MALAYSIA menghantar pasukan mencari dan menyelamat (SAR) ke Turkiye, kurang dari 24 jam setelah berlakunya gempa berskala mega di selatan negara itu pada 6 Februari lalu. Tindakan pantas kerajaan menunjukkan betapa akrabnya hubungan Turkiye dan Malaysia.
Kerajaan dan rakyat Malaysia sangat terkesan dengan magnitud korban, kemusnahan dan kerugian akibat musibah tersebut. Walaupun Syria juga terkesan teruk, Malaysia tidak membuat ketetapan untuk menghantar pasukan SAR. Ini pasti kerana kerumitan dalam mengurus keperluan strategik pelbagai kuasa yang berkepentingan di Syria.
Tragedi sebegini rumit dan kompleks boleh memberi pengajaran penting kepada negara ini. Pertama, ikhtiar pencarian dan menyelamat serta pelbagai bantuan kemanusiaan dan pembangunan antarabangsa dari Malaysia mestilah bersifat universal, tidak politikal dan adil.
Tidak ada negara yang lebih istimewa dan lebih utama. Syria dan Turkiye sangat memerlukan bantuan antarabangsa. Apa lagi bila negara seperti Syria mempunyai keterbatasan yang nyata dari segala segi dalam mengurus krisis berskala mega sebegini.
Sudah sampai masanya masyarakat antarabangsa menilai kembali penyaluran bantuan kemanusiaan dan pembangunan terhadap Syria.
Ia mesti dilakukan berasaskan keperluan kemanusiaan yang nyata, bukan afiliasi politik.
Meminggirkan Syria adalah penafian terhadap keselamatan insan untuk rakyat yang telah lama menderita dan menjadi mangsa perang. Mungkin tragedi ini akan menginspirasi Malaysia untuk memulakan langkah pembangunan semula Syria.
NADMA
Malaysia mesti membuktikan ia negara dengan keluarbiasaan tersendiri – membantu sesiapa sahaja dengan sedaya upaya dalam apa jua keadaan sebagai memenuhi tanggungjawab antarabangsanya.
Kedua, sumbangan dan khidmat kemanusiaan dan pembangunan antarabangsa Malaysia mesti diuruskan dengan lebih strategik. Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bukan agensi yang khusus bagi kerja-kerja kemanusiaan antarabangsa.
Usaha pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga selama ini tidak diselaraskan dengan kemas dan sistematik. Akhirnya, semua khidmat bakti dan sumbangsih daripada kerajaan dan rakyat negara ini tidak membuahkan impak keterlihatan yang boleh menyumbang kepada peningkatan pengaruh kuasa lunak Malaysia.
Kerajaan wajar mempertimbangkan penubuhan Agensi Kerjasama Bantuan Kemanusiaan dan Pembangunan Antarabangsa Malaysia atau Malaysian Agency for Humanitarian Assistance and International Development. Sebagai sebuah negara kuasa pertengahan, agensi nasional seperti ini sangat diperlukan. Ia untuk memastikan semua kerja-kerja kemanusiaan dan pembangunan yang dilakukan oleh rakyat Malaysia di peringkat antarabangsa serta sumbangan teknikal dan bukan teknikal daripada kerajaan diuruskan secara kemas dan teratur.
Jika diselaraskan dengan strategik, keterlihatan Malaysia akan dapat diketengahkan dengan berkesan. Peningkatan keterlihatan akhirnya akan membolehkan Malaysia membangun wibawanya sebagai negara penyumbang penting kepada pembangunan antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pemimpin global. Kerajaan beliau yang dipandu dengan aspirasi Malaysia Madani mesti menterjemahkan ideal keselamatan insan dengan mekanisme yang lebih kemas. Agensi kemanusiaan dan pembangunan antarabangsa mungkin langkah terbaik untuk mengetengahkan the new Malaysia’s exceptionalism kepada masyarakat antarabangsa. – UTUSAN
DR. Abdul Razak Ahmad ialah Pengarah Pengasas Bait Al Amanah dan Wakil Khas Kementerian Luar Negeri – Keamanan & Perangi Islamofobia.











