SEMENTARA ada sekurang-kurangnya 1,000 penulis karya bahasa Tamil sepenuh masa di Malaysia, jumlah penulis kaum India yang masih prolifik menghasilkan karya sastera kebangsaan pula sekitar 10 orang sahaja.
Kaum India yang menulis karya seperti puisi, cerpen, novel dan esei bahasa Inggeris pula secara aktif berjumlah kira-kira 20 orang. Angka-angka ini dinyatakan penulis dan pengkaji, Dr. Malachi Edwin Vethamani yang menghasilkan buku A Bibliography of Malaysian Literature in English (2016).
Perbualan dengan individu autoritatif ini membantu saya mendapatkan maklumat terperinci dan terkini mengenai penglibatan kaum India di Malaysia dalam bidang penulisan bahasa Inggeris sejak 1940-an.
Antara tokoh awal yang merancakkan bidang itu ialah Lloyd Fernando, Edwin Thumboo, T. Wignesan dan Cecil Rajendra. Selain menyelenggarakan antologi Malaysian Short Stories (1981), Fernando turut menghasilkan novel seperti Scorpion Orchid (1976) dan Green is the Colour (1993).
Seorang lagi tokoh penting ialah K.S. Maniam yang menghasilkan novel seperti The Return (1981) dan In a Far Country (1993), serta menerima Anugerah Raja Rao daripada kerajaan India atas usaha menampilkan realiti hidup diaspora India dalam karya kreatif.
“Antara tema umum yang menjadi pilihan penulis kaum India dalam karya bahasa Inggeris ialah pencarian identiti dan jati diri, pengalaman sebagai diaspora dan minoriti, serta berpegang pada konsep di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung,” kata Edwin.
Pandangan ini selaras kata-kata Dr. Susan Philip dalam buku K.S. Maniam Selected Works (2019) iaitu kaum India di Malaysia adalah Malaysian first dan bersuara sebagai rakyat negara ini dalam semua karya yang dihasilkan.
Satu lagi perkara menarik diketengahkan Edwin adalah hakikat para penulis ini menampilkan budaya kaum India dan kemajmukan masyarakat Malaysia menerusi karya kreatif.
“Memandangkan karya ditulis dalam bahasa Inggeris, ia bukan hanya dibaca di sini tetapi juga di seluruh dunia. Maka, kami menjadi semacam duta yang mengharumkan nama dan mempromosi keunikan budaya Malaysia pada peringkat antarabangsa,” ujar Edwin yang turut menghasilkan buku seperti Complicated Lives (2016) dan Life Happens (2017).
Beliau turut menyelenggara antologi Malchin Testament (2017) yang memuatkan puisi bahasa Inggeris oleh lebih 50 penulis Malaysia sejak 60 tahun dahulu serta antologi Ronggeng-Roggeng (2019) yang mengumpulkan 28 cerpen bahasa Inggeris penulis tempatan dari 1959 hingga 2018.
DBP
Selain Maniam, ramai lagi penulis kaum India menerima pengiktirafan antarabangsa. Misalnya, Saras Manickam menjadi juara Hadiah Cerpen Komanwel (2019) manakala novel sulung Viji Krishnamoorthy dicalonkan bagi Hadiah Sastera Dublin (2023).
Antara pengarang bahasa Inggeris tempatan yang saya kenali secara peribadi ialah Bernice Chauly, Preeta Samarasan, Brian Gomez, Sreedhevi Iyer, Melizarani T. Selva, Shivani Sivagurunathan, Paul Gnanaselvam, M. Shanmughalingam dan Shanthini Venugopal.
Rani Manika, Sharmini Flint dan Marie Gerrina Louis juga antara penulis kaum India yang berjaya mengharumkan nama negara menerusi karya kreatif bermutu.
Shangeetha Rajah Kumaran dalam tulisan akademik di jurnal Kajian Malaysia (2020) mengemukakan senarai lengkap penulis kaum India dalam sastera bahasa Inggeris di Malaysia dari 1940 hingga 2018.
Kebanyakan kelompok penulis ini terkenal dan diiktiraf di luar negara. Malangnya, mereka kurang dikenali khalayak umum di Malaysia dan realiti ini diakui Edwin dalam perbualan kami.
“Situasi dan kedudukan penulis dan karya bahasa Inggeris di Malaysia amat berbeza dengan Singapura, India dan pelbagai negara lain. Di negara kita, karya bahasa Inggeris masih belum diberi pengiktirafan sewajarnya walaupun para penulis berjaya meraih pelbagai anugerah antarabangsa,” kata Edwin yang menyertai Festival Sastera Antarabangsa Mathrubhumi di Kerala, India pada awal bulan ini.
Kelompok penulis seperti Edwin juga selalu diundang ke pelbagai festival sastera antarabangsa dan mereka menjadi semacam duta yang mengangkat kedudukan Malaysia di persada dunia. Penguasaan bahasa Inggeris memudahkan usaha komunikasi dan penyampaian maklumat kepada khalayak luar negara.
Edwin bersetuju bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) wajar menterjemah karya Inggeris penulis tempatan kepada bahasa kebangsaan.
Sekurang-kurangnya kita akan dapat menikmati karya mereka serta menyedari bagaimana kelompok penulis kaum India yang menghasilkan karya bahasa Inggeris sebenarnya masih mengangkat realiti hidup penduduk majmuk di Malaysia.
Maniam dan Shanmughalingam pernah menyelenggara Antologi Puisi Pelbagai Kaum (1988) untuk terbitan DBP. Malangnya, usaha murni seperti itu nampaknya sudah tidak diteruskan. Edwin memuji sokongan yang diberi penerbit tempatan seperti Maya Press, Fixi, Silverfish dan Gerak Budaya dalam usaha menerbitkan karya bahasa Inggeris oleh penulis tempatan.
Festival Sastera George Town (GTLF) anjuran kerajaan Pulau Pinang merupakan medan untuk peminat dan penulis sastera Inggeris tempatan dan luar negara berkumpul serta berkongsi pengalaman yang amat berguna.
Acara Readings diasaskan oleh Bernice dan Sharon Bakar pada 2005 masih menjadi aktiviti membaca teks secara bulanan di Kuala Lumpur. Ia turut menjadi medan pertemuan penulis lama dan baharu untuk saling bertanya khabar dan memberi motivasi untuk kekal prolifik.
Kumpulan Sasterawan Kavyan pula sentiasa berusaha menganjurkan majlis diskusi melibatkan penulis kaum India yang menghasilkan karya bahasa kebangsaan, Tamil dan Inggeris.
Hasil perbincangan kami serta kesan daripada pembacaan karya para penulis terbabit membuktikan secara amat jelas hakikat kesemua penulis kaum India tetap berusaha menggambarkan realiti hidup masyarakat di Malaysia walaupun bahasa yang digunakan adalah berbeza. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.











