Pembangunan luar bandar masih ketinggalan? - Utusan Malaysia

Pembangunan luar bandar masih ketinggalan?

Capaian internet masih lembab di kebanyakan kawasan luar bandar di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketidak­seimbangan pembangunan antara bandar dan luar bandar adalah isu global yang masih dihadapi kebanyakan negara di dunia. Malah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam penerbitan World Economic Outlook edisi Oktober 2019 menzahirkan kekhuatiran memandangkan negara maju seperti Amerika Syarikat telah menunjukkan kadar ketidakseimbangan tertinggi dari segi pembangunan wilayahnya.
Isu ini bertitik tolak sejak awal 1980-an lagi sehingga mencetuskan polemik berpanjangan antara kerajaan dan rakyat sehingga berlakunya polarisasi politik.
Keseimbangan pembangunan antara bandar dan luar bandar begitu penting bagi memastikan kesepaduan dan kesejahteraan rakyat. Keseimbangan pembangunan yang terjalin juga penting buat negara membangun seperti Malaysia kerana itulah salah satu prasyarat bagi membawa negara mencapai status negara maju.
Oleh itu, kawasan luar bandar tidak boleh dikesampingkan kerana sumbangan ekonominya amat penting terutamanya dalam sektor pelancongan, pertanian, perlombongan dan pengkuarian, dan juga pembuatan.
Di negara ini, sejak dulu lagi kerajaan cuba merapatkan jurang pendapatan dan pembangunan antara bandar dan luar bandar menerusi rancangan jangka masa sederhana dan jangka panjang. Sungguhpun begitu, ketidakseimbangan pembangunan antara bandar dan luar bandar masih berterusan.
Dari segi pendapatan, data KDNK Benar Per Kapita mengikut negeri di Malaysia yang direkodkan antara 1970 sehingga 2018 mendapati Kelantan kekal sebagai negeri terendah dan Sabah, Pahang, Terengganu dan Perak menunjukkan kemerosotan prestasi menjelang 2018 berbanding 1970-an hingga 1990-an.
Kita juga dapat lihat Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah dan Sarawak jauh ketinggalan dari segi pembangunan jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Pulau Pinang dan Johor.
Negeri-negeri yang secara relatifnya maju seperti di Wilayah Tengah lebih bergantung kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan manakala negeri-negeri di wilayah kurang maju seperti di Wilayah Timur, Sabah dan Sarawak lebih tertumpu kepada sektor pertanian.
Antara data yang menarik yang boleh kita bincangkan adalah berkaitan angka penghijrahan penduduk bandar ke luar bandar.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sejak 10 tahun lalu, penduduk bandar berhijrah ke luar bandar adalah lebih ramai berbanding penduduk luar bandar berhijrah ke bandar. Penduduk bandar yang berhijrah ke luar bandar dapat membawa pengalaman dan kemahiran bekerja mereka ke luar bandar bagi membangunkan kawasan di sana.
Namun, keadaan infrastruktur dan teknologi yang tidak mendukung kehendak sebenar akan menyekat sumbangan dan usaha mereka untuk memajukan sektor luar bandar.
Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030. Dasar ini mempertaruhkan wawasan “Luar Bandar Yang Sejahtera, Inklusif, Mampan dan Holistik” sebagai agenda utama dalam proses pembangunan luar bandar di Malaysia menjelang tahun 2030.
Kawasan luar bandar meliputi hampir 75 peratus daripada keseluruhan keluasan Malaysia. Namun, akses kepada infrastruktur asas seperti bekalan air terawat dan elektrik di kawasan luar bandar masih terhad.
Pelaburan dalam penyediaan infrastruktur asas, utiliti dan perkhidmatan yang berkualiti di luar bandar amat ditagih bagi menambah baik akses dan mengurangkan jurang antara bandar dan luar bandar.
Keperluan asas seperti air bersih, elektrik dan internet antara yang perlu dititikberatkan dan perlu tersedia sejak dari dulu lagi sebelum projek-projek mega yang lain dibangunkan.
Penduduk yang tinggal di Kelantan, Sabah dan Sarawak terutamanya menghadapi cabaran akses kepada bekalan air bersih. Ada juga penduduk di beberapa daerah di negeri lain sering kali menghadapi masalah krisis bekalan air bersih seperti di Raub, Pahang.
Selain itu, terdapat juga beberapa kawasan yang tidak mempunyai bekalan elektrik sehingga memaksa mereka menggunakan lampu pelita dan lilin sebagai peneman hidup di malam hari.
Ketiadaan bekalan elektrik sebagai perkara asas dalam kehidupan dan perniagaan membuatkan pelabur enggan melabur di kawasan itu bagi mendirikan kilang dan perniagaan. Lebih menyedihkan, apabila sesuatu kawasan itu tidak mempunyai talian telefon dan radio. Perkara sebeginilah yang menyebabkan peluang pekerjaan di luar bandar terhad.
Banyak lagi kawasan yang tidak mempunyai akses kepada internet dan perkara ini membantutkan usaha kerajaan dalam mempergiatkan aktiviti e-perdagangan di luar bandar.
Selain itu, tahap penerimagunaan ICT yang lemah dalam pembangunan perniagaan dan peluang sosioekonomi serta tahap pencapaian pendidikan dan kemahiran yang rendah menjadikan masyarakat luar bandar kurang mendapat faedah.
Pembangunan wilayah bermatlamat untuk mengurangkan ketidakseimbangan bagi menggalakkan pertumbuhan saksama dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Oleh itu, kerajaan perlu segera memperluaskan capaian internet ke seluruh kawasan luar bandar supaya penduduk luar bandar juga dapat memanfaatkan penggunaan internet bagi meningkatkan tahap sosio-ekonomi mereka.
Kerajaan juga perlu meningkatkan kemudahan asas seperti air dan elektrik di kawasan luar bandar untuk menjana lebih banyak aktiviti ekonomi di kawasan yang kurang membangun.
Selain itu, kerajaan perlu meningkatkan jumlah sektor pembuatan di negeri-negeri berpendapatan rendah bagi mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
Tumpuan yang lebih perlu diberikan kepada industri pengeluaran berkapasiti tinggi dan pintar yang selari dengan kehendak Revolusi Perindustrian 4.0. Aktiviti pertanian khususnya di negeri Pantai Timur perlu berteraskan kegiatan industri asas tani berteknologi tinggi supaya dapat menarik minat golongan muda untuk berkecimpung dalam aktiviti pertanian.

Penulis ialah Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.