Hilang ‘bunyi’, fokus tadbir negara

Hilang ‘bunyi’, fokus tadbir negara

KEPUTUSAN pemilihan Majlis Kerja Tertinggi UMNO menyaksikan hampir keseluruhan mereka yang terpilih adalah penyokong Presiden UMNO. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berlangsung pada 18 Mac lalu, terdapat suara-suara yang tidak bersetuju dengan penyertaan parti itu dalam kerajaan perpaduan berharap agar tokoh-tokoh yang berkongsi hasrat mereka akan menang. Bacaan mereka ialah jika MKT UMNO dikuasai oleh tokoh-tokoh yang tidak sekepala dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, maka Presiden UMNO itu boleh ditekan oleh ahli-ahli MKT untuk membawa parti keluar dari kerajaan perpaduan.

Tan Sri Noh Omar, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor merangkap bekas ahli MKT umpamanya, menyebut pada 15 Mac lalu betapa Presiden UMNO boleh disingkirkan melalui undi tidak percaya sekiranya usul tersebut mendapat sokongan dua pertiga ahli MKT.

Begitupun, setelah keputusan pemilihan MKT diisytiharkan secara rasmi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Samad, suara-suara begini terus hilang. Apa tidaknya kerana hampir keseluruhan terpilih adalah mereka yang menyokong kuat Presiden UMNO.

Bagi jawatan Naib Presiden, tiga pemenangnya ialah Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Bagi jawatan ahli MKT, 25 pemenangnya adalah mereka yang merupakan penyokong kuat atau tiada masalah dengan Presiden.

Mereka yang kalah pula dilantik memegang jawatan-jawatan penting parti. Mereka termasuk tiga calon Naib Presiden yang kalah, iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Ketua Penerangan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebagai Ketua Jabatan Pilihan Raya dan Datuk Seri Mahdzir Khalid dilantik Pengerusi UMNO Kedah.

Begitu juga 10 ahli MKT lantikan lain terdiri daripada Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, Datuk Ahmad Ismail, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Datuk Seri Mohd. Shafei Abdullah, Datuk Hasmuni Hassan, Datuk Hasnol Ayub, Datuk Mohd. Faizal Ramli, Datuk Mohd. Ariff Abdul Majid dan Datuk Seri Jailani Johari.

Lebih penting, jawatan Setiausaha Agung dan Bendahari Agung kini disandang dua tokoh yang amat setia dengan Presiden, iaitu Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Oleh itu, bila MKT dikuasai oleh Ahmad Zahid, kini tiada ruang sama sekali untuk ahli-ahli MKT menekan Presiden untuk membawa UMNO keluar dari kerajaan perpaduan atau mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Presiden. Kerana itulah juga pihak dalam UMNO yang sebelum ini mencabar keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang mengekalkan penyandang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tanpa bertanding kini sudah tidak berani berbunyi lagi.

Berdasarkan keputusan pemilihan UMNO ini, mereka tahu jika Ahmad Zahid dan Datuk Seri Mohamad Hassan dicabar sekalipun, kedua-duanya tetap akan menang mudah untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Lebih menguatkan kedudukan Ahmad Zahid sebagai Presiden dan meneguhkan sokongan UMNO ke atas kerajaan perpaduan ialah bila tokoh-tokoh UMNO kini semakin ramai diberi ruang untuk mengetuai agensi badan berkanun kerajaan mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Mereka termasuklah Asyraf Wajdi selaku Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Ahmad Jazlan Yaakob selaku Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad selaku Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Walaupun ada pihak seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengecam lantikan ini tetapi ia sepatutnya tidak menjadi isu kerana tidak ada dalam manifesto mana-mana parti politik yang membentuk kerajaan perpaduan berjanji begitu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri walaupun membatalkan lantikan politik yang dibuat oleh kerajaan terdahulu, tidak pernah berjanji tidak akan membuatnya. Malah, apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 21 Disember 2022 adalah lantikan politik akan diteruskan dan mereka wajar terikat dengan syarat-syarat khas dan mempunyai kelayakan serta prestasi yang sepatutnya dalam bidang relevan.

Tahap keupayaan profesional seseorang individu, prestasi lampau dan pematuhan peraturan tadbir urus akan menjadi garis panduan. Lantikan politik membabitkan tokoh-tokoh yang layak dan berprestasi tinggi adalah penting bagi memastikan keberdayaan parti-parti politik dalam kerajaan.

Pada masa sama, ada pula berpendapat, dominasi ke atas MKT oleh Ahmad Zahid akan menyebabkan lebih ramai pengundi Melayu menjauhkan diri dari UMNO serta mengundi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dalam pilihan raya negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.

Ini tidak boleh dijadikan hujah kerana sejak pemilihan UMNO berlangsung, tiada kedengaran pihak yang kalah mahu bertindak keluar parti sebaliknya mereka masih mahu kekal dalam UMNO, apa lagi bila kepala mereka diberi jawatan lantikan, ditambah pelbagai masalah mula melanda Bersatu dan Pas mutakhir ini.

Jika betul sekalipun lebih ramai pengundi Melayu akan menjauhkan diri dari UMNO dalam PRN nanti, kesannya tidaklah besar kerana UMNO tidak dominan di enam negeri tersebut, dan kedudukan kerajaan Pusat juga tetap tidak akan terjejas walaupun ‘gelombang hijau’ Bersatu dan Pas berterusan dalam PRN.

Sehubungan itu, tanpa adanya masalah dalaman pada UMNO, fokus kini boleh ditumpu kepada usaha mentadbir negara sekali gus jangka hayat kerajaan perpaduan kini dikira sudah selamat hingga ke penghujung penggal Parlimen ke-15. – UTUSAN

DR. Mazlan Che Soh ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN