KONSEP Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini, masih lagi menjadi topik yang hangat dibincangkan oleh ahli-ahli politik, para cendekiawan mahupun dalam kalangan rakyat.
Biasalah, sebaik sahaja dasar besar diumumkan, ia akan menjadi tajuk utama pelbagai forum di pelbagai pentas termasuk juga di kedai-kedai kopi. Maka, pelbagai literasi diungkapkan bagi merungkai maksud konsep Malaysia Madani.
Konsep madani menarik bagi saya kerana inilah konsep yang saya tekankan secara konsisten dalam penulisan-penulisan saya selama ini, malah menjadi fokus utama dalam buku saya, Daripada Remaja kepada Remaja.
Walau apa jua cara kita kembangkan pemahaman tentang konsep ini, maksud asasnya tetap sama iaitu kemajuan yang menyeluruh dari aspek pemikiran, kerohanian dan kebendaan. Maka, tata kelola kepimpinan harus terarah kepada pembinaan negara yang sejahtera dan bukan hanya berasaskan nilai material semata-mata.
Sekali air bah, sekali pasir berubah. Dasar negara yang silih berganti setiap kali kerajaan berubah amat merugikan negara. Rakyat mengharapkan pemimpin yang mampu bekerja dan tidak sekadar tahu membuat dasar. Untuk menjadikan Malaysia negara madani, pembangunan haruslah dimurnikan secara menyeluruh terlebih dahulu.
Justeru, seluruh kepimpinan negara harus ikhlas, komited dan seia sekata menggembleng tenaga bagi merealisasikan agenda besar ini. Sebaik mana pun dasar yang dirangka, ia tidak akan memberi sebarang manfaat kepada rakyat jika hanya sekadar dijadikan slogan semata-mata.
Menggunakan konsep sama, hasrat murni ini harus dimulai dengan pembangunan insan secara menyeluruh, tidak hanya dari sudut kebendaan tetapi juga pemikiran dan kerohanian.
Justeru, kunci utama dalam merealisasikan Malaysia Madani ialah pembinaan insan mulia melalui institusi keluarga bertunjangkan nilai-nilai murni. Maka, rakyat juga harus memahami tanggungjawab mereka dan memainkan peranan secara aktif demi kesejahteraan negara.
Kita wajar memulakan pembangunan sahsiah diri secara holistik sejak usia muda memandangkan elemen ini amat penting dalam pembentukan keperibadian mulia.
Malangnya, hal ini sering diremehkan dek kerana kita terlalu mementingkan kemajuan material. Dalam kesibukan mengejar kejayaan duniawi, banyak institusi keluarga tidak lagi menjadi tonggak pembangunan insan.
Masa bersama keluarga semakin kurang, malah apabila bersama pun masing-masing sibuk dengan telefon bimbit, alat peranti ataupun menonton rancangan kegemaran mereka di televisyen.
Dalam sesetengah keadaan, anak-anak dibiarkan membesar tanpa kawalan, disiplin dan tunjuk ajar tentang aspek kerohanian, adab, adat, tatasusila, budi pekerti dan apatah lagi hal-hal kenegaraan.
Jangankan sejarah negara, sejarah keluarga pun tidak mereka ketahui. Akibatnya, sukar bagi ibu bapa membentuk sahsiah diri yang kuat serta jati diri yang kental dalam diri anak-anak mereka. Cinta kepada negara harus dipupuk sejak kecil dan bagi rakyat, sejarah Tanah Melayu harus difahami oleh setiap warganegara.

TEKNOKRAT
Keghairahan kita melahirkan para teknokrat (orang yang mahir dalam bidang teknologi) dan ahli perniagaan kadangkala menyebabkan kita mengabaikan aspek pembinaan insan.
Bangga sekali ibu bapa apabila anak-anak mengambil subjek yang dilihat kompleks seperti aeroangkasa kerana disifatkan bidang yang canggih dan maju.
Namun, kejayaan material semata-mata tidak bermakna jika kita gagal menjadi insan yang baik dan warganegara yang taat dan sayangkan negara bangsa. Akibatnya, manusia hanya mementingkan diri sendiri sehingga sanggup pijak-memijak, merampas hak orang lain dan tidak setia kepada negara.
Lihat sahaja masalah sosial yang menggunung di negara-negara maju di mana masyarakatnya hidup dalam keadaan kucar-kacir. Manusia wajar mengikut resmi padi, semakin tunduk semakin berisi.
Jelas, konsep madani menuntut sifat kehambaan daripada setiap insan. Tanpa menginsafi bahawa kita sekadar hamba Allah SWT, kita akan merasakan diri terlalu hebat dan gah.
Kita akan lupa diri, bersifat bongkak dan merasakan diri kita lebih hebat daripada orang lain. Sifat tidak boleh ditegur akan menjadikan kita alpa dan hanyut dalam kehidupan yang pura-pura. Tidak kurang juga anak-anak yang terlalu angkuh sehingga tidak lagi menghormati kedua-dua ibu bapa mereka.
Islam mementingkan pembangunan insan dan ia mesti bermula dari rumah. Ibu bapa bertanggungjawab mendidik dan membimbing anak-anak dengan nilai yang baik sejak kecil.
Pendidikan akhlak, adab, tatasusila, kerohanian dan lain-lain harus diterapkan dalam diri mereka secara kukuh sebelum mereka terdedah kepada pergaulan di luar rumah.
Mereka harus diberi pemahaman, mengapa ibu bapa meletakkan aturan dan larangan agar tidak menganggap ibu bapa sekadar autoriti yang mengekang dan menyekat kebebasan dan hak mereka.
Jelas, elemen insaniah dan nilai-nilai murni mesti diberi keutamaan dalam sistem pendidikan, baik dalam lingkungan keluarga mahupun di sekolah. Jika aspek ini diabaikan, maka sifat kemanusiaan akan hilang daripada jiwa anak bangsa.
Padahnya akan membawa kepada salah guna kuasa, rasuah, perbuatan jenayah dan pelbagai penyakit masyarakat yang berleluasa. Akibatnya, manusia ‘menghalalkan’ perbuatan yang salah dengan pelbagai cara dan alasan.
Yang berkuasa akan menindas mereka yang lemah secara terang-terangan. Insan yang terdidik sepatutnya memahami mengapa mereka mesti mematuhi undang-undang. Mereka tidak tergamak untuk melakukan kerosakan walaupun secara tertutup.
Kemenyeluruhan sering dipandang dengan begitu cetek secara ekadimensi (satu dimensi). Kita lupa bahawa kemajuan menyeluruh merangkumi segala aspek kehidupan.
Mulakan langkah kita sekarang. Cukup-cukuplah kita membuat kajian dan mengemukakan pelbagai teori. Kita semua bertanggungjawab untuk membina negara yang sejahtera dan ia harus bermula daripada diri kita sendiri. Itulah madani, dan itulah aspirasi kita untuk negara bangsa. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).









