200,000 murid Islam buta agama? - Utusan Malaysia

200,000 murid Islam buta agama?

Status pendapatan guru-guru KAFA yang dikategori sebagai elaun menyulitkan mereka untuk membuat pinjaman bank.– GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA saya hadir membuat liputan pengumuman keputusan Ujian Penilaian Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) – UPKK 2022 di Kompleks Islam Putrajaya baru-baru ini, suasana tidak ‘semeriah’ mana. Jumlah petugas media juga boleh dibilang dengan jari, walhal ia diumumkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.

Ramai wartawan khabarnya ‘dikerah’ berkumpul di pekarangan ibu pejabat sebuah agensi antirasuah untuk melaporkan situasi terkini melibatkan kes seorang tokoh politik terkenal. Hasilnya, berita mengenai analisis keputusan UPKK 2022 tidak diambil cakna, seolah-olah peperiksaan itu tiada nilai signifikan buat negara dari sudut pandang prinsip madani.

Entah di mana silapnya, namun sebagai pemberita, saya menilai senario itu agak bahaya kerana ia melibatkan pembinaan pelapis generasi muda Islam masa depan. Pedulikanlah angka hebat seperti 19,266 calon UPKK tahun lalu berjaya meraih 8A untuk semua subjek diduduki tetapi ramai terlupa, hanya 88 peratus lulus keseluruhan ujian berkenaan.

Kadar tersebut bahkan diakui oleh Mohd. Na’im sendiri sebagai merosot teruk berbanding jangkaan awal, beliau mengunjurkan lebih 90 peratus daripada 234,931 calon yang hadir. Usai pengumuman itu, saya sempat bersembang dengan rakan lama senior yang pernah belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sekitar akhir dekad 1990-an.

Kami berbual dalam nada serius walaupun tampak santai sambil mengimbau era sebagai aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dahulu sebelum membawa haluan berbeza.

“Ana (saya) risau sebab 8,921 calon tidak hadir daripada keseluruhan 243,852 murid tahun lima yang daftar untuk menduduki UPKK 2022 itu, apa sudah berlaku?” soalnya kepada saya.

Bilangan kali ini amat besar berbanding UPKK 2019 apabila hanya 5,075 calon tidak hadir daripada keseluruhan 228,905 murid yang telah mendaftar bagi peperiksaan berkenaan.

UPKK 2022 tidak boleh dibuat rujukan perbandingan dengan UPKK 2021, sebab digabung bersama UPKK 2020 yang terpaksa ditunda susulan kebimbangan wabak Covid-19. Situasi luar biasa itu menyebabkan jumlah calon naik kepada 463,343 orang tetapi mereka turut diuji berbeza melalui kaedah Modul Penilaian KAFA. Justeru, dari segi etika amalan statistik, UPKK 2022 cuma boleh dibandingkan secara adil dengan

UPKK 2019 yang dianggap sebagai tahun terbaik apabila 44,066 calon memperoleh 8A.

LIBERAL

Bagaimanapun, itu bukanlah cerita utama, namun isu sebenarnya ialah di manakah ‘hilang’ lebih 40 peratus murid beragama Islam langsung tidak belajar KAFA di negara ini?

“Secara purata hampir 500,000 murid memasuki tahun satu di 7,780 buah sekolah rendah tetapi hanya 60 peratus daripada mereka belajar KAFA secara formal,” kata sahabat saya.

Jumlah congak kasar itu ujarnya, setelah ditolak bilangan murid bukan Islam dengan ramai ibu bapa Muslim memberi alasan tipikal tiada duit dan bimbang jadual belajar amat padat. Betul KAFA bukanlah kelas wajib kerana di sekolah dikendalikan Kementerian Pendidikan pun ada subjek Pendidikan Islam tetapi terlalu asas dan langsung tidak diberi penekanan.

Natijahnya, setiap tahun hampir 200,000 murid Islam tahun enam ‘buta’ agama dan lebih teruk, tidak tahu solat atau membaca al-Quran kerana tiada kemahiran dalam tulisan Jawi. Kelompok inilah yang dikhuatiri akan membentuk generasi liberal dan berfahaman pluralisme serta paling dibimbangi, tergelincir akidah apabila murtad tanpa sedar akibat gaya hidup bebas.

Hari ini, umat Islam ‘kecoh’ isu filem kontroversi Mentega Terbang dan tahun lalu, gempar persembahan komediri seorang wanita menghina agama Islam di sebuah kelab malam.

“Puncanya, tiada asas didikan agama sempurna bahkan jika ditunjuk huruf alif, lam, lam, ha pun mesti mereka tidak tahu ini ejaan Arab untuk kalimah Allah,” tambah rakan saya itu.

Bayangkanlah jika di Brunei pada 2018, Sultan Hassanal Bolkiah mewajibkan semua murid Islam mesti solat fardu berjemaah di sekolah sebelum mereka boleh balik ke rumah. Ia susulan kekesalan baginda sendiri setahun sebelum itu yang murka apabila 80 peratus murid di negara tersebut tidak pernah solat dan 60 peratus lagi tidak membaca al-Quran langsung.

Mujur kerajaan peka isu ini lebih awal dan sejak 2010, keputusan UPKK menjadi antara syarat bagi kemasukan ke tingkatan satu di dua jenis sekolah khusus Kementerian Pendidikan. Ini meliputi 69 buah sekolah berasrama penuh dan 61 lagi sekolah menengah kebangsaan agama, bahkan ada beberapa negeri mewajibkan minimum 7A untuk permohonan tersebut.

Langkah ini mungkin tampak remeh, namun kesannya besar apabila lepasan institusi pendidikan ini tidak sahaja bijak akademik, malah ada jiwa Islam yang kukuh sepanjang masa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN