BARU-BARU ini, negara kita digemparkan dengan tindakan pasangan Russia menceroboh salah sebuah bangunan tertinggi di dunia, Menara Merdeka 118 di Kuala Lumpur. Lebih memeritkan lagi, pasangan pelancong mat salih ini secara terbuka menceritakan dengan terperinci cara-cara mereka menceroboh masuk ke bangunan pencakar langit tersebut.
Pasangan ini bukan sahaja berbangga dengan pencapaian mereka melakukan jenayah menceroboh dan melanggar undang-undang, bahkan dengan sinisnya memerli kerajaan Malaysia supaya tidak cuba memburu mereka.
Selang beberapa hari kemudian, tular dalam media sosial mengenai sekumpulan pelancong asing sekali lagi menceroboh masuk Menara Merdeka 118. Namun, difahamkan kejadian ini berlaku tahun lepas dan penceroboh sudah pun berjaya ditangkap pihak berkuasa
Apa sudah berlaku? Di mana pengawal keselamatan kita? Bagaimana hanya dengan berpakaian persis pekerja, mereka boleh terus masuk ke bangunan tersebut? Para pengawal ini tidak meminta kad pengenalan merekakah?
Pengawal keselamatan tidurkah? Dibayarkah? Atau adakah disebabkan mereka berkulit putih, tinggi dan cantik, lalu dengan satu kenyitan mata sahaja menyebabkan mereka diberi kebenaran masuk?
Para penceroboh kulit putih ini dengan jelas menunjukkan betapa teruknya sistem keselamatan negara. Sekarang mungkin mereka pecah masuk sebab nak ke puncak Menara Merdeka 118, tetapi bayangkan kalau ada pula yang mengambil kesempatan dengan meletakkan bom di situ?
Kenapa kita tidak ambil pengajaran daripada peristiwa runtuhnya Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Amerika Syarikat pada 11 September 2001 dahulu? Tidak takutkah sekiranya perkara seperti itu berlaku di tanah air kita? Ini sesuatu yang serius!
Para penceroboh tersebut bukan sahaja perlu dipenjara, bahkan mereka harus disenaraihitamkan daripada masuk ke Malaysia untuk selama-lamanya. Jangan lagi bertolak ansur, sebaliknya kita wajib bertegas demi keselamatan negara.
SAKIT HATI
Saya cukup sakit hati melihat bagaimana para penceroboh ini memperkecilkan undang-undang negara apabila memberitahu tindakan ini memang boleh menyebabkan mereka dihukum. Persoalannya di sini, mengapa mereka boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian?
Adakah kerana mereka mat salih maka tidak akan dikenakan hukuman berat? Atau mungkin hukuman yang dikenakan terlalu ringan iaitu sekadar membayar denda?
Inilah bahana apabila kita terus-menerus mengangkat, menyembah dan mengagungkan orang kulit putih. Sikap berlebih-lebihan inilah yang menyebabkan kaum kulit putih ini bertindak di luar batasan, melanggar undang-undang negara dan memperkecilkan kita kerana tahu apa sahaja yang dilakukan meskipun ia adalah satu jenayah serius, warga Malaysia tetap akan menyokong tindak-tanduk mereka.
Ini bukan fitnah, tengok sahaja di media sosial bagaimana sebahagian besar warganet tempatan kita yang seolah-olah berasa terhibur dengan tindakan mat salih ini.Ingatlah, mungkin sekarang anda melihat saya bertindak seolah-olah seorang fasis, rasis dan diktator kerana kelak anda sendiri akan tahu bahawa apa yang saya perkatakan ini benar belaka.
Mungkin sekarang kita masih belum lihat tetapi apabila mereka sudah semakin ramai, terkenal dan kebal, maka kita akan perhatikan ‘wajah’ sebenar mereka. Bukankah dahulu kitalah yang paling simpati terhadap nasib para pelarian Rohingnya?
Siap ada lagu Selamat Malam Rohingnya. Tetapi apa yang berlaku pada hari ini? Kita semua jadi meluat dan menyampah dengan pelarian-pelarian ini yang biadap dan besar kepala.
Dahulu kita tiada masalah sebab mereka masih dalam kumpulan kecil tetapi apabila sudah beranak pinak dan jumlah meningkat naik, akhirnya kita disajikan dengan jenayah dan gejala sosial yang mereka lakukan sehingga merunsingkan negara.
Begitulah juga dengan situasi sekarang, mat salih masih sedikit tetapi dengan adanya TikTok dan peluang menjadi terkenal di Malaysia cukup mudah, maka lama-kelamaan kita akan melihat lebih ramai entah mat salih dari ceruk mana akan datang bekerja sebagai pempengaruh dan menguasai pasaran hiburan selain menetap di negara ini.
Benarlah kata mat salih, bangsa Asia dan Afrika ialah bangsa inferior (rendah kedudukan) dan tidak ada nilai. Dahulu saya marah dengan kenyataan ini, tetapi hari ini saya akui kata-kata mereka itu cukup tepat.
Saya nak katakan, kalau kita lihat anak bangsa kita cukup perak (tercengang) dan teruja dengan mat salih, maka percayalah kata-kata saya bahawa begitulah juga datuk nenek moyang kita dahulu tatkala melihat mat salih masuk menjajah negara ini. – UTUSAN
PENULIS ialah pemerhati isu-isu tempatan & antarabangsa.










