Tulislah untuk manfaat masyarakat - Utusan Malaysia

Tulislah untuk manfaat masyarakat

TULISAN wartawan adalah medium untuk menghubungkan rakyat susah dengan kerajaan, melawan korupsi dan membantu peningkatan ekonomi negara. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WARTAWAN harus sentiasa berpihak kepada rakyat kelas bawahan. Tanpa wartawan, suara rakyat terutama dalam kalangan kelas pekerja dan miskin tegar akan terus tenggelam.

Setiap wartawan harus sedar bahawa tugasan utama mereka adalah untuk menyalurkan segala kisah perit serta derita rakyat jelata supaya diberi perhatian oleh pemerintah.

Sebagai wartawan, saya turut menasihati diri ini supaya tidak lari daripada tujuan asal kerja dan tanggungjawab. Sebelum ini saya ada beberapa kali mempromosi mat salih di Malaysia dalam akhbar bagi tatapan pembaca tetapi kini tidak lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tidak perlulah lagi mensensasikan berita-berita yang tidak memberi manfaat kepada pembangunan negara terutama apabila ia berkisarkan kisah kahwin-cerai artis apatah lagi dengan mudahnya menemu ramah pempengaruh dalam kalangan orang asing.

Sebagai wartawan, kekuatan kita adalah pada penulisan. Kita mampu mempengaruhi orang lain dengan hanya menulis. Lihatlah bagaimana ramai pejuang kemerdekaan Tanah Melayu yang lahir dari kerjaya seorang wartawan.

Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestaman, tokoh kiri Melayu merupakan antara contoh terbaik bagaimana kerjaya wartawan dapat membawa kita pergi ke peringkat tertinggi.

Ternyata penulisan itu mampu meruntuhkan penjajahan dan menundukkan ego ahli-ahli politik yang sombong. Kita perlu lebih banyak menemu ramah dan memberi peluang kepada golongan miskin tegar, pekerja pembersihan, pengorek longkang, buruh kasar atau petani untuk bersuara dalam media.

Tulislah kisah-kisah kesengsaraan mereka dan bantulah perniagaan golongan susah supaya mereka dapat perhatian daripada pemerintah dan rakyat yang berkemampuan.

Ya, memang sebahagian wartawan ada menulis tentang isu komuniti, tetapi malangnya ia terlalu sedikit. Kalau ada pun selalunya di ruangan yang lebih kecil.

Apa salahnya kalau selepas ini, kita jadikan kisah keperitan hidup seorang pemandu lori di bahagian muka hadapan akhbar dan mensensasikan berita-berita tentang tuntutan, protes dan demonstrasi golongan petani dan peladang yang menuntut hak dan suara mereka agar didengari kerajaan?

Jangan kita terlalu ikutkan kehendak warganet dan pembaca yang inginkan berita-berita tentang hiburan, sebaliknya kitalah yang berusaha memastikan para pembaca mengikuti naratif yang kita bawa.

Warganet dan sebahagian pembaca akan menyukai sesuatu itu sekiranya kitalah yang mensensasikannya. Kerana pada hakikatnya, masyarakat mengikut apa yang mereka lihat.

Kalau kita sajikan mereka dengan hiburan, mereka akan terima dan memintanya lagi. Kalau kita terus-menerus menyajikan dengan kisah perjuangan, mereka juga akan menerimanya.

KORUPSI

Sehingga kini, saya berusaha keras untuk menulis sesuatu yang sangat bermanfaat buat pembaca dan saya cukup terkejut apabila artikel-artikel dihasilkan mendapat sambutan cukup luar biasa.

Ini dengan jelas membuktikan bahawa masyarakat mengikuti penulisan pilihan wartawan. Maka, janganlah kita jadi terbalik dengan mengikut kehendak sebahagian masyarakat yang inginkan hiburan semata-mata.

Saya pernah beberapa kali menulis tentang artis tetapi adakah ia berkisarkan kehidupan mereka? Tidak sama sekali. Saya memfokuskan tentang masalah mental, perkembangan dan cabaran dunia hiburan. Itulah perkara yang memberi manfaat kepada pembaca.

Mungkin sebahagian daripada anda berasa jelik dengan saranan saya ini kerana dilihat terlalu idealis dan ketinggalan zaman. Tetapi inilah realiti sebenar tugasan seorang wartawan, iaitu sebagai orang tengah untuk menghubungkan rakyat susah dengan kerajaan, melawan korupsi, membantu peningkatan ekonomi negara dan sebagainya.

Saranan ini untuk semua wartawan di Malaysia tidak kira Melayu, Cina, India dan sesiapa pun. Ini adalah tanggungjawab kita bersama. Kalau anda seorang Muslim, pasti tahu bahawa setiap penulisan kita bakal dihukum oleh Tuhan kelak.

Kalau benarlah ingin membawa negara ini pergi lebih maju ke hadapan setaraf dengan negara-negara maju lain, maka kita kena salurkan bahan bacaan yang sangat berguna kepada masyarakat.

Kalaulah topik-topik bersifat pendidikan tidak mendapat sambutan daripada pembaca, maka seharusnya kita ubah gaya penulisan dan penyampaian mengikut kesesuaian masyarakat pada masa kini.

Artikel-artikel ilmiah boleh sahaja ditulis dalam bentuk penceritaan atau komik bergambar. Mudah dan menarik, bukan? Seperti saya katakan, jangan kita ikut kehendak masyarakat yang tidak terbatas tetapi kitalah yang menjadikan kehendak itu bersesuaian dengan masyarakat sekali gus diterima mereka. – UTUSAN

PENULIS ialah pemerhati isu-isu tempatan & antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×