MENURUT Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), pertumbuhan ekonomi dunia pada tahun ini dianggarkan akan mencatat pengurangan berbanding tahun lalu, iaitu dari 3.2 peratus ke 2.7 peratus, kesan daripada faktor jangkaan kemelesetan ekonomi global, ketidakstabilan geopolitik peperangan di Ukraine serta gangguan rantaian bekalan yang disebabkan dasar menangani pandemik di China.
Malaysia juga tidak terkecuali menerima impak langsung daripada krisis-krisis global ketika ini. Hampir semua sektor ekonomi negara dan pelaburan asing menerima kesannya yang menyaksikan sebilangan rakyat mengalami pengurangan pendapatan atau kehilangan pekerjaan, kenaikan kadar inflasi dan peningkatan kos sara hidup.
Menyedari hakikat bahawa ramai rakyat khususnya dalam konteks negeri Pahang yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup dan defisit pendapatan, maka kerajaan negeri terpanggil memperkenalkan inisiatif membantu rakyat melalui program Juadah Makmur.
Program yang julung kali diadakan setiap kali selepas solat Jumaat bermula pada Disember lalu merupakan cetusan idea Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai satu pendekatan baharu untuk rakyat dengan peruntukan RM11 juta setahun.
Pek makanan diagihkan kepada jemaah masjid seusai solat Jumaat melibatkan kuota yang ditentukan mengikut kawasan atau kampung di dalam sesebuah Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ia dilaksanakan secara bergilir-gilir untuk berkongsi rezeki bersama penduduk di sesuatu lokaliti. Pendekatan ini akan dapat membantu golongan memerlukan khususnya asnaf dan golongan berpendapatan rendah (B40) untuk menikmati juadah makan tengah hari yang dibiayai perbelanjaannya oleh kerajaan negeri.
Tentunya ini merupakan satu lagi produk obligasi sosial yang terus diilhamkan dan direncanakan oleh kerajaan negeri demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Pahang selepas kejayaan program Kebanggaan Pahang atau Pahang Pride, iaitu untuk golongan bayi baru lahir, yang dijenamakan sebagai Pahang Pride Kids (Anak Kebanggaan Pahang), Pahang Pride Students (Pelajar Kebanggaan Pahang) – pemberian kad diskaun pelajar dan Pahang Pride Kasih berupa kad kesihatan untuk golongan warga emas.
Program kebajikan rakyat ini menjadi manifestasi slogan yang diratibkan oleh kepimpinan negeri, iaitu Tiada Janji Lihat Bukti yang diterapkan dan diamalkan oleh Wan Rosdy semenjak dilantik sebagai teraju kerajaan negeri pada 2018.
KUKUH, STABIL
Ironinya, kejayaan melaksanakannya adalah disebabkan kedudukan kewangan negeri berada pada tahap kukuh dan stabil, bilamana sasaran hasil RM1 bilion pada 2022 tercapai.
Tidak mustahil kerajaan negeri berupaya untuk meneruskan lagi bukan sahaja program Juadah Makmur tetapi juga bantuan-bantuan lain untuk rakyat dalam pelbagai bentuk pemberian, sumbangan dan pembangunan.
Secara tuntasnya, setiap hasil dan keuntungan yang kerajaan negeri peroleh akan dipulangkan semula kepada rakyat agar kemakmuran dikongsi bersama serta dapat berkongsi rezeki demi kesejahteraan watannya.
Hakikatnya, apa yang disajikan ini bukan hanya sekadar untuk mengisi perut rakyat semata-sata tetapi ia umpama kuah sama dihirup, sambal sama dicolek, rezeki secupak bisa jadi segantang jika nikmat yang dikecapi dikongsi rezekinya bersama-sama.
Menurut riwayat al Bukhari dan Muslim, daripada Abdullah bin Amr bin al-As ra. berkata: “Seorang lelaki bertanya Rasulullah SAW: Islam manakah yang paling baik? Nabi SAW bersabda: Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal.”
Pendek kata, konsep ini juga berkait rapat dengan berkongsi rezeki yang diberikan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 212: “Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturan-Nya).”
Daripada riwayat Al-Tirmizi menceritakan satu peristiwa, ketika Saidatina Aisyah ra. menghidangkan makanan kesukaan Rasulullah iaitu paha kambing. Rasulullah SAW bertanya: “Wahai Aisyah, apakah sudah engkau berikan kepada Abu Hurairah jiran kita? Aisyah menjawab: Sudah wahai Rasulullah.
“Kemudian Rasulullah bertanya lagi: Bagaimana dengan Ummu Ayman? Aisyah kembali menjawab: Sudah wahai Rasulullah. Kemudian Rasulullah bertanya lagi mengenai jiran tetangga yang lain, adakah sudah diberikan masakan itu sehingga Aisyah berasa penat menjawab pertanyaan Rasulullah. Sehingga Aisyah menegaskan bahawa semua makanan sudah habis dibahagikan kepada jiran, yang berbaki hanyalah beberapa potong daging untuk dimakan oleh baginda SAW dan Aisyah.
“Mendengar jawapannya, Rasulullah SAW lantas tersenyum dan mengatakan sesuatu yang ringkas, namun maksudnya mendalam. Engkau salah Aisyah, yang habis adalah apa yang kita makan ini dan yang kekal adalah apa yang kita sedekahkan.”
Jika di peringkat Persekutuan program Menu Rahmah menyediakan alternatif buat rakyat untuk mendapatkan makanan pada harga RM5, tentunya di Pahang, Juadah Makmur menjaga perut rakyat pada setiap hari Jumaat di 42 masjid melibatkan 42 DUN, mencecah 1,000 jemaah bergantung kepada lokaliti.
Hikmahnya, program sebegini meningkatkan hubungan silaturahim di antara pemimpin tempatan, jemaah masjid dan penduduk sekitar di samping berkongsi rezeki sepertimana disarankan oleh agama.
Maka, matlamat dan iltizam 2023 untuk meneruskan prestasi kutipan hasil untuk kantung pendapatan negeri tentunya akan terus memanfaatkan rakyat khususnya di bumi Pahang bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir dapat merasai nikmat dan limpahan kemakmuran.
Pejuang kemanusiaan, Martin Luther King Jr. pernah berkongsi pandangan bahawa bangsa atau negara yang kaya dengan hasil perlu berkongsi sumbernya untuk pembangunan rakyat, agar tiada golongan yang tertinggal daripada menikmati kemakmuran ini.
Sudah pasti Pahang tidak terkecuali daripada terus membela dan membangunkan kapasiti kebajikan rakyatnya melalui inovasi sosial yang berterusan ini selaras dengan slogan #MajuterusPahang. – UTUSAN
PENULIS ialah Pegawai Khas Menteri Besar Pahang.











