Kiri kanan lubang, inikah negeri maju? - Utusan Malaysia

Kiri kanan lubang, inikah negeri maju?

BANYAK pihak merungut tentang keadaan jalan yang berlubang dan bertampal-tampal di Johor.- UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“JIKA memandu malam hati-hati, banyak jalan berlubang. Bukan sahaja tayar kereta boleh pecah, malah boleh kemalangan.” Itulah pesanan seorang sahabat baru-baru ini semasa berkunjung ke Mersing untuk melihat keadaan banjir di sana.

Bukan omong kosong, tetapi itulah realiti kebanyakan jalan di negeri ini. Sebut sahaja ke mana destinasi hendak dituju, ramai merungut tentang keadaan jalan yang berlubang dan bertampal-tampal.

“Pemandu hebat seperti Michael Schumacher (legenda Formula Satu) pun tidak boleh mengelak, kiri kanan jalan berlubang.” Demikian luah seorang sahabat lagi. Sebut sahaja beberapa jalan. Lebuh Raya Pasir Gudang yang namanya sahaja gah tetapi penuh dengan lubang. Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, Jalan Pasir Gudang-Desaru, apatah lagi, kiri kanan berlubang.

Malah, turut menyedihkan, banyak jalan di kawasan tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertaraf bandar raya, iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) turut banyak yang berlubang dan rosak.

Ditambah keadaan cuaca yang sering hujan, jalan yang berlubang boleh menjadi perangkap maut, khususnya bagi kenderaan ringan seperti motosikal. Keadaan ini bukan sahaja menimbulkan ketidakselesaan kepada pengguna, malah menjejaskan nama dan imej Johor sebagai sebuah negeri yang kian pesat membangun. Jika keadaan ini tidak diatasi segera, khususnya Johor Bahru mungkin diberi julukan ‘Bandar Raya Lubang.’

TIDAK ‘SELERA’

Keadaan itu amat memalukan kerana dalam usaha kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang muda dan sentiasa vibrant (bersemangat) untuk merealisasikan gagasan Maju Johor pasti tercalar. Tiada gunanya mencanang Johor sedang menuju negeri maju jika keadaan infrastruktur termasuk jalan dalam keadaan yang menyedihkan.

Kasihanlah kepada Menteri Besar yang sentiasa berusaha memastikan infrastruktur untuk Bangsa Johor yang terbaik. Apatah lagi beliau sentiasa turun sendiri meninjau keadaan di seluruh negeri. Mana beliau hendak sorok muka jika ramai merungut tentang keadaan jalan tidak ‘selera’ dan banyak yang berlubang dan rosak. Malah, ada yang kata, naik kereta macam naik kuda.

Selain faktor cuaca yang sering hujan, PBT dan Jabatan Kerja Raya serta kontraktor penyelenggaraan harus bertindak memastikan kualiti pembaikan khususnya tampalan jalan berlubang yang dibuat mesti berkualiti. Ini kerana dalam banyak keadaan, tampalan jalan berlubang yang dilakukan hanya bertahan beberapa hari atau beberapa minggu.

Seharusnya tiada kompromi dalam kualiti kerja yang dilaksanakan! Jika kualiti jalan tidak diperbaiki, bukan sahaja rakyat tempatan yang merungut, malah pelancong khususnya rakyat seberang tambak turut tidak selesa berkunjung ke negara ini terutama Johor.

Pelabur juga pasti melihat sistem pengangkutan yang kurang baik dan keadaan itu boleh dianggap kekurangan dan mungkin mereka cabut lari mencari destinasi lain untuk melabur.

Andai itu yang berlaku, situasi terbabit amat merugikan tatkala negara dan negeri ini berusaha bangkit pasca pandemik Covid-19. Janganlah kerana kelalaian untuk menyediakan infrastruktur terbaik kepada rakyat, negeri ini mengalami kerugian besar. Justeru, semua pihak harus menggembleng tenaga dan keupayaan bagi menyediakan infrastruktur terbaik untuk rakyat.

Jangan hanya pandai berjanji semasa pilihan raya. Kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan yang telah diberi mandat harus berusaha membuktikan sentiasa peka dan menyelami denyut nadi serta keperluan rakyat. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×