ayah percaya beliau boleh mendapat keadilan sepenuhnya.

SIAPA LAYAK PIMPIN UMNO

Pada pandangan anda, siapa yang layak memimpin UMNO sekarang?
Bagi saya, ini semua orang kata teamwork. Ada pemimpin berpengalaman dan juga muda. Pemimpin berpengalaman dan orang lama, mereka harus memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada orang muda manakala orang muda berilah pandangan dan idea segar supaya UMNO lebih kekal dan relevan. – MINGGUAN MALAYSIA

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN